Menepis Atheism: Bahaya Bertuhankan Sains (Part 2)
Respon yang diberikan dalam siri yang pertama menyebabkan saya terus ingin segera menyambung siri kedua. Ini adalah link ke bahagian satu (part 1) http://moojahid.blog.friendster.com/2008/02/menepis-atheism-bahaya-bertuhankan-sains-part-1/
Dalam bahagian satu telah dijelaskan sedikit pengenalan tentang definisi dan metodologi sains. Telah juga dijelaskan batasan sains yang pertama iaitu sains hanya mampu mengolah tentang kejadian yang berlaku pada masa sekarang sahaja. Kini saya akan menyambung topik ini.
Batasan-Batasan Sains
Kedua: Kajian sains hanya mampu mengolah kejadian di alam fizikal sahaja
Islam tidak meragui sains, malah menggalakkannya kerana kajian sains adalah satu kajian ilmiah dan berasaskan bukti.
Namun Islam mengajar penganutnya bahawa alam ini terdiri daripada dua jenis, iaitu alam fizikal dan alam ghaib.
Alam fizikal ialah alam yang mampu dihayati oleh deria manusia. Inilah ruang dimensi yang mana hukum-hukum sains berlangsung. Malah segala hukum sains pun adalah ketentuan-ketentuan Allah, dan ketentuanNya kekal tidak berubah melainkan jika Allah sendiri mengkehendaki.
Hukum sains adalah sunnatullah. Para saintis mungkin boleh sibuk mengolah dan menjelaskan apa itu hukum graviti, hukum Newton dan sebagainya, tapi mereka gagal menjelaskan mengapa hukum itu bertindak sebegitu. Mereka boleh merumuskan bahawa formula daya graviti sebagai F=mg, tapi mereka tidak dapat memberi sebab mengapa graviti mesti bertindak sedemikian rupa; mengapa tidak hukum graviti itu menolak ke atas daripada menarik? Dalam Islam jawapannya mudah sahaja, hukum itu bertindak menurut kehendak Allah, Dialah yang menjadikan alam ini bertindak sedemikian. Syukur kepada Allah yang mengizinkan alam fizikal ini dapat dikaji oleh kapasiti akal manusia, seterusnya dapat diaplikasikan untuk memberi manfaat kepada kita semua.
Sungguhpun peranan sains cukup besar dalam kajian alam fizikal, tapi sains tidak dapat menjelaskan hal-hal ghaib. Hal-hal ghaib merupakan hal yang ilmu mengenainya tidak mampu dicapai manusia, dan hanya diketahui Allah. Peristiwa alam kubur dan alam akhirat merupakan antara hal-hal ghaib yang telah dikhabarkan oleh Allah kepada manusia melalui perantaraan nabiNya. Tiada cara untuk kita mengkaji tentang alam ghaib, sains tidak dapat digunakan.
Para atheist menolak kewujudan Tuhan dan alam ghaib kerana bagi mereka segala yang tidak dapat dibuktikan sains adalah tidak ada. Mereka menganggap sains adalah sempurna dan mempunyai jawapan ke atas segalanya dalam hidup. Bagi mereka, sains adalah matlamat dan tujuan mereka hidup. Tapi dalam Islam, sains adalah alat (bukan matlamat) untuk kita mengkaji alam agar dapat meningkatkan ima dan taqwa kepada Allah selain dapat mengaplikasikan ilmu sains dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi.
Para atheist berkata jika sesuatu itu tidak nampak, atau tidak dapat dibuktikan, maka itu tidak ada. Pandangan ini sudah tentu dapat dibidas. Lihatlah analogi ini: katakan kita pergi ke kawasan pendalaman di tengah-tengah Afrika, di mana masyarakat orang asli di situ tidak pernah pun melihat telefon. Kemudian kita katakan kepada mereka, “awak semua percaya tak kalau saya kata kita boleh berhubung dari jauh dengan menggunakan alat yang bernama telefon?”. Tentu mereka tidak percaya dan menganggap itu tidak logik, sebab mereka tidak mempunyai ilmu tentang adanya telefon. Tapi hakikatnya telefon itu memang ada, lalu setelah anda tunjukkan dan mendemonstrasikan telefon bimbit anda kepada mereka barulah mereka mahu percaya.
Cara orang atheist berfikir tak ubah seperti orang-orang asli ini, mereka menganggap kewujudan sesuatu benda itu hanya ada jika dapat dibuktikan dengan deria mereka. Mereka takkan percaya dengan kebenaran selagi mana mereka belum melihatnya, sedangkan jika kita lihat dari contoh analogi di atas, kita dapati kebenaran itu tak semestinya hanya daripada sesuatu yang zahir. Tak semestinya jika kita tidak nampak sesuatu, hal itu tidak ada. Mereka mahu alam ghaib dibuktikan dengan sains, tapi ini adalah mustahil, lalu mereka menolak wujudnya alam ghaib tanpa sedikit pun mereka cuba memahami bahawa alam ghaib itu tidak mampu diterokai dengan sains.
Tentu mereka akan menyesal nanti, setelah mereka mati, mereka akan menghadapi alam kubur dan ketika itu baru mereka hendak percaya. Allah akan mempertontonkan kebenaran alam ghaib itu kepada mereka, sepertimana yang mereka tuntut dan meremeh-remehkan tentangnya semasa mereka hidup di dunia. Malangnya ketika di kubur dan di akhirat nanti, semuanya sudah terlambat untuk mereka.
Bersambung ke siri berikutnya.