Tahun Baru lagi: Antara Kemerosotan Umat dan Peningkatannya
Nampaknya kali ini tarikh tahun baru semuanya tersusun dalam masa yang dekat.
Dimulai dengan tahun baru kalendar Islam, tahun baru masihi dan kemudian tahun baru cina.
Tahun baru mengingatkan saya tentang masa dan umur. Setelah tahun demi tahun berlalu, saya telah mengalami saat-saat manis dan pahit. Persekitaran saya berubah dari satu keadaan ke satu keadaan, baik dari segi fizikal, sosial, mahupun spiritual.
Teknologi makin berkembang maju dan pesat. Saya kerapkali terlopong memikirkan betapa pantasnya teknologi telefon bimbit baru dan perkakas elektronik berkembang. Dalam konteks pemilikan barang elektronik, jika hari ini anda bangga dapat memiliki sesuatu yang terbaru, dalam beberapa bulan lagi anda akan ketinggalan.
Pemikiran dan falsafah manusia juga semakin kompleks dan beragam-ragam, juga sebagai satu hasil sumbangan dunia tanpa sempadan dan globalisasi melalui kemajuan sistem telekomunikasi dan internet. Dengannya juga pilihanraya AS baru-baru ini dirasai kehangatan di seluruh dunia, walaupun pengundian hanya boleh dilakukan oleh rakyat AS.
Dalam masa yang sama saya kira dunia semakin kucar-kacir. Kekeliruan fikiran berlaku di sana sini. Apa yang benar seolah-olah dicampur adukkan dengan yang salah. Terdapat banyak isu yang melahirkan perdebatan hangat dan sukar mencari hujah yang paling benar, baik di dalam dan luar negara.
Kemerosotan dan kerosakan umat
Tahun demi tahun, saya telah berharap untuk dapat melihat lebih ramai generasi muda Islam akan membangunkan diri mereka agar lebih positif dan lebih Islamik, tapi malangnya harapan ini masih belum terjadi. Budaya hedonis nampaknya semakin berbuah, walaupun buahnya masam dan berduri. Sedangkan buah daripada pokok budaya keislaman makin kurang, pokoknya seolah-olah makin mati susut, walaupun buahnya manis, segar dan menyihatkan.
Adakah usaha dakwah makin kurang? Ataupun masyarakat Islam moden ini semakin kurang responsif terhadap agama mereka? Ataupun saya sendiri sebenarnya gagal untuk menyedari bahawa sebenarnya Islam makin berkembang di kalangan generasi muda kita?
Saya berharap andaian yang terakhir adalah benar.
Namun realitinya dan zahirnya, melalui apa yang dipertontonkan di televisyen, atau kelihatan di bandar-bandar bahkan di kampung-kampung, masyarakat Islam kita makin ambil remeh tentang agama. Bukankah masjid masih kosong?
Anda akan mendapati aurat-aurat wanita masih tertayang, jika bukan dengan rambut maka dengan pakaian mereka. Jika bukan dengan pakaian mereka maka dengan lenggok badan mereka. Jika tidak ditayangkan aurat, ada juga yang berhias diri dengan melampau-lampau.
Kaum lelaki pula tidak mengutamakan solat dalam urusan harian. Mereka mematikan budaya bersolat jemaah sedangkan Rasulullah s.a.w telah bersungguh-sungguh memerintahkan agar dilaksanakan solat berjemaah melainkan atas sebab-sebab yang tertentu. Malah solat fardhu pun ditunda-tunda, sedangkan solat fardhu adalah urusan yang paling penting dalam kehidupan seharian, lebih penting daripada dapat berjumpa dengan Perdana Menteri atau akad nikah, kerana dalam solat anda sedang berurusan terus dengan Allah.
Anda akan dapati betapa ramainya pasangan lelaki-wanita yang keluar berjalan-jalan atau makan bersama tanpa ikatan nikah, malah ada yang telah ditangkap berzina.
Anda dapat melihat bagaimana gaya hidup barat menjadi sesuatu yang ingin ditiru-tiru oleh generasi kita, bahkan ingin secara beransur-ansur ingin diasimilasikan dalam budaya kita melalui golongan tertentu, pengaruh media dan melalui pengaruh dunia hiburan. Anda akan dapati bagaimana fesyen pakaian artis-artis perempuan, makin lama makin terdedah. Jika 10 tahun dulu memang sukar untuk artis-artis wanita menunjukan dada ataupun paha, tapi kini sudah jadi perkara biasa dan seolah-olah sudah diterima masyarakat.
Dalam aspek kewangan betapa ramai orang Islam yang telah ditangkap kerana kesalahan rasuah. Masih ramai lagi yang tidak membayar zakat. Riba, sungguhpun satu dosa besar, masih lagi berleluasa terutamanya di kalangan pengguna-pengguna bank konvensional.
Demikian juga dengan kes-kes jenayah dalam negara sama ada bunuh, rompak, rogol dan sebagainya, seolah-olah masih tidak berhenti-henti, dari satu kes ke satu kes yang lain. Gejala ketagihan dadah, yang paling majoritinya melanda belia Islam, masih lagi satu penyakit kronik dalam masyarakat dan belum dapat diubati.
Satu perkara yang mendukacitakan juga ialah kurangnya minat generasi ini terhadap budaya membaca dan usaha mencari ilmu. Tidak ramai yang mempunyai fokus dan hobi untuk kajian ilmiah. Buku-buku ilmiah, terutamanya buku-buku Islamik jarang dibaca, tapi komik-komik dan majalah-majalah hiburan menjadi pilihan di hati mereka. Mereka tidak sanggup mengeluarkan RM10 untuk membeli buku agama sedangkan pada masa yang sama RM10 boleh mereka gunakan untuk membeli tiket wayang, sedangkan nikmat menonton wayang hanyalah sekitar 2 jam sedangkan nikmat mendapat ilmu agama akan berguna untuk seumur hidup, bahkan untuk kesejahteraan akhirat. Kurangnya minat membaca ini merupakan satu faktor utama yang menghambat kemajuan umat, sebab, kurangnya pembacaan menyebabkan budaya keilmuan menjadi malap dan menghalang pembentukan minda Islami. Akibatnya, pemikiran Islam tidak dapat disemai, lantas memberi ruang untuk pemikiran barat yang mengagungkan dunia dan liberalism untuk mendapat tempat di minda.
Ini semua merupakan hal-hal yang merosakkan identiti umat Islam di negara ini, dan kini ia masih lagi berlaku dan berterusan.
Usaha memperbaiki umat
Namun dalam gelap, ada cahaya. Kita dapat melihat kerja-kerja pengislaman dan pengislahan masyarakat makin berkembang dengan aktif.
Gerakan tajdid sebagai contoh, mengajak masyarakat Islam kepada pembersihan amalan-amalan dalam budaya kita yang tiada sumber sahih daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Gerakan ini mengajak umat Islam tentang maksud Islam yang sebenar, iaitu satu agama wahyu yang komprehensif merangkumi semua aspek kehidupan manusia yang memiliki pendekatan sederhana dalam pensyariatannya. Ia membawa mesej Islam sebagai satu agama yang memandu fitrah manusia agar sesuai dengan tujuan penciptaannya. Ia turut mengajak manusia agar menolak ekstrism dalam beragama, baik terlalu ketat seperti ideologi para pengganas mahupun terlalu longgar seperti golongan liberalis. Ia membersihkan aqidah umat Islam daripada ekstrim syirik dan khurafat, mahupun daripada ekstrim atheism iaitu kepercayaan tiada Tuhan. Islam ditekan sebagai agama tauhid, iaitu memperakui Tuhan umat Islam hanya Allah, Tuhan yang satu, yang mana hala tuju hidup kita terarah menurut perintahnya, kepadaNya kita menyembah dan kepadaNya juga kita memohon pertolongan.
Gerakan dalam lapangan dakwah, baik secara individu mahupun berkumpulan, juga turut bergerak aktif dan makin berkembang. NGO-NGO Islamik seperti ABIM, JIM dan kumpulan-kumpulan yang bergerak dengan berpandukan manhaj Ikhwanul Muslim itu nampaknya makin mempunyai ramai peminat. Slogan-slogan mereka yang unggul, terutamanya dalam latihan meningkatkan kekuatan jiwa, tazkiyatun nafs, dan usaha penyemaian sifat-sifat peribadi muslim memang jelas merupakan aset penting dalam mendidik orang ramai yang rata-ratanya makin diuji hebat dalam suasana hedonis masa kini. Tanpa mempunyai saudara-saudara muslim yang bertekad untuk tsabit dengan Islam dan mahu saling bantu-membantu sesama sendiri, memang sukar untuk seseorang muslim menempuhi serangan-serangan pemikiran yang melanda masyarakat Islam masa kini.
Dalam arena perbankan kita melihat perkembangan positif dalam perbankan Islam. Orang ramai mula berpusu-pusu membuka akaun dalam bank-bank Islam, malah orang bukan Islam pun turut berminat. Kewujudan alternatif perbankan halal ini, merupakan satu perkembangan positif yang perlu kita sokong. Jika anda punyai akaun bank komersial, segeralah anda tutup dan menggantinya dengan akaun bank Islam.
Demikian juga dalam lapangan media. Kini ada saluran televisyen dan radio yang bercorakkan keislaman, bertujuan memberi alternatif kepada masyarakat dalam memilih media yang ingin ditonton. Ia memberi nafas lega kepada kaum muslimin dan muslimat yang selama ini begitu anti kepada media bercorak hedonis yang begitu berleluasa sebelum ini. Demikian juga dengan majalah-majalah, saya kira kini majalah yang bercorak Islamik dan membina peribadi makin mendapat tempat dalam hati masyarakat.
Harapan
Setelah melihat pro dan kontra nasib umat Islam kini, setelah sepanjang mata hati saya dibuka oleh Allah s.w.t untuk dapat betul-betul merasai keindahan ajaran Islam, saya melihat potensi untuk umat ini bangun dan mencapai resolusinya bukanlah sesuatu yang mustahil. Slogan Qurani yang berbunyi “umat yang terbaik” memang sesuatu yang boleh dicapai, insyaAllah. Sejarah telah membuktikannya, cabarannya, adakah kita mampu mengulanginya?
Anda dan saya harus bekerja keras, sama ada untuk membaiki diri sendiri mahupun untuk membaiki orang lain. Mengapa? Kerana kita dihidupkan di dunia untuk berbakti demi mencari redhaNya dan rahmatNya. Apakah nilainya hidup ini jika kita tidak berusaha agar Islam dimartabatkan di mata dunia? Memperingati diri sendiri dan orang lain adalah prinsip asas kehidupan umat Islam, sebab kita disebut oleh Allah untuk hidup bersaudara, tanpa mengira latar belakang dan kaum.
Di manakah kita hendak letak muka kita di hadapan Allah di akhirat kelak, andaikata kita disoal oleh Allah untuk apa telah kita gunakan mata, telinga dan tubuh kita? Adakah kita gunakan anugerah Allah ini kerana Allah dan untuk akhirat, atau untuk dunia?
Kerana maut itu bakal menjelma bila-bila masa, maka turutilah dan berpegang teguhlah kepada Islam. Sebarkanlah ia, megahkanlah nama ia, semoga Allah meredhai anda dan meletakkannya anda dalam golongan yang cemerlang di akhirat kelak.
Jika diri ini tersalah, maka perbetulkanlah. Jika diri ini lalai, maka peringatkanlah. Jika diri ini hanyut, maka hulurkanlah tangan dan tolonglah pimpin diri ini ke arah yang betul. Siapalah saya insan yang fakir dan kerap tersalah. Semoga Allah ampuni saya. Moga rahmat Allah tercurah ke atas kita semua.
Saya ucapkan:
Selamat Tahun Baru 1430 Hijrah dan 2009! Moga tahun ini memberi kejayaan yang gilang-gemilang untuk kita semua, baik untuk dunia mahupun sebagai modal ke akhirat nanti.