Archive for April, 2009


10 nasihat untuk kita semua

Sekadar ingin memberikan beberapa nasihat untuk jiwa-jiwa muslim sekalian, termasuk diri saya sendiri. Saya berharap ini menjadi satu peringatan yang baik untuk kita semua.

  1. Sembunyikanlah amal anda kerana itulah cara mudah memperolehi niat yang ikhlas. Kemaskan wajah yang tampak kurang tidur kerana bangun qiamullail, jangan tunjukkan keletihan kerana sedang berpuasa, jangan biar orang tahu bahawa anda kuat bersedekah dan sebagainya. Pengecualian hanya satu iaitu apabila anda ingin menunjukkan contoh tauladan agar orang lain dapat mengikuti bersama. Maka bolehlah diceritakan amalan anda dengan nada yang mengajak orang lain menyertai anda; bukan dengan memberitahu amal anda kepada mereka.
  2. Ikutilah ajaran Rasullullah dengan segenap hati. Maksud saya di sini ialah kita harus rajin meneliti amalan Rasulullah, cara ibadahnya, cara berkomunikasinya, apa yang beliau galakkan dan apa yang beliau benci. Pelajari dan hayatilah akhlak baginda yang mulia dan amalkanlah, bahkan akhlak nabi itu ialah Al-Quran sepertimana disebut oleh Aisyah r.a.  Hafalkanlah hadith-hadith yang sahih, fahami dan amalkanlah. Piawai bagi segala amalan kita, buruk atau baik, terletak berdasarkan contoh yang ditunjukkan Rasulullah. Cinta kepada Rasul tidak sempurna jika kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk ikut ajaran baginda.
  3. Tebarkanlah kebaikan di mana jua anda berada. Saudara saya yang saya cintai sekalian, berapa banyaknya tangan-tangan yang menginginkan bantuan, betapa banyaknya tandas-tandas di masjid yang masih kotor dan perlu dibersihkan, betapa ramainya non-muslim yang belum jelas tentang apa itu Islam, pendek kata betapa banyaknya peluang-peluang besar untuk kita beramal soleh di luar sana! Ayuh jangan kita berlengah lagi.
  4. Masa lebih berharga dari emas, kerana emas boleh dibeli sedangkan masa pula tidak boleh. Oleh itu setiap saat yang datang mesti kita gunakan sebaiknya. Berlengah-lengah bukan sikap seorang muslim/muslimah, kerana dia sepatutnya sedar bahawa maut boleh datang bila-bila masa sahaja.
  5. Lebih baik mati daripada melakukan dosa. Ini satu ungkapan yang saya petik daripada Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni. Saya kira hujah utama beliau di sini ialah beliau cuba memaksudkan segala dosa itu haruslah kita takut untuk melakukannya, betapa kecil pun ia. Melawan hawa nafsu adalah satu bentuk jihad.
  6. Belajar, belajar dan belajarlah hingga mati. Saudara, akal adalah satu amanah Allah yang besar. Inilah kurniaan Allah yang melayakkan kita sebagai khalifah atau pentadbir di muka bumi ini. Jadi penuhilah amanah akal ini dengan belajar, belajar dan belajar. Orang mukmin mesti dahagakan kecemerlangan dalam bidang keilmuan dan teknologi. Umat Islam adalah yang paling layak menerajui dunia.
  7. Berdakwah kepada manusia lain adalah tanggungjawab kita semua sebagai orang Islam. Sekiranya anda beriman kepada Allah, anda harus berusaha melaksanakan tugas mengajak orang lain ke jalan Allah dengan sedaya upaya anda. Islam bukanlah agama sendiri-sendiri, tapi Islam adalah agama yang mementingkan aspek komuniti, kemasyarakatan dan kesatuan. Bukankah lidi seberkas sukar untuk dipatahkan? Ajaklah diri sendiri dan orang lain ke arah kebaikan, tapi lakukan dengan lemah-lembut, berhikmah dan penuh dengan kesabaran. Cabaran berdakwah itu besar dan berat, tapi hasilnya cukup manis.
  8. Hari ini harus lebih baik dari semalam. Setiap hari harus ada tangga peningkatan yang kita daki, bertambah benih kebaikan yang kita semai dan bertambah banyak perhambaan diri kita kepada Allah. Kita harus berazam untuk berpegang teguh kepada prinsip ini.
  9. Penuhilah diri dengan penuh rasa rendah diri. Jangan sesekali lupa betapa banyaknya nikmat yang telah Allah berikan kepada kita, jadi apakah layak untuk kita merasakan diri kita hebat berbanding orang lain? Sedangkan jika bukan kerana pemberian Allah, di manakah kita berdiri sekarang ini? Sebab itu jangan sesekali kita merasa tinggi diri, sekalipun kita mempunyai ilmu yang banyak, kaya dengan harta, popular, mempunyai rupa paras yang baik dan lain-lain. Perasaan rendah diri itu harus dilatih sampai ia menjadi satu sikap yang automatik dalam diri kita. Pepatah melayu ada menyebut, “padi bila makin berisi, makin tunduk”. Takkan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada kesombongan, jadi kita semua harus berwaspada.
  10. Syukurlah dengan nikmat, sabarlah dengan dugaan. Syukur dan sabar adalah dua nilai murni yang ditekankan oleh Islam. Jangan kita merasa bangga diri dengan pencapaian sendiri, sebaliknya bersyukurlah kerana itu satu kurniaan Allah. Demikian juga jika diuji dengan musibah, kepayahan atau kesedihan, bersabarlah banyak-banyak dan jangan sesekali berputus asa kerana Allah memang akan menguji hamba-hambaNya dalam kehidupan ini. Siapa yang kuat imannya akan berjaya sedangkan yang lemah akan kecundang. Elakkan membesar-besarkan kejayaan kita dan elakkanlah berkeluh-kesah akan nasib kita sebab kedua-dua tabiat ini menjejaskan nilai syukur dan sabar.

Demikianlah 10 peringatan ringkas. Semoga kita semua mendapat keredhaan Allah seterusnya memperoleh kejayaan dunia dan akhirat.

Muhasabah: Banyak lagi kerja rupanya…

Baru-baru ini saya cuba menyenaraikan dan meneliti segala jenis kewajiban dan tanggungjawab yang perlu saya tunaikan sebagai seorang muslim.

Tersentak juga saya.

Sebabnya sebelum ini, bila saya fikir-fikir sahaja kerja-kerja saya, seperti belajar, solat, dakwah dan sebagainya; nampak macam tidak banyak dan tuntutannya seperti biasa-biasa saja.

Tetapi pada suatu hari, hati saya dibuka oleh Allah untuk saya meneliti betul-betul hidup saya. Barulah saya sedar sebenarnya kerja itu bukan hanya setakat kerja, bahkan banyak daripadanya berpaut kuat dengan amanah-amanah besar yang saya perlu penuhi.

Bagi yang tidak jelas, saya berikan analogi. Sebelum bermusahabah, katakan saya ditugaskan membeli air di kedai, dan saya menganggap sekadar itu sahaja. Tapi bila diselidik (musahabah) rupa-rupanya air yang hendak dibeli itu adalah untuk orang yang hampir mati kehausan, jadi jika saya tidak cepat dan bersungguh-sungguh, orang itu boleh mati.

Harap anda faham maksud saya.

Contohnya, setelah diteliti betul-betul baru saya teringat bahawa pengajian saya belajar ini ditanggung oleh kerajaan, maka kewajiban saya kepada semua pembayar cukai ialah untuk belajar rajin-rajin agar dapat berjaya dengan cemerlang.

Tak lupa juga tanggungjawab untuk berbakti kepada ibu bapa yang telah memberikan segalanya untuk membesarkan saya dengan baik dan penuh kasih sayang. Jadi tanggungjawab kepada mereka sudah tentu dengan menjadi anak yang soleh dan berusaha menyenangkan hati mereka dari berbagai aspek, baik dari mendoakan mereka, dari segi hubungan hinggalah kepada kejayaan dalam hidup.

Kemudian pula amanah untuk menyebarkan Islam, baik kepada muslim mahupun non-muslim. Dakwah adalah dituntut atas diri setiap muslim, tetapi saya mendapati saya mungkin telah mengambilnya dengan agak ringan sebelum ini. Bagaimanakah nasib saya di akhirat kelak sekiranya jiran saya, atau kawan-kawan saya yang non-muslim menuntut daripada Allah akan kealpaan saya daripada berdakwah kepada mereka? Astaghfirullah. Tersentak lagi hati saya.

Paling utama, bila saya merasakan hati saya seolah-olah diketuk menyatakan Allah sedang memerhatikan dan mengetahui segala isi hati saya, malah bukankah segala amalan saya sedang dicatit? Maka zahirlah kepada saya bahawa amanah saya yang paling besar sekali merangkumi segala aspek yang saya nyatakan di atas tadi, iaitu untuk menjalankan tanggungjawab sebagai hambaNya dan khalifah di muka bumi. Saya wajib patuhi perintah Allah, melalui Quran dan Sunnah yang sahih.

Begitulah antara contoh-contoh apa yang datang kepada fikiran saya, dan banyak lagi sebenarnya.

Inilah apa yang saya cuba maksudkan. Muhasabah bukan sekadar hanya dengan duduk dan menilai diri begitu sahaja, tapi perlu melakukan pemikiran yang komprehensif, merangkumi aspek-aspek seperti tujuan kita dihidupkan, amanah-amanah yang kita sedang pegang, seterusnya menyedari betapa beratnya amanah tersebut dan sejauh mana kita telah berusaha melaksanakannya.

Dengan muhasabah sebegini, mungkin ada antara kita akan mendapati bahawa banyak betul kerja dan amanah yang perlu dipikul yang mana sebelum ini kita seperti ambil acuh tak acuh, ataupun terlupa langsung.

Semoga Allah memberi hidayah dan kekuatan kepada kita semua untuk menjadi hamba-hambaNya yang taat agar dapat sentiasa berada dalam keredhaanNya. Amin.

Menepis Atheism: Bahaya Bertuhankan Sains (Part 2)

Respon yang diberikan dalam siri yang pertama menyebabkan saya terus ingin segera menyambung siri kedua. Ini adalah link ke bahagian satu (part 1) http://moojahid.blog.friendster.com/2008/02/menepis-atheism-bahaya-bertuhankan-sains-part-1/

Dalam bahagian satu telah dijelaskan sedikit pengenalan tentang definisi dan metodologi sains. Telah juga dijelaskan batasan sains yang pertama iaitu sains hanya mampu mengolah tentang kejadian yang berlaku pada masa sekarang sahaja. Kini saya akan menyambung topik ini.

Batasan-Batasan Sains

Kedua: Kajian sains hanya mampu mengolah kejadian di alam fizikal sahaja

Islam tidak meragui sains, malah menggalakkannya kerana kajian sains adalah satu kajian ilmiah dan berasaskan bukti.

Namun Islam mengajar penganutnya bahawa alam ini terdiri daripada dua jenis, iaitu alam fizikal dan alam ghaib.

Alam fizikal ialah alam yang mampu dihayati oleh deria manusia. Inilah ruang dimensi yang mana hukum-hukum sains berlangsung. Malah segala hukum sains pun adalah ketentuan-ketentuan Allah, dan ketentuanNya kekal tidak berubah melainkan jika Allah sendiri mengkehendaki.

Hukum sains adalah sunnatullah. Para saintis mungkin boleh sibuk mengolah dan menjelaskan apa itu hukum graviti, hukum Newton dan sebagainya, tapi mereka gagal menjelaskan mengapa hukum itu bertindak sebegitu. Mereka boleh merumuskan bahawa formula daya graviti sebagai F=mg, tapi mereka tidak dapat memberi sebab mengapa graviti mesti bertindak sedemikian rupa; mengapa tidak hukum graviti itu menolak ke atas daripada menarik? Dalam Islam jawapannya mudah sahaja, hukum itu bertindak menurut kehendak Allah, Dialah yang menjadikan alam ini bertindak sedemikian. Syukur kepada Allah yang mengizinkan alam fizikal ini dapat dikaji oleh kapasiti akal manusia, seterusnya dapat diaplikasikan untuk memberi manfaat kepada kita semua.

Sungguhpun peranan sains cukup besar dalam kajian alam fizikal, tapi sains tidak dapat menjelaskan hal-hal ghaib. Hal-hal ghaib merupakan hal yang ilmu mengenainya tidak mampu dicapai manusia, dan hanya diketahui Allah. Peristiwa alam kubur dan alam akhirat merupakan antara hal-hal ghaib yang telah dikhabarkan oleh Allah kepada manusia melalui perantaraan nabiNya. Tiada cara untuk kita mengkaji tentang alam ghaib, sains tidak dapat digunakan.

Para atheist menolak kewujudan Tuhan dan alam ghaib kerana bagi mereka segala yang tidak dapat dibuktikan sains adalah tidak ada. Mereka menganggap sains adalah sempurna dan mempunyai jawapan ke atas segalanya dalam hidup. Bagi mereka, sains adalah matlamat dan tujuan mereka hidup. Tapi dalam Islam, sains adalah alat (bukan matlamat) untuk kita mengkaji alam agar dapat meningkatkan ima dan taqwa kepada Allah selain dapat mengaplikasikan ilmu sains dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi.

Para atheist berkata jika sesuatu itu tidak nampak, atau tidak dapat dibuktikan, maka itu tidak ada. Pandangan ini sudah tentu dapat dibidas. Lihatlah analogi ini: katakan kita pergi ke kawasan pendalaman di tengah-tengah Afrika, di mana masyarakat orang asli di situ tidak pernah pun melihat telefon. Kemudian kita katakan kepada mereka, “awak semua percaya tak kalau saya kata kita boleh berhubung dari jauh dengan menggunakan alat yang bernama telefon?”. Tentu mereka tidak percaya dan menganggap itu tidak logik, sebab mereka tidak mempunyai ilmu tentang adanya telefon. Tapi hakikatnya telefon itu memang ada, lalu setelah anda tunjukkan dan mendemonstrasikan telefon bimbit anda kepada mereka barulah mereka mahu percaya.

Cara orang atheist berfikir tak ubah seperti orang-orang asli ini, mereka menganggap kewujudan sesuatu benda itu hanya ada jika dapat dibuktikan dengan deria mereka. Mereka takkan percaya dengan kebenaran selagi mana mereka  belum melihatnya, sedangkan jika kita lihat dari contoh analogi di atas, kita dapati kebenaran itu tak semestinya hanya daripada sesuatu yang zahir. Tak semestinya jika kita tidak nampak sesuatu, hal itu tidak ada. Mereka mahu alam ghaib dibuktikan dengan sains, tapi ini adalah mustahil, lalu mereka menolak wujudnya alam ghaib tanpa sedikit pun mereka cuba memahami bahawa alam ghaib itu tidak mampu diterokai dengan sains.

Tentu mereka akan menyesal nanti, setelah mereka mati, mereka akan menghadapi alam kubur dan ketika itu baru mereka hendak percaya. Allah akan mempertontonkan kebenaran alam ghaib itu kepada mereka, sepertimana yang mereka tuntut dan meremeh-remehkan tentangnya semasa mereka hidup di dunia. Malangnya ketika di kubur dan di akhirat nanti, semuanya sudah terlambat untuk mereka.

Bersambung ke siri berikutnya.

Pengaruhi suasana sebelum suasana pengaruhi anda

Jika anda selalu mempunyai masalah cepat hilang semangat untuk beramal soleh, atau merasa lebih cenderung ke arah kelalaian daripada melakukan hal-hal yang berfaedah, mungkin anda perlu menilai semula suasana sekeliling anda dengan teliti.

Ya, semak suasana sekeliling dahulu sebelum anda semak diri sendiri.

Kita hidup di zaman yang penuh dengan dugaan. Kita lihat di kebanyakan tempat dan masa telah dipenuhi dengan pengaruh-pengaruh bahaya yang mampu mengancam iltizam semangat kita untuk patuh kepada Allah.

Sebab itu saya dengan penuh rendah hati berpendapat bahawa suasana sekeliling yang tidak soleh selalu menjadi sebab mengapa kita rasa sukar untuk beramal soleh dan meningkatkan kecenderungan hati untuk lebih sukakan kelalaian. Malah untuk segelintir golongan lain, suasana sekeliling bukan sahaja banyak membawa kepada kelalaian, bahkan kemungkaran.

Suasana yang baik adalah makanan untuk iman, dan suasana yang buruk adalah makanan untuk nafsu. Anda pilih yang mana satu anda hendak beri makan, iman atau nafsu?

Kawan-kawan kita, keadaan tempat tinggal dan media adalah tiga pengaruh kuat yang banyak membentuk suasana kehidupan kita hari ini. Perlulah kita mengubah mereka sebelum mereka mengubah kita.

Kawan-kawan. Rajinlah dampingi kawan-kawan yang soleh agar anda dapat tumpang semangat mereka untuk patuh kepada Allah. Pada masa yang sama kekuatan iman kita tidak mudah luntur jika kawan-kawan rapat kita adalah terdiri daripada mereka yang kuat semangat keislamannya. Tapi ingat bila kita asyik berdamping dengan kawan-kawan yang soleh, bukanlah saya memaksudkan kita harus putuskan ukhwah dengan kawan-kawan lain. Dakwah dan ukhwah dengan semua orang yang kita kenal mesti kita jaga, cuma pada masa yang sama kita tetap perlukan sokongan kuat untuk diri kita sendiri, dan sokongan ini boleh diperoleh jika kita berkawan baik dengan teman-teman yang soleh.

Tempat tinggal haruslah dipenuhi dengan hal-hal yang baik seperti buku-buku agama, ruang solat yang selesa dan sempurna dan kitab Al-Quran yang mudah dicapai untuk dibaca sekerap yang mungkin. Persekitaran perlu kemas, bersih dan tenang. Ahli keluarga atau teman serumah harus diajak agar sentiasa taat kepada Allah dan rajin beramal soleh. Begitu juga hiburan untuk ahli keluarga, haruslah kita pantau dan kita mesti bersikap memilih. Jangan sesekali biarkan elemen-elemen hiburan yang haram berlangsung di dalam rumah.

Media. Setiap hari boleh dikatakan majoriti manusia pada zaman moden ini menonton televisyen. Malangnya majoriti besar siaran televisyen banyak mencerminkan yang tidak baik daripada yang baik. Drama-drama, rancangan nyanyian dan realiti adalah antara contoh-contoh popular. Sebab itu kita harus tahu batas-batas kita dalam menonton televisyen, kita takut ia akan pengaruhi kita. Contohnya dalam sebuah drama ada mencerminkan kehidupan cinta pasangan yang belum kahwin, ini menyebabkan penonton-penonton drama tersebut  berisiko untuk secara beransur-ansur menganggap percintaan sebegini suatu yang lumrah dan kebiasaan, dan tidak ada apa-apa. Sedangkan dalam Islam hal ini memang jelas dilarang. Inilah antara teknik pengaruh secara halus yang cukup bahaya sebenarnya, mampu menyebabkan minda seseorang muslim terpesong tanpa disedari.

Lain-lain. Ini termasuklah bahan-bahan bacaan kita, aktiviti kita di internet, pekerjaan dan suasana tempat kerja, serta kekerapan kita dalam menghadiri majlis ilmu dan berdiskusi tentang agama. Semua ini memainkan peranan dalam membentuk suasana kehidupan di sekeliling kita.

Kesimpulannya, selagi mampu kita ubahlah suasana sekeliling agar ia jadi lebih Islamik dan kondusif khas untuk jiwa kita yang dahagakan iman dan taqwa. Bila suasana sekeliling sudah bercirikan keislaman, maka ia akan menjadi mangkin kepada amal soleh, menyebabkan kita menjadi lebih mudah untuk taat kepada Allah. Kehidupan sebagai seorang muslim sejati makin mudah diraih, dan dosa-dosa pula semakin mudah kita jauhi. Saya berharap hasilnya nanti kehidupan kita ini bakal menjadi kehidupan yang sejahtera, diberkati Allah dan berakhir dengan kebahagiaan kekal abadi di syurga Allah sana. Itulah doa saya untuk kita semua.

Pencegahan adalah lebih baik dari rawatan. Ubah suasana anda sebelum suasana mengubah anda.

Wallahu a’lam.