Bolehkah air mustakmal digunakan untuk wudhu’?
Baru-baru ini rumah saya ketiadaan air.
Air yang ada disimpan hanyalah ada sebaldi air terletak di dalam bilik air. Tatkala itu saya teringat kembali apa yang telah saya pelajari tentang air mustakmal. Saya perlu pastikan betul-betul hukumnya, kerana jika saya ingin mencedok air tersebut dengan tangan saya, adakah air tersebut boleh digunakan lagi?
Sebelum saya menceritakan apa tindakan saya selepas itu, saya rasa elok kita ulangkaji kembali apakah sebenarnya air mustakmal, dan adakah ia boleh digunakan untuk wudhu?
Definisi
Menurut Al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus, pengarang buku Panduan Fardhu Ain (Al-Tafkir Enterprise, 1997), air mustakmal bermaksud “air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas sama ada hadas kecil ataupun hadas besar. Ini bermakna air yang telah digunakan untuk membasuh anggota yang wajib sekiranya ditadah semula dan air itu tidak sampai dua kolah, ia dikira sebagai air mustakmal dan tidak sah digunakan untuk bersuci sama ada berwudhu atau mandi wajib”.
Beliau menyambung lagi, “Begitu juga sekiranya air basuhan wajib tertitik ke dalam air yang tidak sampai dua kolah, ia dikira mustakmal.”
Saya kira ini merupakan panduan asas yang telah kita pelajari selama ini. Saya mengajak kita untuk meneliti hal ini baik-baik kerana di sini terdapat beberapa isu penting yang ramai antara kita kurang tahu, iaitu pandangan mengenai air mustakmal menurut perspektif Al-Quran dan As-Sunnah.
Sahnya penggunaan air mustakmal menurut hadith-hadith sahih
Humran r.a. telah berkata:
“Sesungguhnya aku telah melihat Uthman bin Affan meminta sebekas air untuk berwudhu. Kemudian, beliau menuangkan air dari bekas itu ke telapak tangannya dan mencuci kedua-duanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas air wudhu itu lalu berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dan mengeluarkannya. Setelah itu dia membasuh mukanya tiga kali….. (beliau membasuh pula anggota wudhu lain, saya sengaja pendekkan di sini -moojaheed) …..Kemudian dia (Uthman bin Affan) berkata: Aku melihat Rasulullah s.a.w berwudhu seperti wudhuku ini.” -Hadith Riwayat Al-Bukhari
Dalam hadith ini, terdapat satu keterangan jelas tentang:
- Uthman bin Affan telah mencelupkan tangannya ke dalam bekas air untuk berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung.
- Kemudian beliau menggunakan bekas yang sama tapi untuk membasuh mukanya pula.
- Kemudian beliau berkata bahawa beliau melihat beginilah cara Rasulullah berwudhu.
Kesimpulannya, hadith ini menunjukkan dengan jelas bahawa sah wudhu jika tangan telah dicelup ke dalam bekas air dan air tersebut digunakan lagi untuk membasuh anggota lain. Ini jelas berlawanan dengan konsep tidak sah penggunaan air mustakmal yang telah kita fahami selama ini.
Ada juga hadith lain, beginilah ia berbunyi:
Abu Juhaifah r.a. berkata:
“Suatu hari, ketika waktu tengahari, Rasulullah s.a.w telah keluar lalu diberikan sebekas air untuk berwudhu. Setelah selesai, orang ramai menggunakan lebihan air wudhunya itu lalu berwudhu.” -Hadith riwayat al-Bukhari
Tentang hadith ini, al-Hafiz Ibnu Hajar, seorang Imam pakar hadith dan pengarang kitab syarahan sahih Bukhari, iaitu kitab Fath al-Bari, telah memberikan komennya: “Di sini terdapat keterangan yang sangat jelas mengenai sucinya air mustakmal.”
Ini kerana jika diperhatikan dalam hadith, jelas disebut bahawa orang berwudhu dengan “lebihan air wudhu baginda”. Malah, jika difikirkan dengan logik, dengan sebekas air adalah sukar untuk semua orang dapat berwudhu dengan menuangkannya ke tanah, melainkan orang ramai mencelupkan tangan mereka ke dalamnya.
Syeikh Sayyid Sabiq berkata:
“Hukumnya (air mustakmal) suci lagi menyucikan sebagaimana halnya iar mutlak tanpa ada perbezaan walau sedikit. Hal itu disebabkan asalnya yang suci, sedangkan tidak ditemui satu alasan pun yang mengeluarkannya dari kesucian itu” -Kitab Fiqh al-Sunnah, karya Syeikh Sayyid Sabiq
Pendapat Imam Syafie tentang air mustakmal
Di dalam kitab al-Umm yang amat terkenal, karangan Imam Syafie r.h., telah tertulis:
“Apabila seseorang meletakkan air, lalu dia mengerjakan perbutan sunat dengan bersugi dan dia membenamkan sugi itu ke dalam air, kemudian dia mengeluarkannya, pasti dia dapat berwudhu dengan air itu. Kerana yang terdapat pada sugi itu adalah air liurnya. Sekiranya dia meludah, berdahak atau mengeluarkan hingus ke dalam air, nescaya ia tidak menajiskan air itu. Binatang ternak itu sendiri minum di dalam air dan kadang-kadang bercampuran air liur dengan air maka ia tidak menajiskan air kecuali anjing dan babi.”
Jelaslah menurut beliau sendiri, iaitu imam dan pengasas kepada mazhab Syafie yang dianuti ramai umat Islam Malaysia, bahawa sah berwudhu dengan air yang telah digunakan. Malah walau jika dalam air itu terdapat kahak dan air liur, ianya masih suci dan masih boleh digunakan, kerana kahak dan air liur bukanlah najis.
Demikianlah pemahaman asli mazhab Syafie tentang isu ini. Anda telah melihat sendiri apa yang ditulis Imam Syafie r.h.
Perlunya kita kepada berfikiran terbuka untuk menerima kebenaran
Adalah malang sekali jika kita tidak bersikap terbuka fikiran dalam menerima sesuatu kebenaran, iaitu hujah-hujah yang disokong fakta dan bukti.
Dalam isu air mustakmal ini, kita dapati memang wujud hadith-hadith sahih, dan disokong oleh komen dan pendapat para ulama terkemuka yang mengatakan bahawa sah berwudhu dan bersuci menggunakan air mustakmal.
Malah, tiada dalil sahih yang menunjukkan larangan menggunakan air mustakmal untuk wudhu dan mandi wajib.
Jadi sebagai seorang muslim, kita bertanggungjawab untuk berpandukan kebenaran walau dari mana ia datang. Adalah ruginya kita jika masih menganggap tidak sah menggunakan air mustakmal, kerana dengan selalu menggunakan air yang mengalir, kita banyak membazirkan air. Bil air pun semakin naik.
Malah, dalam keadaan tiada air, kita tetap masih mahu menuangkan air menggunakan gayung, sedangkan kita boleh sahaja mencedok air menggunakan tangan ke dalam baldi untuk berwudhu, sepertimana yang disebut dalam hadith-hadith sahih di atas.
Sebab itulah akhirnya, semasa rumah saya ketiadaan air tersebut, saya mengambil keputusan untuk mencedokkan tangan saya ke dalam baldi untuk berwduhu, agar lebih banyak air dapat disimpan untuk kegunaan ahli keluarga saya yang lain.
Ruginya kita tidak mengambil apa yang mudah dalam agama ini, sedangkan yang mudah itu adalah pilihan Rasulullah s.a.w. Aisyah r.a. berkata:
“Tidaklah Rasullullah s.a.w jika diberi dua pilihan kecuali baginda memilih yang paling mudah diantaranya selagi tidak mengandungi dosa.” -Hadith sahih riwayat Al-Bukhari
Semoga kita beramal dengan sunnah baginda s.a.w.
January 25th, 2009 at 8:24 am
Salaam alaik yaa akhi moojahid,
Saya seorg stdnt di salah sebuah sek. Men. di Malaysia (of course la). Saya t’jumpa artikel akhi ni wktu saya tgh cari bhn utk kerja sekolah hari tu. Memang betul, saya punya pemahaman agama stkt taraf bdk2 sekolah yg belajar waktu kelas pend. agama je. Jadi, bila terbaca artikel akhi ni saya jadi conpius + musykil la. Mana satu yg betul? So saya pun b’tanyakn hal ni pada ustazah di sekolah saya (nama n alamat blog ni saya rahsiakan dr ustazah tu)
Nak dipendekkan cerita, ustazah tu kata mmg ada pndapat yg mengatakan sah guna air yg dicedok…yg mcm akhi ckp la, tp bukan imam syafi’e. Imam syafi’e juga ada membenarkan untuk kita menggunakan tangan mencedok, tetapi hanya apabila ketiadaan gayung n kita niatkan tangan kita tu sbg gayung. Plus, syaratnya air yg kita guna wudhu’ takleh terpercik blk dlm bekas air yg bersih tu. Sbb imam syafi’e menganggap air yg telah digunakan utk berwudhu mengandungi najis, iaitu dosa2 (kira najis ma’nawi la ni). Itulah jwpn ustzh saya. Tentang dalil2, kitab2 mana dia amek maklumat ni tak pula saya tanya. Takut nmpk cam saya tak caya je dgn penjelasan dia…
Jadi, di sini saya ingin bertanya, akhi mmg dpt kemukakan bbrp dalil yg sahih, tp adakah pendapat ini pernah disuarakn oleh sesiapa? Mungkin ustaz2? Atau sesiapa sahaja? Saya bukn nk mencabar ke ape ke… juz nk kepastian..saya ni budak baru belajar..
January 26th, 2009 at 1:52 pm
Wa’alaikumussalam.
Jawapan sy panjangggg, sbb sy rase hal ini perlukan penjelasan yg sejelas-jelasnya. Hrp Safwan sudi ambil sikit masa utk baca.
Sbnrnya akh safwan, pendapat yang seiras semcm ini telah dikemukakan oleh ramai sgt ulama sampai sy tak mampu nak type semuanya di sini, baik yg terdahulu mahupun kontemporari. Cuba akh safwan baca buku Fiqh Thaharah karangan Dr Yusuf Qardhawi yg terkenal tu. Edisi terjemahan pun ada.
Antara ulama2 moden yg sebut perkara ini ialah seperti Syeikh sayyid sabiq, Dr Yusuf Al-Qaradawi, dan ramai lagi ulama’2 fiqh terkemuka, majoritinya di dunia arab tak kira dari mazhab mana pun mrk. Malah para ulama di Europe dan US, jika safwan buka islamonline.net, akan menyatakan mcm ni insyaAllah. Jika Safwan buka kitab2 rujukan utama fiqh, konsep air mustakmal ini tidak diperakui. Wallahu’alam.
Akh Safwan, sengaja sy nak kongsi (just in case safwan tidak jelas lg), utk pelajari fiqh perlu ada dalil2 sbg rujukan bagi setiap hukum-hakam. Kalau kita belajar hukum-hakam tanpa sandaran dalil, kita khuatir ilmu kita akan tersasar. Beramal perlu dgn ilmu yg sahih, sedang ilmu itu hanya diyakini sahih jika ada sandarannya dr Quran ataupun hadith2 sahih.
Semasa sy belajar di matrikulasi, para ustaz fiqh juga mengajarkan sy pendapat sebegini. Antara ustaz yg pernah sy ikuti kelas fiqhnya (semasa di matrikulasi UIA dulu) ialah Ustaz Maszlee Malik, seorang yg expert dalam fiqh dan usul fiqh.
Jika akh safwan ada masa, jemputlah berkunjung ke fakulti fiqh dan usul fiqh, tanya pensyarah2 di sana jika ada sebarang kemusykilan, sb hujah golongan2 pakar ini insyaAllah penuh dgn dalil dan menyakinkan utk kita amalkan. Sy tidak nafikan mungkin terdapat perbezaan pendapat di kalangan para agamawan, tapi kita sbg pelajar tidak boleh bertaklid dan terima shj bulat2, kita mestilah berusaha utk memilihlah pendapat yang kita yakini sbg lebih dekat dengan Quran dan Sunnah. Sebarang pendapat yg ada sandaran dalil sudah tentu adalah pendapat yg paling selamat utk diamalkan.
Imam Syafie pernah berkata yg bunyinya sekitar begini, “Apa shj pendapat yg lahir daripada Quran dan Sunnah adalah pendapatku”. Maknanya di sini, insan genius bernama Syafie ini telah sedaya upaya memerah tenaga beliau, dgn menggunakan dalil Quran dan Sunnah yg ada pada waktu itu utk mengasaskan kaedah dan hukum-hakam bagi membentuk mazhab beliau.
Tapi kita harus sedar pada waktu hidupnya Imam Syafie itu, pengumpulan dan pengesahan status dalil taklah jelas spt sekarang. Jadi, ada hadith2 sahih yg tak sampai kpd imam syafie, ada juga terdapat hadih2 dhaif yg masih belum dinilai betul2 ttp telah dijadikan sbg sandaran dalam mazhab imam Syafie. Hal spt ini tidak berlaku kpd imam Syafie shj, tapi kpd semua imam mazhab yg lain. Para imam juga manusia biasa, kemampuan mrk terbatas, tiada manusia yg sempurna, tp dlm ramai2 manusia para ulama inilah antara golongan yg terpuji dan kuat jihadnya. Hanya Rasulullah s.a.w shj yg ma’sum.
Atas sebab ini, generasi baru para ulama’ setiap zaman sentiasa menilai kembali dan perbaharui sbrg pendapat2 terdahulu jika didapati tidak selari dgn dalil2, walau apa jua mazhab. Contohnya, Imam Nawawi walaupun sbg seorang bermazhab syafie, byk juga tidak setuju dgn ajaran mazhab syafie krn imam nawawi byk menemui dalil2 yg tidak selari dgn pendapat imam syafie. Pada zaman imam Nawawi, kitab2 hadith sahih spt sahih bukhari, muslim dan kitab lain yg empat tu sudahpun sempurna dibukukan, malah ada yg dah siap disyarah dgn detail lagi.
Sy harap akh safwan faham apa yg sy terangkan ye.
Sbg manusia kita tak ma’sum dan boleh tersilap. Berusahalah mencari kebenaran dlm ilmu Islam dan bertawakkallah. Kita tidak akan dibebankan melainkan dgn apa yg kita mampu. Kebenaran yg sebenar-benarnya hanyalah pada pengetahuan Allah.
Wassallamu’alaikum.
May 27th, 2009 at 1:09 am
Ulamak Mazhab Syafie tiada khilaf menyatakan bahawa air mustakmal itu adalah air yang digunakan untuk tujuan basuhan wajib. Jadi apa yang dinyatakan dalam kitab A-umm itu, tentang air hasil dari melakukan perbuatan sunat, maka air itu belum jadi mustakmal. Juga belum jadi mustakmal air tersebut yang didapati hasil kita melakukan perkara sunat dalam wudhu seperti membasuh tapak tangan, berkumur dan memasukkan air dalam hidung. Juga belum jadi mustakmal, dengan air basuhan kedua, jika basuhan pertama telah memenuhi tuntutan wajibnya. Wallahua’lam.
May 28th, 2009 at 9:11 am
JazakAllah for the comment, editor.