Bagaimanakah cara untuk meningkatkan kemampuan minda?
Kita selalu sibuk berbicara tentang bagaimana untuk melatih tubuh badan agar lebih kuat dan sihat.
Tapi ramai antara kita tak sedar sebenarnya minda kita pun perlu dilatih supaya menjadi lebih tajam dan efisyen. Mahu tahu caranya? Teruskan membaca.
Sebelum bermula, perlu kita tahu terdapat satu mitos tentang otak. Otak kita dikatakan “makin kurang tajam apabila usia makin meningkat”. Ini adalah satu andaian sahaja, malah otak kita boleh menjadi lebih tajam apabila usia makin meningkat. Ini boleh terjadi jika otak kita selalu dilatih.
Kajian di University Carnegie mendapati, selepas beberapa orang sukarelawan mengikuti program melatih otak sejam setiap hari, 3 hari seminggu untuk 3 semester, kemampuan mereka mengingat telah meningkat dengan drastik. Sebelum mengikuti program, sepertimana majoriti pelajar lain mereka hanya mampu mengingat 15% sahaja isi pengajaran di kuliah. Selepas ikuti program, kemampuan mereka mengingat pengajaran kuliah meningkat ke 80%. Begitu juga terdapat peningkatan drastik tentang kemampuan mengingat dalam berbagai lagi aspek-aspek lain. Jelaslah bahawa prestasi otak kita memang mampu ditingkatkan dengan banyak melatihnya.
Bagaimanakah hendak melatih atau meningkatkan prestasi otak?
- Banyak membaca dan menghafal. Kajian telah menunjukkan bahawa apabila seseorang itu makin banyak menghafal dan menambah ilmu, kualiti dan cara dia berfikir pun meningkat. Ini akan lebih berkesan jika dia mempelbagaikan pembacaannya dalam berbagai-bagai bidang ilmu. Menghafal Al-Quran dan mempelajari bahasa asing adalah contoh-contoh yang bagus. Apabila seseorang banyak menghafal dan belajar benda baru, hubungan sinaps dan neuron di dalam otak akan makin bercambah-cambah, justeru menyebabkan dia dapat berfikir dan mengingat dengan lebih luas dan tajam.
- Bermain permainan yang mencabar minda. Contoh yang baik adalah SUDOKU. Kajian telah menunjukkan bahawa permainan SUDOKU melatih banyak aspek aktiviti otak, terutamanya pemikiran visual, rasional, numerik dan emosional. Apabila otak kita banyak menjalankan fungsi-fungsi seperti ini, kualiti perhubungan sel-sel saraf pada bahagian itu akan meningkat. Akhirnya, kemampuan pemikiran visual, rasional, numerik dan emosional turut akan mengalami peningkatan. Selain SUDOKU, otak juga boleh dilatih dengan percubaan menjawab soalan-soalan ujian IQ. Saya akan sertakan beberapa latihan soalan IQ untuk kita cuba di penghujung penulisan ini.
- Diet yang cukup. Otak kita perlukan “makanan”. Pastikan diet anda mengandungi banyak protein dan vitamin. Ini adalah khasiat penting untuk pemeliharaan dan tumbesaran otak. Protein terdapat dengan banyak dalam ikan, dan vitamin pula banyak terdapat dalam sayur-sayuran, buah-buahan dan hati. Sebelum melakukan sebarang aktiviti berfikir, seperti belajar, menjawab peperiksaan dan sebagainya, satu tip yang bagus ialah cuba menikmati benda-benda manis terlebih dahulu (tapi jangan banyak sangat pula), kerana otak bakal memerlukan bekalan glukosa yang secukupnya semasa proses pemikiran atau pembelajaran berlangsung.
- Awas stress! Stress, tekanan perasaan ataupun mood yang tidak baik akan mengurangkan kemampuan minda anda. Ini kerana apabila anda sedang tertekan atau marah, paras hormon kortisol dalam darah akan meningkat. Hormon ini menyebabkan kemampuan minda anda merosot sehingga 40%. Inilah antara hikmah apabila Rasulullah s.a.w pernah berpesan: “Jangan engkau marah, jangan engkau marah, jangan engkau marah”.
- Pengaruh suhu dan haba. Tahukah anda bahawa peningkatan suhu otak dengan sebanyak hanya 1 darjah celcius sudah mampu menurunkan prestasi otak dengan signifikan? Hasil kajian sains daripada jabatan pertahanan Amerika Syarikat mendapati suhu yang panas dengan kelembapan tinggi (seperti cuaca di Malaysia) boleh merendahkan kemampuan intelek dan fizikal secara dramatik. Ini makin diterukkan lagi dengan kenyataan bahawa jika cuaca panas, mood kita pun boleh jadi tidak baik, maka ini akan merendahkan lagi prestasi otak. Untuk mengelakkan kejadian seperti ini, pastikan suasana bekerja atau belajar anda sentiasa selesa, nyaman dan tidak berbahang.
- Tidur mesti cukup dan teratur. Tidur adalah masa baikpulih untuk otak selepas ia penat bekerja. Semasa otak sedang berehat, ketika inilah proses pembaikian, tumbesaran dan penghubungan saraf banyak berlaku. Jika tidur tidak cukup dan tidak menentu, sudah tentu proses ini akan terbantut. Tidak ada ketetapan tentang berapa lama seseorang itu patut tidur, sebenarnya ini bergantung kepada individu. Secara purata, orang-orang dewasa perlu tidur antara 4 jam hingga 6 jam setiap hari. Jika ingin lakukan qiamullail, maka tidurlah lebih awal sedikit. Jangan jadikan qiamullail sebagai alasan untuk tidak cukup tidur.
- Kenalpasti waktu maksimum otak anda berfungsi dengan paling baik. Umumnya, setiap orang akan dikategorikan sebagai orang pagi (morning person), orang tengahari/petang (afternoon person) atau orang malam (night person). Contohnya, jika anda rasa anda dapat belajar dan fokus yang lebih di waktu pagi, maka anda adalah orang pagi. Tekniknya di sini, jika anda hendak melakukan kerja yang melibatkan banyak pemikiran (belajar, membuat keputusan, perbincangan ilmiah dan lain-lain), maka lakukanlah kerja sedemikian pada waktu otak anda paling baik berfungsi. Kemudian pada waktu-waktu lain, anda boleh lakukan kerja-kerja rutin yang kurang melibatkan daya berfikir seperti membasuh pakaian, berjumpa kawan, bersenam dan sebagainya.
- Senaman yang rutin. Maksud senaman rutin di sini ialah bersenam sekurang-kurangnya 3 sesi seminggu, dengan setiap sesi berlangsung selama kira-kira 30 minit. Apabila kita bersenam, kita akan meningkatkan perjalanan darah dan penghantaran glukosa serta oksigen ke seluruh badan, termasuklah otak. Ini membantu proses perkembangan otak. Selain itu, senaman juga menyebabkan tubuh menghasilkan hormon endorphin, sejenis hormon yang bertindak ke atas otak bagi menghasilkan keceriaan dan mood yang baik. Pendek kata, benar sangatlah kata-kata “badan cergas minda cerdas”.
- Awasi hal-hal berikut: rokok dan kafein. Semua orang jelas merokok memang membahayakan kesihatan dan telah difatwakan haram oleh majoriti institusi fatwa termasuk negara kita. Tapi tentang kafein, ramai orang yang tidak sedar akan bahayanya. Kafein banyak terdapat dalam kopi, tapi terdapat juga sedikit dalam teh. Kafein berfungsi untuk meningkatkan kesedaran otak, justeru dapat mencegah rasa mengantuk. Malangnya ianya tidaklah begitu efektif, kesannya sebentar sahaja. Buah epal sebenarnya lebih berkesan berbanding kopi untuk mencegah rasa mengantuk. Jika selalu bergantung kepada kopi untuk kekal berjaga, maka anda akan berisiko untuk mengalami pengurangan dari segi kualiti tidur dan kualiti memori.
- Rajinkan beribadah dan jagalah hubungan dengan Allah subhanahu wa ta’ala. Ibadah dan hubungan dengan Allah s.w.t. yang baik akan memudahkan pengawalan emosi. Banyak kajian di sektor korporat mendapati, pengurus yang mempunyai ESQ (emotional spiritual quotient) yang baik lebih banyak membuat keputusan yang tepat berbanding pengurus yang hanya mempunyai IQ yang tinggi. Ini kerana dengan hati yang tenang dan takutkan Allah, emosi akan jadi terkawal, maka pemikiran rasional akan menjadi lebih berkesan dan konsisten. Sebab itulah di kala kecemasan atau ketika berdebar-debar ketika menjawab peperiksaan, kita selalu dinasihati supaya bertenang kerana sikap panik akan menyebabkan keputusan dan tindakan kita jadi terburu-buru, justeru lebih tinggilah kebarangkaliannya untuk tersilap.
Kesimpulannya, minda kita dapat ditingkatkan dengan selalu menggunakannya, tahu cara menjaganya dengan baik dan pengawalan emosi.
Di sini saya sertakan beberapa contoh soalan IQ sebagai cara untuk kita melatih minda kita. Banyak kajian neurologi dan psikologi -yang tak dapat saya tuliskan semuanya di sini dengan teliti- telah menunjukkan, lagi banyak kita melatih minda kita, semakin tajamlah ia nanti. InsyaAllah. Anda boleh memberikan jawapannya dalam ruangan komen di bawah. Jawapannya pun akan saya sertakan kemudian dalam ruangan komen juga.
SOALAN IQ UNTUK ANDA
- Tiga orang pengembara di padang pasir bercadang untuk berpisah dan mengembara sendiri-sendiri. Berada bersama mereka ialah 21 botol air, yang mana 7 daripadanya penuh, 7 daripadanya separuh penuh dan 7 yang lain kosong. Mereka bercadang untuk membahagikan air dan 21 botol air tersebut dengan adil sesama mereka. Bagaimanakah mereka boleh berbuat demikian?
- Satu peti besar mengandungi 2 peti kecil. Setiap 2 peti kecil ini mengandungi 3 peti lebih kecil lagi di dalamnya. Dalam setiap 3 peti yang lebih kecil ini ada lagi 4 peti yang paling kecil di dalamnya. Hanya satu sahaja daripada peti yang paling kecil ini mengandungi emas. Berapa banyak petikah yang harus anda buka untuk anda betul-betul pasti bahawa peti tersebut mengandungi emas yang dicari?
- Seorang pelanggan restoran mewah telah menunggu selama 43 minit untuk diambil pesanan. Akhirnya, dia bangun dan ingin keluar dari restoran. Penjaga pintu restoran bertanya sudahkah si pelanggan ini membayar bilnya? Dia menjawab “tidak”, dan kemudian dia terus menulis satu memo untuk diserahkan kepada pengurus restoran. Memo ini bertulis: “10004180204″. Apakah maksud memo ini?
- Sebuah penutup botol berharga 1/10 daripada harga botolnya. Harga jumlah penutup botol bersama botolnya sekali ialah RM2.20. Berapakah harga botol tersebut?
Selamat menjawab. Wallahu a’lam.
July 6th, 2009 at 9:53 pm
Jwpn ape tu utk soalan IQ?
nak bagi kat budak skolah nih hehe
November 11th, 2009 at 2:16 am
Jwpn aku:
1. kesemua 7 botol yang penuh itu diisikan separuh ke dalam semua 7 botol yang kosong. jadi mereka akan dapat 21 biji botol yang separuh penuh. Maka setiap seorang akan dapat 7 biji botol yang separuh penuh.
2. 32 kali
3. tak tahu.. huhu
4. RM 2.20
November 11th, 2009 at 4:34 pm
bile boleh dapat jawapan ni… huhu