Pengaruhi suasana sebelum suasana pengaruhi anda
Jika anda selalu mempunyai masalah cepat hilang semangat untuk beramal soleh, atau merasa lebih cenderung ke arah kelalaian daripada melakukan hal-hal yang berfaedah, mungkin anda perlu menilai semula suasana sekeliling anda dengan teliti.
Ya, semak suasana sekeliling dahulu sebelum anda semak diri sendiri.
Kita hidup di zaman yang penuh dengan dugaan. Kita lihat di kebanyakan tempat dan masa telah dipenuhi dengan pengaruh-pengaruh bahaya yang mampu mengancam iltizam semangat kita untuk patuh kepada Allah.
Sebab itu saya dengan penuh rendah hati berpendapat bahawa suasana sekeliling yang tidak soleh selalu menjadi sebab mengapa kita rasa sukar untuk beramal soleh dan meningkatkan kecenderungan hati untuk lebih sukakan kelalaian. Malah untuk segelintir golongan lain, suasana sekeliling bukan sahaja banyak membawa kepada kelalaian, bahkan kemungkaran.
Suasana yang baik adalah makanan untuk iman, dan suasana yang buruk adalah makanan untuk nafsu. Anda pilih yang mana satu anda hendak beri makan, iman atau nafsu?
Kawan-kawan kita, keadaan tempat tinggal dan media adalah tiga pengaruh kuat yang banyak membentuk suasana kehidupan kita hari ini. Perlulah kita mengubah mereka sebelum mereka mengubah kita.
Kawan-kawan. Rajinlah dampingi kawan-kawan yang soleh agar anda dapat tumpang semangat mereka untuk patuh kepada Allah. Pada masa yang sama kekuatan iman kita tidak mudah luntur jika kawan-kawan rapat kita adalah terdiri daripada mereka yang kuat semangat keislamannya. Tapi ingat bila kita asyik berdamping dengan kawan-kawan yang soleh, bukanlah saya memaksudkan kita harus putuskan ukhwah dengan kawan-kawan lain. Dakwah dan ukhwah dengan semua orang yang kita kenal mesti kita jaga, cuma pada masa yang sama kita tetap perlukan sokongan kuat untuk diri kita sendiri, dan sokongan ini boleh diperoleh jika kita berkawan baik dengan teman-teman yang soleh.
Tempat tinggal haruslah dipenuhi dengan hal-hal yang baik seperti buku-buku agama, ruang solat yang selesa dan sempurna dan kitab Al-Quran yang mudah dicapai untuk dibaca sekerap yang mungkin. Persekitaran perlu kemas, bersih dan tenang. Ahli keluarga atau teman serumah harus diajak agar sentiasa taat kepada Allah dan rajin beramal soleh. Begitu juga hiburan untuk ahli keluarga, haruslah kita pantau dan kita mesti bersikap memilih. Jangan sesekali biarkan elemen-elemen hiburan yang haram berlangsung di dalam rumah.
Media. Setiap hari boleh dikatakan majoriti manusia pada zaman moden ini menonton televisyen. Malangnya majoriti besar siaran televisyen banyak mencerminkan yang tidak baik daripada yang baik. Drama-drama, rancangan nyanyian dan realiti adalah antara contoh-contoh popular. Sebab itu kita harus tahu batas-batas kita dalam menonton televisyen, kita takut ia akan pengaruhi kita. Contohnya dalam sebuah drama ada mencerminkan kehidupan cinta pasangan yang belum kahwin, ini menyebabkan penonton-penonton drama tersebut berisiko untuk secara beransur-ansur menganggap percintaan sebegini suatu yang lumrah dan kebiasaan, dan tidak ada apa-apa. Sedangkan dalam Islam hal ini memang jelas dilarang. Inilah antara teknik pengaruh secara halus yang cukup bahaya sebenarnya, mampu menyebabkan minda seseorang muslim terpesong tanpa disedari.
Lain-lain. Ini termasuklah bahan-bahan bacaan kita, aktiviti kita di internet, pekerjaan dan suasana tempat kerja, serta kekerapan kita dalam menghadiri majlis ilmu dan berdiskusi tentang agama. Semua ini memainkan peranan dalam membentuk suasana kehidupan di sekeliling kita.
Kesimpulannya, selagi mampu kita ubahlah suasana sekeliling agar ia jadi lebih Islamik dan kondusif khas untuk jiwa kita yang dahagakan iman dan taqwa. Bila suasana sekeliling sudah bercirikan keislaman, maka ia akan menjadi mangkin kepada amal soleh, menyebabkan kita menjadi lebih mudah untuk taat kepada Allah. Kehidupan sebagai seorang muslim sejati makin mudah diraih, dan dosa-dosa pula semakin mudah kita jauhi. Saya berharap hasilnya nanti kehidupan kita ini bakal menjadi kehidupan yang sejahtera, diberkati Allah dan berakhir dengan kebahagiaan kekal abadi di syurga Allah sana. Itulah doa saya untuk kita semua.
Pencegahan adalah lebih baik dari rawatan. Ubah suasana anda sebelum suasana mengubah anda.
Wallahu a’lam.