Archive for February, 2009


Sejenis jihad yang jangan kita lupakan

Melihatkan kepada rancaknya perkembangan dunia keilmuan masa kini, alangkah ruginya sekiranya kita masih duduk melepak dan bersenang-lenang.

Kita tertinggal, salah siapa?

Dunia ilmu sains dan teknologi sedang dimonopoli oleh golongan bukan Islam. Ini memberikan pengaruh yang besar untuk bangsa mereka. Secara  tidak langsung budaya mereka menguasai kebudayaan dunia. Ramai daripada masyarakat dunia, terutamanya daripada generasi muda, baik muslim atau tidak, ingin meniru budaya barat dan negara maju, kononnya inilah cara hidup moden.

Bagi umat Islam, inilah antara kelemahan kita masa kini, iaitu ada daripada golongan umat Islam yang tidak menilai sesuatu gaya hidup menurut kacamata Quran dan Sunnah.

Kekalahan teruk majoriti generasi baru umat Islam pada hari ini ialah dengan menyangka apa sahaja yang dibuat oleh budaya barat, pasti patut ditiru, sebab pada pandangan mereka itulah satu keunggulan dan simbol kemajuan. Sikap sebegini akhirnya memamah pendirian mereka sebagai umat Islam. Lantas lahirlah berbagai-bagai gerakan dan pemikiran yang kononnya ingin memperbaharui agama Islam supaya selari dengan tamadun barat yang beralasankan “kebebasan dan hak-hak manusia” itu.

Hakikatnya yang silap bukanlah pada agama kita, tapi pada penganutnya. Salah mereka kerana tidak betul-betul melihat dan mengamalkan apa yang diajar oleh Islam. Kemudian umat Islam jadi terkebelakang, akhirnya agama pula yang dipersalahkan. Bukankah ini semua mainan syaitan?

Realiti hari ini; dunia Islam masih ketinggalan dalam sudut sains dan keilmuan semasa. Pada masa ini, kita tidak banyak melahirkan teknologi dan penemuan baru. Tapi kita hanya berbangga dengan zaman keemasan umat Islam kira-kira 1000 tahun yang lalu. Adakah cukup kita berbangga dengan sejarah kita? Tidak, sejarah yang baik seperti ini mesti kita usahakan untuk diulangi.

Menuntut dan menguasai ilmu: satu jihad yang jangan kita lupakan

Sebab itu saya mengajak kepada anda semua agar bertungkus lumuslah dalam menguasai ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Jangan berhenti berjuang. Teruskan belajar dan mengkaji pada jalan Allah, semoga Allah meredhai anda dan kurniakan anda dengan kejayaan di dunia dan akhirat.

Jadikan masyarakat bukan Islam jelas bahawa agama ini adalah agama yang mengajak kepada mencintai ilmu dan untuk sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk menguasai ilmu. Umat Islam pada hakikatnya bukanlah umat pengguna, sebenarnya umat pengeluar, umat yang produktif. Syariat menuntut kita supaya banyak melahirkan penemuan dan teknologi baru.

Ingat, salah kita untuk tidak menyahut seruan agama ini, bukannya salah agama.

Seandainya kita sedang bermalasan, sedang leka dengan dunia atau hilang semangat untuk menambah ilmu, maka saat itu ketuklah pintu hati kita. Bangunlah! Dunia bukan tempat untuk bersenang-lenang. Kita ada tugas untuk dilakukan. Tanggungjawab ini harus disempurnakan sebaik mungkin.

Tugas menuntut ilmu ini ialah satu jihad yang sangat dituntut. Bukan jihad itu hanya dengan ketenteraan ketika ingin mempertahankan kesucian agama, tapi jihad itu juga terdapat dalam bentuk usaha keilmuan dan kemajuan.

Malah di dunia moden ini, peperangan di sudut pemikiran telah mencapai peringkat global dan memberi pengaruh yang besar terutamanya begi pihak yang sedang mendahului, iaitu barat. Kita sebagai umat Islam hanya dapat melawan kembali pengaruh mereka apabila kita menjadi pendahulu di arena keilmuan dan pemikiran yang berasaskan ketauhidan.

Anda boleh menjadi tentera Allah dengan mempelajari ilmu pengetahuan yang bermanfaat, kuasainya betul-betul, dan sebarkan ia menurut kacamata keimanan dan ketaatan kepada perintah Allah. Islam adalah agama yang benar, jika kita menyampaikannya dengan cara dan pemahaman yang haq, pasti orang ramai akan kagum dengan Islam.

Biar kita bersusah-payah di dunia, asalkan kita senang-lenang di akhirat. Bukankah akhirat itu negeri kekal abadi?

Sedikit pesanan buat para penggiat dakwah

Sengaja ingin saya kongsikan beberapa peringatan yang saya kira berguna untuk para penggiat dakwah sekalian.

“Action speaks louder than words.”

Sesungguhnya jika anda melakukan apa yang anda katakan, bahkan kadang-kadang anda tidak perlu berkata-kata langsung tapi cukup dengan menunjukkan contoh tauladan, insyaAllah anda akan dapati beberapa orang akan mengikuti jejak anda untuk melakukan sesuatu amal.

Syaratnya hanya satu, istiqamahlah melakukan amal tersebut dan harus sabar menunggu. InsyaAllah hasilnya akan tiba.

Nilailah pada perbuatan, bukan pelakunya

Kesilapan seseorang manusia dinilai pada perbuatannya, bukan pada dirinya. Jika seseorang itu melakukan satu-satu kejahatan, jangan sangka dia selalu melakukan kejahatan yang sama. Prejudis atau sangka buruk adalah dilarang dalam Islam.

Jangan serang peribadi orang lain

Kadang-kadang saya sedih melihatkan gelagat sesetengah aktivis dakwah yang menceritakan kelemahan dan keburukan aktivis Islamik yang lain. Demikian juga dalam dunia politik, penyerangan peribadi dan memburukkan sahsiah orang lain masih juga berlaku. Sedihnya ini dilakukan oleh orang beragama Islam.

Barangkali jika direndah-rendahkan orang lain, boleh jadi diri kita sendiri lebih rendah daripadanya. Sila rujuk dan renungi kandungan surah Al-Hujurat, yang mengandungi begitu banyak perintah tentang penjagaan hubungan sesama manusia.

Berkatalah sesuai dengan tahapan pemikiran mereka

Sekiranya anda ingin menasihati remaja, janganlah anda mengkritiknya. Ini kerana remaja mempunyai sikap suka memberontak, jika dilihat kepada pemahaman psikologi secara umum.

Jika anda ingin menasihati kanak-kanak, sertakanlah banyak contoh-contoh dan analogi bagi memudahkan mereka faham, janganlah sesekali mengherdiknya.

Jika anda sebagai seorang suami ingin menasihati isteri, lakukanlah dengan penuh lemah lembut dan perbincangan, kerana naluri kewanitaan itu yang sensitif berbanding lelaki, tentu anda tidak mahu melukai hati wanita yang anda cintai, bukan?

Pendek kata di sini, penting untuk anda memahami keadaan pemikiran dan sikap orang yang ingin anda dekati sebelum anda menasihatinya. Anda harus terbuka menerima kritikan jika ternyata anda silap. Ingat, kita bukan malaikat. Kita semua boleh tersilap.

Pesanan ini saya tujukan kepada diri saya sebelum saya tujukan kepada anda. Semoga kita semua sama-sama menjadi muslim yang sejati. Amin ya Rabb.

Wallahu a’lam.

Beberapa perspektif tentang adab-adab menyertai jemaah Islamiah

Betapa berharganya peranan jemaah dalam membina kekuatan umat Islam, baik secara individu mahupun secara kolektif.

Tapi malangnya dalam menjayakan sistem berjemaah ini, terdapat beberapa isu penting yang menyebabkan berlakunya ketidakserasian antara sistem jemaah dengan adab-adab penting melalui Quran dan Sunnah. Inilah yang ingin saya bincangkan dalam penulisan ini.

Kita perhatikan isu-isu berikut.

Berjemaah hanyalah salah satu daripada berbagai-bagai methologi tarbiyyah

Perlulah difahami bahawa untuk berada dalam jemaah, kumpulan atau sesuatu organisasi Islami, bukanlah menjadi satu kemestian untuk setiap muslim menyertainya.

Berjemaah hanyalah salah satu daripada berbagai-bagai cara untuk seseorang muslim membina ketaqwaannya dan menambah ilmu keislamannya.

Selain berjemaah, terdapat juga konsep-konsep pentarbiyyahan lain seperti kelas-kelas dan kuliah-kuliah agama, membaca buku-buku agama, berdiskusi dengan para ustaz dan lain-lain.

Saya, dengan penuh rendah diri dan masih banyak kekurangan, pernah berjumpa beberapa orang yang tidak berada dalam mana-mana jemaah, tapi masyaAllah, mereka kaya dengan ilmu agama yang sahih dan kesungguhan mereka untuk mengamalkan ajaran Islam adalah luar biasa. Anda dapat melihat akhlak mereka cukup mulia dan wajah mereka berseri-seri dan ceria. Mereka sekadar rajin menghadiri kuliah-kuliah, berdiskusi dan rajin berjumpa dengan para ustaz, tapi alhamdulillah mereka memautkan ilmu itu ke hati mereka dan masih berjaya merealisasikan apa yang mereka pelajari kepada amalan zahir, walaupun mereka tidak melibatkan diri dalam mana-mana jemaah.

Tapi ini tidaklah bermaksud berjemaah itu tidak bagus. Didikan dalam berjemaah memang sangat bagus dan digalakkan, cuma janganlah kita sampai menyempitkan fikiran bahawa hanya mereka yang berjemaah akan selamat, sedangkan yang tidak berjemaah akan terjejas. Ini adalah satu sangkaan yang tidak wajar, malah merupakan satu prejudis sebenarnya.

Paksaan atau sukarela?

Dalam menjalankan aktiviti secara berjemaah, perlulah dipastikan bahawa aktiviti itu berlaku dalam keadaan sukarela para pesertanya. Tidak ada paksaan dalam agama, ini adalah satu konsep Qurani yang jelas.

Jika seseorang peserta itu tidak pernah berjanji akan melakukan sesuatu, maka dia tidak boleh diberi tekanan untuk melakukan sesuatu. Jika jemaah itu akan mengadakan program itu dan ini, berkelah, perkhemahan dan sebagainya, maka tidaklah layak untuk para ahli dipaksa menyertainya. Jika dia tidak menyertainya, tidak boleh bersangka bukan-bukan terhadapnya.

Ini berbeza jika seseorang peserta itu telah berjanji untuk melakukan tugas atau telah berjanji untuk menyertai sesuatu program, maka di sini perlulah peserta itu diperingatkan selalu akan janjinya supaya tugasnya dilaksanakan dan memastikan program tersebut berjalan lancar. Sebab menepati janji itu adalah wajib, kalau tidak, risau-risau bakal dicopkan sebagai orang munafiq.

Dalam erti kata lain, kalau seseorang ahli jemaah tidak pernah bersetuju pun yang dia ingin bekerja dalam sesuatu aktiviti jemaah, maka janganlah dia dipaksakan untuk melakukannya. Jika dia hendak lakukannya, maka baguslah. Jika dia tidak mahu, itu adalah haknya dan tidak boleh bersangka buruk kepadanya. Sesungguhnya antara ciri akhlak mulia seseorang muslim itu ialah saling bertoleransi dan bersangka baik.

Amal ibadah berjemaah haruslah serasi dengan Sunnah

Terdapat juga dalam beberapa keadaan di mana aktiviti berjemaah dilakukan untuk ibadat khusus tertentu. Maksud ibadah khusus di sini ialah ibadah yang berbentuk spiritualistik, seperti solat, zikir zahir, membaca Quran, berpuasa dan sebagainya.

Dalam hal ini kita harus sangat berhati-hati.

Sebagai seorang muslim, sebaik-baik tauladan dalam melaksanakan ibadah khusus adalah sebagaimana yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w. Inilah prinsip yang paling tepat untuk kita berasa yakin amal ibadah kita akan diterima Allah, jika dibandingkan dengan amal-amal ibadat khusus yang disusun oleh orang-orang tertentu tanpa bukti daripada dalil-dalil sahih.

Sebab itu, menjadi kewajiban setiap muslim untuk mengetahui bagaimana Rasulullah memerintahkan kita melaksanakan sesuatu ibadah. Tirulah cara beribadah sepertimana dilakukan Rasulullah s.a.w.

Antara amal ibadah yang diperintahkan Rasulullah s.a.w ialah berjemaah ketika solat fardhu di masjid. Ini jelas dalam hadith-hadith sahih yang menunjukkan bahawa Rasulullah hampir-hampir ingin menyuruh dibakar saja rumah-rumah mereka yang dengan sengajanya tidak mengerjakan solat berjemaah. Malah seorang sahabat yang buta sekalipun telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w supaya datang berjemaah di masjid. Hakikatnya hari ini orang ramai tidak mengambil endah tuntutan yang besar ini dan masjid-masjid kita masih lagi kosong setiap kali tiba solat Fardhu.

Namun Rasulullah s.a.w tidak pula menggalakkan agar zikir-zikir dilakukan secara berjemaah. Di kalangan sahabat ada yang baru masuk Islam dan ada yang telah veteran, tapi tidak ada riwayat sahih yang menunjukkan mereka melakukan hal-hal tersebut.

Pendek kata, di sini perlulah ahli jemaah jelas yang mana satu sunnah, dan yang mana satu bukan.

Jadi sebaiknya ketika berada dalam jemaah, kalau ingin melakukan ibadah-ibadah khusus, lebih baik jika diserahkan kepada diri masing-masing untuk melakukannya. Tidak perlulah untuk mentaklifkan ibadah-ibadah tertentu kepada ahli-ahli tertentu, seperti disuruh untuk berzikir atau beristighfar dengan beberapa bilangan tertentu sebab ini bukanlah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w yang kita cinta.

Elakkan pentaklifan, tapi berikanlah nasihat dan galakan. Contohnya, lebih baik jika dikatakan, “kami menggalakkan diri kita semua agar rajin berzikir dan beristighfar agar kita semua beroleh redha dan maghfirah Allah” daripada kita katakan “anda semua diminta berzikir dan beristighfar 100 kali sehari, ini adalah amanah anda sebagai peserta program ini”. Saya khuatir kata-kata yang kedua tadi bakal menjadi satu bentuk taklifan ibadah yang tidak mudah untuk diniatkan kepada Allah, sebab para ahli jemaah akan lebih cenderung hati mereka untuk melakukan ibadah tersebut kerana ingin mematuhi mematuhi program. Ini akan menyusahkan niat mereka untuk ikhlas betul-betul kerana Allah.

Kita yang mengaku mencintai sunnah Rasulullah s.a.w ini, sewajarnya mengikuti bagaimana Rasulullah s.a.w bersama para sahabat dalam konteks mereka hidup berjemaah. Harus kita selidik dalam isu apakah mereka berjemaah, dan dalam isu apa mereka bersendirian. Dengan ini, insyaAllah, jemaah yang kita ikuti bersama-sama adalah jemaah yang unggul dan terkedepan dalam meneladani gaya hidup Rasulullah s.a.w.

Ahli jemaah tidak wajar hanya komited untuk jemaahnya sahaja

Alangkah bahayanya jika berfikiran untuk memberi komitmen kepada jemaah semata-mata.

Sebab sebagai seorang muslim, komitmen kita adalah untuk Islam, bukan untuk jemaah atau organisasi. Jika ada kerja Islami daripada organisasi tertentu yang bukan daripada jemaah kita, tapi mereka memerlukan kita, maka kita perlu pergi. Jika ada dua urusan bercanggah, antara kerja dalam jemaah dan kerja luar jemaah, harus kita pilih yang mana satu lebih penting walaupun perlu memilih kerja luar jemaaah. Saya harap anda faham maksud saya.

Jika bekerja dalam jemaah pun, niat haruslah untuk kesejahteraan umat Islam, bukan untuk kebaikan jemaah sahaja. Semua ini penting supaya semangat dan kesatuan bercirikan ummatik terus utuh dan itulah sebenarnya konsep persaudaraan yang dituntut dalam Quran dan Sunnah.

Malah, kadang-kadang wujud juga elemen berbahaya dalam pemikiran sesetengah ahli jemaah yang hanya menganggap saudara Islamnya hanyalah mereka yang dalam jemaahnya. Saya pernah diucapkan oleh seorang muslim dengan kata-kata “I don’t approve you as my brother” dalam satu program yang saya ikuti, hanya kerana saya pulang awal daripada program. Kasihan saya melihatkan kawan saya tersebut, yang nampaknya telah menganggap hanya mereka yang menyertai aktiviti jemaah itu sahaja dikira sebagai saudaranya.

Begitu juga, sebagai contoh, jangan sampai jika hendak pinjamkan kereta, utamakan dulu saudara jemaahnya sahaja. Padahal yang benar adalah mengutamakan kaum muslimin yang ada urusan lebih penting tanpa mengira mereka bersama jemaah kita atau tidak.

Dengan meniatkan bekerja untuk jemaah, bukan untuk umat Islam, kita khuatir kita akan menafikan konsep Qurani yang telah disebutkan dalam surah Ali Imran dan Al-Hujurat, iaitu konsep “umat yang terunggul” dan konsep “setiap mukmin itu bersaudara”. Jadi, walaupun bekerja dalam jemaah, fikiran ahli jemaah haruslah bercorak ummatik. Setiap aktiviti jemaah haruslah bermatlamatkan dan diorientasikan untuk kejayaan umat pada akhirnya, bukan untuk jemaah semata-mata.

Tentang mutaba’ah amal

Sistem mutaba’ah amal adalah satu teknik penilaian amal yang biasa dilakukan dalam usrah. Contohnya diminta para ahli usrah supaya melakukan solat sunat dengan sekurang-kurangnya bilangan tertentu, puasa, qiam dan sebagainya dalam seminggu, dan rekod mereka akan diperiksa oleh naqib yang bertugas semasa sesi usrah .

Benar, pada asasnya ini adalah bagus untuk melatih diri ahli usrah untuk beramal. Tapi jangan kita lupa dalam Islam amal itu hanya sempurna jika ikhlas niatnya kerana Allah dan perlakuannya menurut contoh Rasulullah s.a.w.

Dalam melaksanakan mutaba’ah amal ini, kita khuatir amal tersebut tidak menjadi amal yang ikhlas kepada Allah, sebab ada risiko para ahli akan berfikir bahawa mereka melakukan ini agar dapat memenuhi amanah dan janji mereka dalam jemaah. Paling takut ia bakal membawa kepada syirik, jika ini dilakukan oleh mereka yang masih baru dalam tarbiyyah (sebab berniat melakukan ibadah untuk memenuhi tuntutan jemaah, kerana mereka tidak mahu berasa malu semasa sesi penilaian mutabaah nanti).

Malah, dengan meletakkan taklifan sebegini, kita telah meletakkan elemen pemaksaan kepada muslim yang lain sedangkan dalam agama itu tidak boleh ada paksaan untuk beramal.

Inilah beberapa saranan untuk memperbaiki mutabaah amal ini:

  1. Jika mutabaah amal itu tentang urusan kerja ibadah am (seperti membaca, senaman) dan bukannya ibadah khusus, maka ini adalah lebih selamat.
  2. Sistem mutabaah amal ibadah khusus ini lebih wajar untuk kanak-kanak yang belum baligh sebagai satu bentuk pendidikan. Kanak-kanak, tidak seperti orang dewasa, sukar untuk menghayati erti keikhlasan dalam beramal, maka didikan secara begini bersama ganjarannya adalah satu cara untuk melatih membiasakan mereka dengan amal ibadah. Malah, inilah antara cara psikologi didikan anak.
  3. Gunakan usrah sebagai sesi tazkirah dan penginsafan. Kemudian serahkan kepada para ahli untuk bertindak menurut kesungguhan mereka.
  4. Lebih baik jika tidak dinilai ibadah khusus para ahli dan biarkan ia secara rahsia antara mereka dan Allah. Ini supaya dapat melatih hati mereka agar dapat ikhlas beribadah kepada Allah.
  5. Hanya jika para ahli usrah sendiri ingin membincangkan masalahnya tentang beramal, barulah perbincangan boleh dibuka.
  6. Tugas Naqib hanyalah sebagai moderator dan pembimbing sahaja. Tidak wajar untuknya mengambil tahu kisah peribadi ahli usrahnya melainkan ahli usrahnya sendiri yang ingin berbincang masalah.

Antara fikrah dan kebenaran sejati

Para ahli jemaah patut tahu membezakan ketika beraktiviti dalam jemaah, yang mana satukah merupakan hasil fikiran manusia dan yang mana satukah merupakan hal-hal yang betul-betul disuruh melalui hadith-hadith sahih.

Setiap jemaah ada metologinya masing-masing. Ada yang berkecimpung dengan sistem usrah, ada yang dengan keluar berdakwah berhari-hari, ada yang mengadakan aktiviti-aktiviti kuliah mingguan dan sebagainya. Metodologi ini berbeza-beza dan kebanyakkannya merupakan kaedah ciptaan manusia. Ini semuanya baik dan bermanfaat maka ia digalakkan.

Cuma perlulah disedari, walaupun metodologi yang baik ini digalakkan, tapi apabila ia lahir sebagai buah fikiran manusia, maka tidaklah layak untuk kita meletakkan hukum-hakam tertentu ke atasnya. Sebagai contoh, katakan ada seorang ahli fahaman ekstrim dalam sesuatu jemaah usrah, lalu dia mengatakan bahawa menyertai usrah itu wajib. Inilah satu kesilapan yang merbahaya, sebab idea usrah itu adalah sesuatu yang baru hasil fikiran Hasan Al-Banna, reformis kita yang unggul, tapi bukanlah sesuatu yang disyariatkan. Kesilapan ini berlaku kerana ahli jemaah yang ekstrim ini tidak tahu membezakan yang mana satu fikrah, dan yang mana satu kebenaran sejati yang ada perintahnya berdasarkan dalil-dalil yang sahih.

Aktiviti dalam jemaah: harus dikongsikan atau dirahsiakan?

Ini mungkin satu isu sensitif, tapi mungkin ada baiknya kita berbincang mengenainya untuk meluaskan perspektif kita.

Ada sesetengah jemaah berpendapat haruslah dirahsiakan aktiviti jemaah mereka.

Hal ini haruslah dinilai menurut waqi’ atau keadaan semasa.  Secara umumnya jujur saya katakan -menurut apa yang telah saya bincangkan dengan beberapa orang rakan yang luas fikrahnya- bahawa tidaklah wajar untuk aktiviti-aktiviti jemaah Islami dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai.

Antara sebab setengah muslim tidak mahu menyertai jemaah ialah kerana jemaah yang mereka selalu dengar suka merahsiakan aktiviti mereka. Dengan merahsiakan aktiviti dalam jemaah, orang ramai -terutamanya orang-orang awam- akan berasa syak wasangka, perasaan takut dan risau lantas merasakan aktiviti berjemaah itu sebagai sesuatu yang salah.

Ada sesetengah muslim yang menyertai jemaah berdalil untuk sembunyikan aktiviti dakwah dengan merujuk kepada sirah Rasululah s.a.w, iaitu baginda berdakwah dengan sembunyi-sembunyi sebelum terang-terangan, maka kita harus contohi baginda s.a.w.

Kisah itu benar. Tapi, memetik kata-kata Dr. Zakir Naik, dalil-dalil haruslah difahami mengikut konteksnya. Ketika zaman awal dakwah Rasul s.a.w, terdapat ancaman luar biasa daripada kaum Quraisy terhadap agama Islam, disamping umat Islam masih kecil jumlahnya. Dalam keadaan ini jika dilakukan dakwah terang-terangan maka dikhuatiri dakwah Islam itu akan mati terus. Malah, agama Islam adalah satu agama baru yang betul-betul bertentangan dengan agama berhala kaum Quraisy. Maka wajarlah untuk disembunyikan dakwah Islamiah sehingga keadaan sudah stabil, di samping umat Islam pula sudah cukup kuat mental dan fizikalnya untuk mempertahankan agama suci ini.

Tapi keadaan di negara kita berbeza. Agama rasmi negara kita ialah Islam. Tiada siapa yang hendak melarang kita berdiskusi tentang agama di negara kita, walau di kedai-kedai kopi. Tiada siapa melarang kita memakai jubah dan serban di tengah-tengah bandar. Kita tidak diancam kerana kita seorang Islam. Pemerintah kita sendiri berpuasa dan menyambut hari raya sebab mereka pun beragama Islam. Jadi mengapa mahu berahsia tentang aktiviti Islami?

Sikap berahsia itulah yang akhirnya membawa risiko apabila pihak berkuasa menganggap itu sebagai usaha-usaha berhaluan kiri untuk memberontak kerajaan, walaupun jemaah itu tidak pernah berlaku sedemikian. Malah golongan non-muslim pun ada yang berasa tidak senang dengan kerahsiaan dalam kumpulan-kumpulan muslim, menyebabkan wujudnya fitnah-fitnah kononnya ada kumpulan pengganas di negara kita di sebalik gerakan jemaah, sedangkan tidak pernah langsung ahli jemaah tersebut terlibat dalam fahaman sedemikian.

Sebab itulah sikap kita yang sebenarnya dalam berjemaah ini ialah kita berasa ‘izzah dengan aktiviti jemaah yang kita ceburi, dengan menceritakan kepada kawan-kawan yang lain. Ceritakan apa yang kita pelajari dan apakah peningkatan diri kita melalui berjemaah. Biar kawan-kawan lain yang tidak sertai jemaah berasa jelas bahawa aktiviti Islamik secara berjemaah ini adalah satu benda yang positif dan menyeronokkan.

Dengan cara inilah, dengan izin Allah, berjemaah bakal dilihat sebagai sesuatu yang baik dan dapat menarik minat lebih ramai muslim lain. Malah, insyaAllah pihak berkuasa juga tidak akan melarang usaha-usaha mulia sebegini, jika ternyata ia memang benar-benar bersih daripada unsur ekstrisme.

Elakkan sikap memilih dalam menambah ahli jemaah

Ada satu isu penting tentang siapakah yang layak menjadi ahli jemaah?

Jawapan yang tepat menurut Al-Quran dan Sunnah ialah setiap orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya layak menjadi ahli. Tidak ada syarat-syarat seperti rajin ke masjid, bagus akhlak dan sebagainya untuk menjadi ahli jemaah. Walaupun golongan sebegini lebih mudah untuk diajak, tapi mereka bukanlah golongan yang paling patut diutamakan.

Ini kerana setiap muslim yang berminat untuk memperbaiki dirinya ke arah Islam, walaupun sejahat mana sekalipun dia sebelumnya, patut menyertai jemaah Islami. Malah, merekalah yang lebih berhak untuk menyertai aktiviti jemaah sebab mereka lebih memerlukan platform jemaah itu untuk menghidupkan kembali ruh keislaman yang semakin luput.

Malah, Imam Hasan Al-Banna sendiri ketika mula-mula ingin merekrut ahli setelah mewujudkan NGO ikhwanul Muslimin di Mesir, beliau mulakan ajakannya di kedai-kedai kopi, bukannya memilih kawan-kawan di masjid.

Para pendidik, kitab rujukan dan sukatan pelajaran tidak semestinya datang daripada golongan jemaah itu semata-mata

Perspektif sesuatu jemaah haruslah luas melata ke seluruh dunia Islam. Tidak wajar untuk sesuatu jemaah itu harus memilih sukatan pengajian Islam hanya daripada sumber-sumber yang berasal daripada jemaah itu sahaja.

Sepatutnya segala khazanah ilmu Islam yang ada, selagimana ia adalah ilmu yang muktabar menurut Al-Quran dan Sunnah, wajar menjadi sumber rujukan dalam sesuatu aktiviti keilmuan berjemaah, baik semasa berseminar atau usrah.

Kesimpulan: Agar berjemaah membawa kepada semangat kesatuan ummah

Mungkin isu-isu yang dibentangkan di atas ini bakal mencetuskan beberapa komen hangat, tapi sebagai satu perbincangan saya kira perlu dinyatakan juga.

Ulasan-ulasan di sini tidak semestinya betul, tapi saya kira apalah salahnya jika kita berfikir di lorong yang alternatif untuk meluaskan gambaran kita tentang konsep menyertai jemaah.

Berjemaah adalah berguna sebagai salah satu platform untuk kaum muslimin saling bantu-membantu untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah.

Cumanya dalam proses itu janganlah sampai jemaah itu bertindak seperti satu sub-group dalam komuniti kaum muslimin. Fikiran ahli jemaah perlulah bersifat ummatik, seperti askar-askar yang berjuang dalam platun-platun kecil tapi hakikatnya mereka semua terdiri daripada satu angkatan yang besar dan sejiwa. Aktiviti berjemaah hanyalah seperti satu madrasah untuk mendidik jiwa-jiwa muslimm jadi ia memerlukan peringkat-peringkat sepertimana silibus-silibus pelajaran dalam sekolah.

Setiap muslim berhak untuk sertai mana-mana jemaah Islami jika mereka mahu tanpa mengira latar belakang mereka. Pada masa yang sama, aktiviti dalam jemaah haruslah bersifat fleksibel dan bergariskan panduan daripada Al-Quran dan Sunnah. Jemaah haruslah bebas daripada sikap jumud dan paling penting, bebas daripada taasub jemaah.

Akhir kata, matlamat jemaah adalah untuk ummah sebab jemaah yang paling asli berdasarkan Quran dan Sunnah ialah jemaah kaum muslimin. Setiap orang yang beriman adalah bersaudara dan kita semua adalah satu. Inilah jemaah yang paling afdhal.

Wallahu a’lam.

Bacalah buku ini!

Ada satu buku yang saya kira agak baru di pasaran (terbitan 2008), yang bertajuk:

“Sejarah Pemikiran 1: Sumber ilmu, Perbandingan Ideologi dan Orde Baru Dunia”, terbitan Jahabersa.

Buku ini dikarang oleh Dr Sulaiman Noordin, mantan pensyarah UKM. Menariknya tentang beliau ialah beliau mempunyai ijazah sarjana muda dan PhD dalam bidang sains (dari Australia dan UK), pada masa yang sama turut mempunyai ijazah pengajian Islam daripada Umm Al-Qura, Makkah Al-Mukarramah.

Buku ini menceritakan dengan jelas berserta bukti tentang fahaman-fahaman ideologi dunia. Paling penting ada disebutkan dengan jelas kajian-kajian dan pendedahan tentang gerakan Yahudi sedunia yang banyak menjadi dalang dalam banyak konlik utama dalam sejarah, termasuklah Perang Dunia Satu dan Perang Dunia Kedua.

Buku ini merangkumi banyak aspek keilmuan, antaranya ilmu tentang sumber ilmu (epistemologi), sains wahyu, isu-isu dalam sains politik, pemahaman tentang ideologi-ideoloeogi utama dunia seperti kapitalisme, komunisme, zionisme dan banyak lagi.

Buku ini turut mendedahkan tentang gerakan-gerakan sulit seperti sejarah gerakan illuminati yang diasaskan oleh golongan Yahudi bagi menguasai ekonomi dunia seterusnya mencipta konsep orde baru dunia. Selain itu, buku ini turut membahaskan tentang apa yang tersirat di sebalik teori Darwin, isu alam sekitar dan penipisan lapisan ozon serta banyak lagi. Pendek kata, ini adalah satu tulisan yang betul-betul membuka minda. Rupa-rupanya kebenaran sebenar fakta sejarah selama ini banyak disembunyikan bagi memelihara kepentingan pihak-pihak kuku besi yang berpakat mengawal dunia.

Apa yang penting, segala hujah yang beliau paparkan ada bukti dan rujukannya. Beliau turut meletakkan berbagai salinan-salinan dokumen penting, gambar-gambar individu terbabit dan lain-lain. Ini menjadikan penulisan ini adalah satu penulisan yang diyakini kesahihannya.

Saya kira ini adalah buku yang sangat penting bagi mencerahkan fikrah kita agar berfikir dalam haluan alternatif, supaya kita tidak mudah tertipu dengan apa yang kerap kita lihat dalam media dan daripada berita-berita yang kita dengar.

Harganya RM 59.00, jika kulit tebal. Tebalnya adalah 448 mukasurat termasuk muka surat bibliografi, glossari dan epilog. Inilah versi yang saya miliki. Mungkin harganya sedikit mahal, tapi saya kira apalah salahnya kita korbankan sedikit duit kita untuk keilmuan. Sangat beruntung jika buku ini menjadi salah satu buku dalam koleksi buku-buku anda.

Bacalah, semoga Allah merahmati anda.

Pemimpin: Untuk parti atau rakyat?

Siapalah saya untuk memberi komen tentang dunia politik. Saya bukannya seorang penganalisis, malah bukan juga sebagai seseorang yang betul-betul ambil tahu tentang senario politik negara kita.

Tapi apa salahnya saya untuk masih memberi komen, bukan? Setuju atau tidak, terpulang kepada anda.

Kerajaan Perak telah jatuh kembali kepada BN.

Tapi saya tidak tahu apakah lepas ini akan jatuh kembali ke tangan PKR jika ada pula selepas ini wakil rakyat BN yang hendak melompat ke PKR pula?

Pokoknya di sini saya bukan hendak komen tentang politik, tentang siapa benar dan siapa salah, siapa yang menipu dan siapa yang tertipu, dan siapa yang baik dan siapa yang jahat.

Jujur saya katakan, saya sendiri tidak tahu. Saya tidak ingin berpihak ke mana-mana.

Pihak saya, ialah pihak rakyat Malaysia. Apakah malangnya nasib kita kerana ada sesetengah ahli politik kita yang saling bertelagah.

Sedang ekonomi kita sedang dilanda krisis, masalah-masalah sosial, malah paling penting bencana pemikiran yang sedang menimpa umat Islam, tidak selalu kita lihat mereka kelihatan bersungguh-sungguh untuk mengatasinya.

Apa yang disiarkan di televisyen sebagai berita utama dan pada muka depan surat khabar, biasanya adalah tentang isu parti dan pemerintahan. Komen-komen dari ahli politik biasanya adalah tentang keburukan parti lawan, jika tidak pun adalah tentang keunggulan parti sendiri.

Tak perlu burukkan orang lain, tak perlu banggakan diri sendiri. Bicarakan tentang rakyat, rakyat dan rakyat. BIcarakan juga dengan khusus dan bersungguh-sungguh tentang bagaimana untuk membangunkan negara, tentang kerisauannya tentang nasib rakyat dan cabaran-cabaran yang menimpa. Itulah peranan ahli politik yang asli, sebagai pemerintah.

Bukan saya ingin mengatakan bahawa kita tidak perlu ambil kira isu pemerintahan dan politik. Ya, kita perlu juga tahu. Tapi sebagai pemimpin apa yang perlu ditampilkan sebagai agenda utama ucapan anda ialah apa yang sedang anda lakukan untuk rakyat, untuk mereka yang memilih anda sebagai pemimpin. Inilah amanah anda yang sebenarnya.

Sedangkan isu-isu parti dan politik ini seharusnya tidak perlu diwacanakan kepada media sewenang-wenangnya. Biarkan ia berlegar di belakang tabir, bila berlaku keputusan mutlak, barulah diwarwarkan. Ini supaya rakyat tidak pening kepala dan menjaga kestabilan emosi dan sosial di kalangan rakyat. Sebab jika ahli politik berperang, pengikutnya akan berperang juga.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz hanya memerintah selama 2 tahun sebelum mati dibunuh. Tapi kesan pemerintahannya, beliau diizinkan Allah hingga dapat membentuk kerajaan Islam yang sangat gilang-gemilang, sampai-sampai ada ulama’ yang menggelar sebagai khalifah khulafaur Rashidin yang kelima. Bacalah sejarah hidup beliau, anda akan mendapati beliau telah memerintah dengan sangat adil, jujur, bijaksana dan penuh dengan ketaqwaan, walaupun tempohnya sebentar sahaja.

Para pemimpin perlu sedar apa yang dilihat Allah ialah sejauh mana mereka melaksanakan amanah sebagai pemimpin, bukannya sejauh mana mereka mampu mengekalkan kuasa sebagai pemimpin, bukan juga tentang kebesaran wilayah kekuasaan mereka.

Apalah gunanya wilayah yang besar, tapi suasananya porak peranda dan kacau bilau, maksiat berleluasa dan kurangnya kesedaran keagamaan dan nilai-nilai murni. Apalah gunanya dapat lama memerintah, tapi dalam tempoh itu tidak banyak pembentukan positif yang terjadi, baik dari segi fizikal, mental mahupun rohani. Malah, ada juga pemimpin terang-terangan melakukan kemungkaran kepada Allah ta’ala.

Utamakan kualiti, kemudian baru kuantiti.

Introducing The Work-Scoring System

If you are the kind of person who is feeling lazy to do your tasks, here’s a tip to get you moving.

I called it the work-scoring system. I’ve tried it, I think it worked for me and maybe it will work for you too.

The trick behind this system is to allow you to accept your task as a challenge, or perhaps even, like a game. It’s like a game because it involves collecting scores for the amount of work you have done for the day, and in the end, gaining medals. The harder you work, the more score that you’ll get. If you’ve reached the highest score, you’ll get a gold medal.

Here how it goes:

  1. Make a list of the task which you are not interested in doing . Eg. Studying, exercising, cleaning-up your house etc.
  2. Then, to all these work, make a difficulty setting and put a score to it. For example, let’s take the work is to study, so you can put it as study one subtopic = 1 point, study one chapter = 5 points; or sweeping the floor = 1 point, mopping the floor = 2 points etc. Remember the be specific regarding the task and its score. The key in assigning scores is that the harder the work, the higher the score. You decide yourself how much score you would like to give to each kind of task.
  3. Then, based on certain levels of cumulative scores, make milestones and assign medals to it. For example, Gold medal = 30 points/day, Silver = 20 points/day, Bronze = 10 points/day, or Just qualified = 5 points/day. Make sure the Gold medal score is very difficult to achieve, but yet it is possible if you work very hard that day. While bronze medal score should be relatively easy to get as long as you work as usual. The Qualified level represents the minimum amount of work you have to do, so if you don’t get qualified for the day, means you have been very lazy.

————————————————————

I’ll give an example of completed tasks for a day with calculation of their scores. Let’s take Gold medal as 30 points, Silver as 20 points, Bronze as 10 points and Qualified as 5 points:

Task 1: Reading

  • 1 topic of Nelson Paediatrics Textbook = 3 points
  • 1 topic from Oxford Handbook of Medicine = 2 points
  • 1 chapter from kitab Sharh Riyadhus Saliheen = 1 points

Task 2: Cleaning

  • Sweeping the living room floor = 2 points
  • Washing the car = 3 points
  • Laundry work = 2 points

Total points = 3 + 2 + 1 + 2 + 3 +2 =  13 points (Bronze)

———————————————————-

Anyway, it’s up to you whether to use medals or not. Some may like to just add up all their marks on weekly basis, so that they can compare their performance week after week.

To me, using medals is fun because somehow it gives me the feeling like I am in the Olympics -it is just a feeling okay!- where I would have this ‘greed’ to obtain as many gold medals as possible.

I hope this tip can help us to be more productive.  However, always remember that the real intention of working is to please Allah, then only it will become as an act ibadah.

These work-scoring system functions as only a tool to help increase our working productivity. Getting the medals is not the end -what’s there with this imaginary medal anyway-, the real deal is that you might want to present these deeds to Allah like saying: “O Allah, I’ve got a ‘gold medal’ for my deeds today in order to please you, so please bless me!”. Well, sounds like one weird du’a there, but hey, Allah always know what do you mean and what is in your heart.

So the key idea here is, in order to get Allah more pleased to you, you aim your deeds to be ‘gold medal’.

One more thing, to get this work-scoring system effective is to have honesty. Only give points to yourself if you really have truly completed the tasks. If you worry about being dishonest, ask anyone to judge your work whether is it really done or not. For example, if the task is about cleaning your bedroom, ask your mother to check your room for you. If she’s satisfied, you deserve the points.

Dalam proses pindah ke Blogspot

Assalamua’laikum.

Ada juga kawan-kawan yang  minta saya buka blog baru di blogspot.

Jadi InsyaAllah blog saya akan berpindah ke alamat baru di blogspot.com. Tapi sebab kesibukan, saya belum lagi sediakan blog baru tersebut. Sedikit demi sedikit saya cuba kemaskan blog baru itu sebelum saya tutup blog ini.

Jika sudah siap nanti, saya akan maklumkan insyaAllah. Doakan ya!

Wassalamua’alaikum  (^_^)