Beberapa perspektif tentang adab-adab menyertai jemaah Islamiah
Betapa berharganya peranan jemaah dalam membina kekuatan umat Islam, baik secara individu mahupun secara kolektif.
Tapi malangnya dalam menjayakan sistem berjemaah ini, terdapat beberapa isu penting yang menyebabkan berlakunya ketidakserasian antara sistem jemaah dengan adab-adab penting melalui Quran dan Sunnah. Inilah yang ingin saya bincangkan dalam penulisan ini.
Kita perhatikan isu-isu berikut.
Berjemaah hanyalah salah satu daripada berbagai-bagai methologi tarbiyyah
Perlulah difahami bahawa untuk berada dalam jemaah, kumpulan atau sesuatu organisasi Islami, bukanlah menjadi satu kemestian untuk setiap muslim menyertainya.
Berjemaah hanyalah salah satu daripada berbagai-bagai cara untuk seseorang muslim membina ketaqwaannya dan menambah ilmu keislamannya.
Selain berjemaah, terdapat juga konsep-konsep pentarbiyyahan lain seperti kelas-kelas dan kuliah-kuliah agama, membaca buku-buku agama, berdiskusi dengan para ustaz dan lain-lain.
Saya, dengan penuh rendah diri dan masih banyak kekurangan, pernah berjumpa beberapa orang yang tidak berada dalam mana-mana jemaah, tapi masyaAllah, mereka kaya dengan ilmu agama yang sahih dan kesungguhan mereka untuk mengamalkan ajaran Islam adalah luar biasa. Anda dapat melihat akhlak mereka cukup mulia dan wajah mereka berseri-seri dan ceria. Mereka sekadar rajin menghadiri kuliah-kuliah, berdiskusi dan rajin berjumpa dengan para ustaz, tapi alhamdulillah mereka memautkan ilmu itu ke hati mereka dan masih berjaya merealisasikan apa yang mereka pelajari kepada amalan zahir, walaupun mereka tidak melibatkan diri dalam mana-mana jemaah.
Tapi ini tidaklah bermaksud berjemaah itu tidak bagus. Didikan dalam berjemaah memang sangat bagus dan digalakkan, cuma janganlah kita sampai menyempitkan fikiran bahawa hanya mereka yang berjemaah akan selamat, sedangkan yang tidak berjemaah akan terjejas. Ini adalah satu sangkaan yang tidak wajar, malah merupakan satu prejudis sebenarnya.
Paksaan atau sukarela?
Dalam menjalankan aktiviti secara berjemaah, perlulah dipastikan bahawa aktiviti itu berlaku dalam keadaan sukarela para pesertanya. Tidak ada paksaan dalam agama, ini adalah satu konsep Qurani yang jelas.
Jika seseorang peserta itu tidak pernah berjanji akan melakukan sesuatu, maka dia tidak boleh diberi tekanan untuk melakukan sesuatu. Jika jemaah itu akan mengadakan program itu dan ini, berkelah, perkhemahan dan sebagainya, maka tidaklah layak untuk para ahli dipaksa menyertainya. Jika dia tidak menyertainya, tidak boleh bersangka bukan-bukan terhadapnya.
Ini berbeza jika seseorang peserta itu telah berjanji untuk melakukan tugas atau telah berjanji untuk menyertai sesuatu program, maka di sini perlulah peserta itu diperingatkan selalu akan janjinya supaya tugasnya dilaksanakan dan memastikan program tersebut berjalan lancar. Sebab menepati janji itu adalah wajib, kalau tidak, risau-risau bakal dicopkan sebagai orang munafiq.
Dalam erti kata lain, kalau seseorang ahli jemaah tidak pernah bersetuju pun yang dia ingin bekerja dalam sesuatu aktiviti jemaah, maka janganlah dia dipaksakan untuk melakukannya. Jika dia hendak lakukannya, maka baguslah. Jika dia tidak mahu, itu adalah haknya dan tidak boleh bersangka buruk kepadanya. Sesungguhnya antara ciri akhlak mulia seseorang muslim itu ialah saling bertoleransi dan bersangka baik.
Amal ibadah berjemaah haruslah serasi dengan Sunnah
Terdapat juga dalam beberapa keadaan di mana aktiviti berjemaah dilakukan untuk ibadat khusus tertentu. Maksud ibadah khusus di sini ialah ibadah yang berbentuk spiritualistik, seperti solat, zikir zahir, membaca Quran, berpuasa dan sebagainya.
Dalam hal ini kita harus sangat berhati-hati.
Sebagai seorang muslim, sebaik-baik tauladan dalam melaksanakan ibadah khusus adalah sebagaimana yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w. Inilah prinsip yang paling tepat untuk kita berasa yakin amal ibadah kita akan diterima Allah, jika dibandingkan dengan amal-amal ibadat khusus yang disusun oleh orang-orang tertentu tanpa bukti daripada dalil-dalil sahih.
Sebab itu, menjadi kewajiban setiap muslim untuk mengetahui bagaimana Rasulullah memerintahkan kita melaksanakan sesuatu ibadah. Tirulah cara beribadah sepertimana dilakukan Rasulullah s.a.w.
Antara amal ibadah yang diperintahkan Rasulullah s.a.w ialah berjemaah ketika solat fardhu di masjid. Ini jelas dalam hadith-hadith sahih yang menunjukkan bahawa Rasulullah hampir-hampir ingin menyuruh dibakar saja rumah-rumah mereka yang dengan sengajanya tidak mengerjakan solat berjemaah. Malah seorang sahabat yang buta sekalipun telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w supaya datang berjemaah di masjid. Hakikatnya hari ini orang ramai tidak mengambil endah tuntutan yang besar ini dan masjid-masjid kita masih lagi kosong setiap kali tiba solat Fardhu.
Namun Rasulullah s.a.w tidak pula menggalakkan agar zikir-zikir dilakukan secara berjemaah. Di kalangan sahabat ada yang baru masuk Islam dan ada yang telah veteran, tapi tidak ada riwayat sahih yang menunjukkan mereka melakukan hal-hal tersebut.
Pendek kata, di sini perlulah ahli jemaah jelas yang mana satu sunnah, dan yang mana satu bukan.
Jadi sebaiknya ketika berada dalam jemaah, kalau ingin melakukan ibadah-ibadah khusus, lebih baik jika diserahkan kepada diri masing-masing untuk melakukannya. Tidak perlulah untuk mentaklifkan ibadah-ibadah tertentu kepada ahli-ahli tertentu, seperti disuruh untuk berzikir atau beristighfar dengan beberapa bilangan tertentu sebab ini bukanlah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w yang kita cinta.
Elakkan pentaklifan, tapi berikanlah nasihat dan galakan. Contohnya, lebih baik jika dikatakan, “kami menggalakkan diri kita semua agar rajin berzikir dan beristighfar agar kita semua beroleh redha dan maghfirah Allah” daripada kita katakan “anda semua diminta berzikir dan beristighfar 100 kali sehari, ini adalah amanah anda sebagai peserta program ini”. Saya khuatir kata-kata yang kedua tadi bakal menjadi satu bentuk taklifan ibadah yang tidak mudah untuk diniatkan kepada Allah, sebab para ahli jemaah akan lebih cenderung hati mereka untuk melakukan ibadah tersebut kerana ingin mematuhi mematuhi program. Ini akan menyusahkan niat mereka untuk ikhlas betul-betul kerana Allah.
Kita yang mengaku mencintai sunnah Rasulullah s.a.w ini, sewajarnya mengikuti bagaimana Rasulullah s.a.w bersama para sahabat dalam konteks mereka hidup berjemaah. Harus kita selidik dalam isu apakah mereka berjemaah, dan dalam isu apa mereka bersendirian. Dengan ini, insyaAllah, jemaah yang kita ikuti bersama-sama adalah jemaah yang unggul dan terkedepan dalam meneladani gaya hidup Rasulullah s.a.w.
Ahli jemaah tidak wajar hanya komited untuk jemaahnya sahaja
Alangkah bahayanya jika berfikiran untuk memberi komitmen kepada jemaah semata-mata.
Sebab sebagai seorang muslim, komitmen kita adalah untuk Islam, bukan untuk jemaah atau organisasi. Jika ada kerja Islami daripada organisasi tertentu yang bukan daripada jemaah kita, tapi mereka memerlukan kita, maka kita perlu pergi. Jika ada dua urusan bercanggah, antara kerja dalam jemaah dan kerja luar jemaah, harus kita pilih yang mana satu lebih penting walaupun perlu memilih kerja luar jemaaah. Saya harap anda faham maksud saya.
Jika bekerja dalam jemaah pun, niat haruslah untuk kesejahteraan umat Islam, bukan untuk kebaikan jemaah sahaja. Semua ini penting supaya semangat dan kesatuan bercirikan ummatik terus utuh dan itulah sebenarnya konsep persaudaraan yang dituntut dalam Quran dan Sunnah.
Malah, kadang-kadang wujud juga elemen berbahaya dalam pemikiran sesetengah ahli jemaah yang hanya menganggap saudara Islamnya hanyalah mereka yang dalam jemaahnya. Saya pernah diucapkan oleh seorang muslim dengan kata-kata “I don’t approve you as my brother” dalam satu program yang saya ikuti, hanya kerana saya pulang awal daripada program. Kasihan saya melihatkan kawan saya tersebut, yang nampaknya telah menganggap hanya mereka yang menyertai aktiviti jemaah itu sahaja dikira sebagai saudaranya.
Begitu juga, sebagai contoh, jangan sampai jika hendak pinjamkan kereta, utamakan dulu saudara jemaahnya sahaja. Padahal yang benar adalah mengutamakan kaum muslimin yang ada urusan lebih penting tanpa mengira mereka bersama jemaah kita atau tidak.
Dengan meniatkan bekerja untuk jemaah, bukan untuk umat Islam, kita khuatir kita akan menafikan konsep Qurani yang telah disebutkan dalam surah Ali Imran dan Al-Hujurat, iaitu konsep “umat yang terunggul” dan konsep “setiap mukmin itu bersaudara”. Jadi, walaupun bekerja dalam jemaah, fikiran ahli jemaah haruslah bercorak ummatik. Setiap aktiviti jemaah haruslah bermatlamatkan dan diorientasikan untuk kejayaan umat pada akhirnya, bukan untuk jemaah semata-mata.
Tentang mutaba’ah amal
Sistem mutaba’ah amal adalah satu teknik penilaian amal yang biasa dilakukan dalam usrah. Contohnya diminta para ahli usrah supaya melakukan solat sunat dengan sekurang-kurangnya bilangan tertentu, puasa, qiam dan sebagainya dalam seminggu, dan rekod mereka akan diperiksa oleh naqib yang bertugas semasa sesi usrah .
Benar, pada asasnya ini adalah bagus untuk melatih diri ahli usrah untuk beramal. Tapi jangan kita lupa dalam Islam amal itu hanya sempurna jika ikhlas niatnya kerana Allah dan perlakuannya menurut contoh Rasulullah s.a.w.
Dalam melaksanakan mutaba’ah amal ini, kita khuatir amal tersebut tidak menjadi amal yang ikhlas kepada Allah, sebab ada risiko para ahli akan berfikir bahawa mereka melakukan ini agar dapat memenuhi amanah dan janji mereka dalam jemaah. Paling takut ia bakal membawa kepada syirik, jika ini dilakukan oleh mereka yang masih baru dalam tarbiyyah (sebab berniat melakukan ibadah untuk memenuhi tuntutan jemaah, kerana mereka tidak mahu berasa malu semasa sesi penilaian mutabaah nanti).
Malah, dengan meletakkan taklifan sebegini, kita telah meletakkan elemen pemaksaan kepada muslim yang lain sedangkan dalam agama itu tidak boleh ada paksaan untuk beramal.
Inilah beberapa saranan untuk memperbaiki mutabaah amal ini:
- Jika mutabaah amal itu tentang urusan kerja ibadah am (seperti membaca, senaman) dan bukannya ibadah khusus, maka ini adalah lebih selamat.
- Sistem mutabaah amal ibadah khusus ini lebih wajar untuk kanak-kanak yang belum baligh sebagai satu bentuk pendidikan. Kanak-kanak, tidak seperti orang dewasa, sukar untuk menghayati erti keikhlasan dalam beramal, maka didikan secara begini bersama ganjarannya adalah satu cara untuk melatih membiasakan mereka dengan amal ibadah. Malah, inilah antara cara psikologi didikan anak.
- Gunakan usrah sebagai sesi tazkirah dan penginsafan. Kemudian serahkan kepada para ahli untuk bertindak menurut kesungguhan mereka.
- Lebih baik jika tidak dinilai ibadah khusus para ahli dan biarkan ia secara rahsia antara mereka dan Allah. Ini supaya dapat melatih hati mereka agar dapat ikhlas beribadah kepada Allah.
- Hanya jika para ahli usrah sendiri ingin membincangkan masalahnya tentang beramal, barulah perbincangan boleh dibuka.
- Tugas Naqib hanyalah sebagai moderator dan pembimbing sahaja. Tidak wajar untuknya mengambil tahu kisah peribadi ahli usrahnya melainkan ahli usrahnya sendiri yang ingin berbincang masalah.
Antara fikrah dan kebenaran sejati
Para ahli jemaah patut tahu membezakan ketika beraktiviti dalam jemaah, yang mana satukah merupakan hasil fikiran manusia dan yang mana satukah merupakan hal-hal yang betul-betul disuruh melalui hadith-hadith sahih.
Setiap jemaah ada metologinya masing-masing. Ada yang berkecimpung dengan sistem usrah, ada yang dengan keluar berdakwah berhari-hari, ada yang mengadakan aktiviti-aktiviti kuliah mingguan dan sebagainya. Metodologi ini berbeza-beza dan kebanyakkannya merupakan kaedah ciptaan manusia. Ini semuanya baik dan bermanfaat maka ia digalakkan.
Cuma perlulah disedari, walaupun metodologi yang baik ini digalakkan, tapi apabila ia lahir sebagai buah fikiran manusia, maka tidaklah layak untuk kita meletakkan hukum-hakam tertentu ke atasnya. Sebagai contoh, katakan ada seorang ahli fahaman ekstrim dalam sesuatu jemaah usrah, lalu dia mengatakan bahawa menyertai usrah itu wajib. Inilah satu kesilapan yang merbahaya, sebab idea usrah itu adalah sesuatu yang baru hasil fikiran Hasan Al-Banna, reformis kita yang unggul, tapi bukanlah sesuatu yang disyariatkan. Kesilapan ini berlaku kerana ahli jemaah yang ekstrim ini tidak tahu membezakan yang mana satu fikrah, dan yang mana satu kebenaran sejati yang ada perintahnya berdasarkan dalil-dalil yang sahih.
Aktiviti dalam jemaah: harus dikongsikan atau dirahsiakan?
Ini mungkin satu isu sensitif, tapi mungkin ada baiknya kita berbincang mengenainya untuk meluaskan perspektif kita.
Ada sesetengah jemaah berpendapat haruslah dirahsiakan aktiviti jemaah mereka.
Hal ini haruslah dinilai menurut waqi’ atau keadaan semasa. Secara umumnya jujur saya katakan -menurut apa yang telah saya bincangkan dengan beberapa orang rakan yang luas fikrahnya- bahawa tidaklah wajar untuk aktiviti-aktiviti jemaah Islami dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai.
Antara sebab setengah muslim tidak mahu menyertai jemaah ialah kerana jemaah yang mereka selalu dengar suka merahsiakan aktiviti mereka. Dengan merahsiakan aktiviti dalam jemaah, orang ramai -terutamanya orang-orang awam- akan berasa syak wasangka, perasaan takut dan risau lantas merasakan aktiviti berjemaah itu sebagai sesuatu yang salah.
Ada sesetengah muslim yang menyertai jemaah berdalil untuk sembunyikan aktiviti dakwah dengan merujuk kepada sirah Rasululah s.a.w, iaitu baginda berdakwah dengan sembunyi-sembunyi sebelum terang-terangan, maka kita harus contohi baginda s.a.w.
Kisah itu benar. Tapi, memetik kata-kata Dr. Zakir Naik, dalil-dalil haruslah difahami mengikut konteksnya. Ketika zaman awal dakwah Rasul s.a.w, terdapat ancaman luar biasa daripada kaum Quraisy terhadap agama Islam, disamping umat Islam masih kecil jumlahnya. Dalam keadaan ini jika dilakukan dakwah terang-terangan maka dikhuatiri dakwah Islam itu akan mati terus. Malah, agama Islam adalah satu agama baru yang betul-betul bertentangan dengan agama berhala kaum Quraisy. Maka wajarlah untuk disembunyikan dakwah Islamiah sehingga keadaan sudah stabil, di samping umat Islam pula sudah cukup kuat mental dan fizikalnya untuk mempertahankan agama suci ini.
Tapi keadaan di negara kita berbeza. Agama rasmi negara kita ialah Islam. Tiada siapa yang hendak melarang kita berdiskusi tentang agama di negara kita, walau di kedai-kedai kopi. Tiada siapa melarang kita memakai jubah dan serban di tengah-tengah bandar. Kita tidak diancam kerana kita seorang Islam. Pemerintah kita sendiri berpuasa dan menyambut hari raya sebab mereka pun beragama Islam. Jadi mengapa mahu berahsia tentang aktiviti Islami?
Sikap berahsia itulah yang akhirnya membawa risiko apabila pihak berkuasa menganggap itu sebagai usaha-usaha berhaluan kiri untuk memberontak kerajaan, walaupun jemaah itu tidak pernah berlaku sedemikian. Malah golongan non-muslim pun ada yang berasa tidak senang dengan kerahsiaan dalam kumpulan-kumpulan muslim, menyebabkan wujudnya fitnah-fitnah kononnya ada kumpulan pengganas di negara kita di sebalik gerakan jemaah, sedangkan tidak pernah langsung ahli jemaah tersebut terlibat dalam fahaman sedemikian.
Sebab itulah sikap kita yang sebenarnya dalam berjemaah ini ialah kita berasa ‘izzah dengan aktiviti jemaah yang kita ceburi, dengan menceritakan kepada kawan-kawan yang lain. Ceritakan apa yang kita pelajari dan apakah peningkatan diri kita melalui berjemaah. Biar kawan-kawan lain yang tidak sertai jemaah berasa jelas bahawa aktiviti Islamik secara berjemaah ini adalah satu benda yang positif dan menyeronokkan.
Dengan cara inilah, dengan izin Allah, berjemaah bakal dilihat sebagai sesuatu yang baik dan dapat menarik minat lebih ramai muslim lain. Malah, insyaAllah pihak berkuasa juga tidak akan melarang usaha-usaha mulia sebegini, jika ternyata ia memang benar-benar bersih daripada unsur ekstrisme.
Elakkan sikap memilih dalam menambah ahli jemaah
Ada satu isu penting tentang siapakah yang layak menjadi ahli jemaah?
Jawapan yang tepat menurut Al-Quran dan Sunnah ialah setiap orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya layak menjadi ahli. Tidak ada syarat-syarat seperti rajin ke masjid, bagus akhlak dan sebagainya untuk menjadi ahli jemaah. Walaupun golongan sebegini lebih mudah untuk diajak, tapi mereka bukanlah golongan yang paling patut diutamakan.
Ini kerana setiap muslim yang berminat untuk memperbaiki dirinya ke arah Islam, walaupun sejahat mana sekalipun dia sebelumnya, patut menyertai jemaah Islami. Malah, merekalah yang lebih berhak untuk menyertai aktiviti jemaah sebab mereka lebih memerlukan platform jemaah itu untuk menghidupkan kembali ruh keislaman yang semakin luput.
Malah, Imam Hasan Al-Banna sendiri ketika mula-mula ingin merekrut ahli setelah mewujudkan NGO ikhwanul Muslimin di Mesir, beliau mulakan ajakannya di kedai-kedai kopi, bukannya memilih kawan-kawan di masjid.
Para pendidik, kitab rujukan dan sukatan pelajaran tidak semestinya datang daripada golongan jemaah itu semata-mata
Perspektif sesuatu jemaah haruslah luas melata ke seluruh dunia Islam. Tidak wajar untuk sesuatu jemaah itu harus memilih sukatan pengajian Islam hanya daripada sumber-sumber yang berasal daripada jemaah itu sahaja.
Sepatutnya segala khazanah ilmu Islam yang ada, selagimana ia adalah ilmu yang muktabar menurut Al-Quran dan Sunnah, wajar menjadi sumber rujukan dalam sesuatu aktiviti keilmuan berjemaah, baik semasa berseminar atau usrah.
Kesimpulan: Agar berjemaah membawa kepada semangat kesatuan ummah
Mungkin isu-isu yang dibentangkan di atas ini bakal mencetuskan beberapa komen hangat, tapi sebagai satu perbincangan saya kira perlu dinyatakan juga.
Ulasan-ulasan di sini tidak semestinya betul, tapi saya kira apalah salahnya jika kita berfikir di lorong yang alternatif untuk meluaskan gambaran kita tentang konsep menyertai jemaah.
Berjemaah adalah berguna sebagai salah satu platform untuk kaum muslimin saling bantu-membantu untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah.
Cumanya dalam proses itu janganlah sampai jemaah itu bertindak seperti satu sub-group dalam komuniti kaum muslimin. Fikiran ahli jemaah perlulah bersifat ummatik, seperti askar-askar yang berjuang dalam platun-platun kecil tapi hakikatnya mereka semua terdiri daripada satu angkatan yang besar dan sejiwa. Aktiviti berjemaah hanyalah seperti satu madrasah untuk mendidik jiwa-jiwa muslimm jadi ia memerlukan peringkat-peringkat sepertimana silibus-silibus pelajaran dalam sekolah.
Setiap muslim berhak untuk sertai mana-mana jemaah Islami jika mereka mahu tanpa mengira latar belakang mereka. Pada masa yang sama, aktiviti dalam jemaah haruslah bersifat fleksibel dan bergariskan panduan daripada Al-Quran dan Sunnah. Jemaah haruslah bebas daripada sikap jumud dan paling penting, bebas daripada taasub jemaah.
Akhir kata, matlamat jemaah adalah untuk ummah sebab jemaah yang paling asli berdasarkan Quran dan Sunnah ialah jemaah kaum muslimin. Setiap orang yang beriman adalah bersaudara dan kita semua adalah satu. Inilah jemaah yang paling afdhal.
Wallahu a’lam.
February 9th, 2009 at 10:41 pm
SALAM.
boleh tolong jelaskan definasi ‘jahiliyyah’?
sebab ader yang berpendapat bahawa menonton tv, internet, friendster itu semua perbuatan jahiliyyah..
boleh tolong jelaskan tentang jihad and dakwah?
February 10th, 2009 at 3:55 am
Wa’alaikumussalam.
Kalau salam hendakkan penjelasan yg tepat dan ilmiah, maaf saya tak tahu. Ada baiknye kite cube bertanya kpd para a’lim dan merujuk buku2 muktabar utk lebih arif ttg isu ni.
Tapi kalau salam sekadar ingin bertanyakan pendapat dan kefahaman saya (setakat ini) ttg isu ni, insyaAllah sy nyatakan kat bawah ni.
Secara bahasa, jahila (verb) bermaksud “utk tidak tahu atau tidak ambil peduli” sementara “jaahil” (noun) bermaksud “org yg tidak tahu/tidak ambil peduli”. Umumnya, dalam syarak, jahil tu dianggap sbg sikap ketidaktahuan atau ketidakpedulian terhadap panduan daripada Islam.
Jahiliyyah adalah satu sistem undang-undang dan moral yg berasal bukan daripada nas-nas Allah s.w.t dan sunnah RasulNya.
Undang-undang ciptaan manusia semata-mata yg tidak selari dgn dalil adalah termasuk dlm sistem jahiliyyah. Masyarakat jahiliyyah pada zaman Rasulullah s.a.w dulu menyekutukan Allah, melakukan zina, menanam anak2 mrk yg masih hidup, semuanya atas pemikiran yg karut-marut, dan ini semua dipanggil fahaman jahiliyyah.
Pada zaman kita, kalau kita tgk dunia hiburan, sistem perundangan, urusan perniagaan, kebudayaan dan sbgnya, byk juga yg tidak menepati nas-nas Islami. Maka ia boleh dinisbatkan sbg jahiliyyah moden. Contohnya dlm sambutan hari raya kita, byk ditayangkan nyanyian2 artis2 wanita yg tidak tutup aurat, percampuran bebas lelaki dan wanita, semua ni dinisbatkan atas semangat hari raya. Sgt berbeza cara hari raya masyarakat kita dgn sambutan pada zaman Rasulullah s.a.w yg kita sanjungi.
Pendek kata, jika sesuatu urusan itu kita lakukan tetapi tidak selari dgn syariat Islam, maka ia termasuk amalan jahiliyyah. Wallahu a’lam.
Ttg jihad dan dakwah, sy kira itupun satu isu yg sgt besar. Sy bukanlah org yg tepat utk salam tanye ttg hal ini. Namun, sy sekadar berkongsi sahajalah, harapan sy ada manfaatnya utk semua.
Jihad, jika disemak dari segi bahasa, “jahada” (verb) bermaksud “berjuang”, “jahdun” (noun) bermaksud “satu usaha dgn segenap kemampuan”, juhdun bermaksud “kekuatan/kemampuan”, sedangkan “mujahid” bermaksud “org yg berjuang”. Kalau dlm nas syarak, umumnya jihad dikira sah jika diniatkan ikhlas krn Allah, dan telah diolahkan dlm 3 sudut utama.
Sudut pertama ialah jihad adalah nama lain perang fisabillilah melawan musuh2 agama. Inilah jihad yg paling besar dan sukar, krn ini melibatkan pengorbanan nyawa.
Sudut kedua ialah jihad dgn harta (jahada bima-lihi). Di sini harta tidak semestinya hanya wang, harta juga bermaksud segala bentuk modaliti yg disumbangkan utk manfaat ummat. Ini termasuklah mewaqafkan tanah utk didirikan sekolah Islam, membelikan komputer utk kanak2 Islam, sumbangan buku2 Islami, dsbnya. Kalau dlm nas2, kerap juga disebut jihad harta sebelum jihad nyawa. Ini krn jika seseorang itu tak sanggup korbankan hartanya ke jalan Allah, maka tak logik utk dia sanggup korbankan nyawanya.
Jihad nyawa dan jihad harta adalah bentuk2 jihad yg berperanan utk kemaslahatan ummah, sbb faedahnya bermatlamatkan kesejahteraan ummat, bukan diri mujahid itu sendiri. Selain ini, terdapat juga jihad menggunakan diri sendiri utk Islam, bukan utk peperangan, tetapi menggunakan kelebihan diri utk manfaat Islam. Contohnya dgn memberi ceramah ttg agama, mengarang blog, menerbitkan filem2 Islam dsbnya.
Sudut ke tiga dilihat sbg jihad dgn jiwa melawan nafsu dan pengaruh syaitan (mujahadatun nafsi).. Ini adalah satu jihad yg lebih berbentuk infiradi atau perseorangan, contohnya jihad utk tidak berasa malas, jihad utk rajin bangun qiamulail, jihad utk hafaz Quran dsbnya.
Semua bentuk jihad adalah amalan yg mulia. Namun sudah tentu jihad berbentuk ummatik, iaitu jihad perang dan harta haruslah lebih diutamakan berbanding jihad perseorangan. Maknanya, alangkah ruginya kalau seseorang itu sibuk bangun qiam dan kuat amal ibadahnya, tp dia tidak menyumbang tenaga utk kesejahteraan umat.
Jadi kalau Salam tanye ttg jihad dan dakwah, jihad tersebut mestilah berbentuk sebarang usaha yg memberi manfaat kpd manusia sejagat, sb dakwah Islam itu universal baik utk muslim dan non-muslim. Paling utama pada zaman kita sudah tentu jihad dlm bentuk harta dan kemampuan diri, sbb masa kini kita tidak kerap lagi berada peperangan fizikal, tp dalam peperangan berbentuk mental dan ekonomi. Jadi lapangan jihad kita harus ditujukan ke arah itu utk memperkasakan umat.
Contohnya, berjihadlah dgn berusaha membantu melahirkan lebih ramai intelektual Islamik, ahli2 perniagaan Islam, menguatkan perniagaan2 umat Islam dan perbankan Islam, mempopularkan gaya hidup dan gaya berpakaian Islam kepada semua org baik muslim mahupun non-muslim, memperjelaskan kpd bukan Islam bahawa Islam bukan agama ekstrim selain biasakan berbaik-baik dgn non-muslim, mengajak org Islam supaya membayar zakat dan rajin sedekah, dan sudah tentu jgnlah lupa utk sentiasa mengajak ke arah amar maaruf nahi munkar.
Ini semua adalah strategi jihad yg, pada pendapat sy, relevan utk melawan pengaruh barat ke atas dunia Islam masa kini. Wallahu a’lam.
Saya bukanlah seorang a’lim dan faqih. Sy harap salam teruskan merujuk kpd org yg lebih afdhal, seperti para ustaz dan ustazah, kitab2 muktabar dan fahamilah isu ni berdasarkan nas-nas2 syarak.
Wallahu a’lam.
February 16th, 2009 at 7:41 am
assalamuaikum, sy nk tanya la adakah wajib ke kita menyertai jemaah? perlu sgt ke?
February 19th, 2009 at 3:26 am
Wsalam..
Eh, tak wajib..
Tapi menyertainya insyaAllah bakal memberikan faedah kpd diri, asalkan kita tahu peranan jemaah itu utk memperkasakan umat Islam dan kita sedar batas-batas kita dlm menyertai jemaah.
February 27th, 2009 at 10:10 pm
salam. saya minta izin men’copy’ posting anda ini di blog saya. jzkk
March 1st, 2009 at 8:38 am
Wsalam. Silakan. Semoga ianya memberi manfaat kpd semua. Amin ya Robb.
March 12th, 2009 at 8:26 am
salam..andai seseorg itu tidak menyertai jemaah tidaklah jatuh hukum berdosa kepadanya apatah lg lebih teruk jika digolongkn sebagai ahli neraka..akan tetapi bg mereka yg telah sedar, arif, dan tahu akan kpentingan jemaah ataupun kepentingan berada dlm gerakan islam, maka menjadi suatu kemestian bgnya utk menginfakkan harta, masa, diri dan segalanya utk kepentingan jemaah..eloklah ita singkap kembali sirah Nabi SAW yg mnyebrkn ajaran Islam..Nabi tidak lah menyebarkan Islam atau berdakwah seorg diri, akan tetapi ia dilakukan secara berjemaah ataupun dlm satu gerakan..
Ingat kembali peranan kita sebagai muslim adalah untuk berdakwah..maka dlm usaha utk berdakwah itu, lebih besar impaknya sekiranye ia dilakukan dgn berstrategi, berorganisasi dan tersusun dlm mencapai objektifnya..maka semuanya itu bole dicapai dengan satu gerakan yang dinamakan gerakan islam…Di Malaysia ade terdapat byk jemaah atau gerakan ataupun pertubuhan Islam..kajilah dgn teliti dan terperinci tentang ciri2 dan apa itu gerakan atau jemaah Islam yang menepati syariah Islam..Rujuklah pd gerakan Ikhwanul muslimin yg pernh diasaskn oleh as-syahid imam hassan al banna..wallahu a’lam
March 12th, 2009 at 9:54 am
Wsalam.
Betul, bergerak dalam kumpulan lebih besar hasilnya jika hendak berdakwah. Mcm kata pepatahla, seperti lidi seberkas. Secara logiknya, dlm apa kerja sekalipun, kalau dibuat seorg diri, takut2 mudah tumbang, jika berkumpulan maka insyaAllah lebih kuat, konsisten dan stabil insyaAllah.
Hanya sj ape yg sy maksudkan di sini ialah dlm bersungguh2 semasa bergerak dlm jemaah jgn sampai kita tidak mengambil serius tanggungjawab memperbaiki dan berdakwah kpd manusia baik muslim atau non-muslim, itu shj. Dakwah kpd masyarakat adalah tuntutan agama yg sgt utama. Begitu byk dalil2 yg menyeru kita ke arah ini. ^_^
March 13th, 2009 at 10:48 am
btol2