Bahaya ’syok’ sendiri dalam berpendapat tentang agama
Baru-baru ini hangat diperkatakan tentang isu fatwa yoga.
Saya bukannya mahu mempersoalkan fatwa tersebut, tapi sebenarnya ingin mempersoalkan tentang sikap orang tertentu yang mempertikaikan fatwa tersebut.
Saya mengikuti perkembangan isu tersebut di suratkhabar-suratkhabar, saya dapati isu yoga ini telah menyebabkan beberapa individu berani tampil dengan pendapat peribadi.
Benar, saya tidak nafikan di kalangan agamawan mereka berbeza pendapat. Tapi saya dapati mereka berbeza atas landasan ilmu agama yang kuat dan pendapat yang rajih. Bukanlah keinginan saya, bahkan bukanlah kemampuan saya untuk menilai siapa antara mereka yang betul. Wallahu a’lam.
Tapi individu yang saya maksudkan di sini ialah ada seorang penulis yang berbeza pendapat berdasarkan fikirannya semata-mata. Paling saya terkejut, dia mengatakan bahawa dia pernah menyalakan colok di depan patung Buddha tapi tidak pernah pula aqidahnya tergugat. Dia menjadikan alasan itu sebagai hujah mengapa dia tidak setuju dengan pengharaman yoga.
Saya terkejut. Orang ini tidak bersetuju, tapi alasannya batil sekali! Wajarkah dia menganggap menyalakan colok itu tidak apa jika aqidahnya masih kekal? Apa yang merisaukan, artikel itu bakal dibaca oleh berjuta-juta orang seluruh negara yang membeli akhbar tersebut. Bayangkan kesan buruknya jika ramai orang Islam yang setuju dengan hujahnya itu.
Beginilah menurut apa yang saya pelajari.
Apa yang diajar dalam Islam ialah kita DILARANG untuk mengikuti agama orang lain, baik dari segi spiritual, mental mahupun fizikal. Contohnya, kita diperintahkan menyalahi orang Kristian dan Nasrani dari segenap segi. Namun kalau penyerupaan itu adalah tidak khusus melambangkan agama atau lambang penganut agama tertentu, maka itu dibolehkan asalkan penyerupaan itu adalah sesuatu yang baik dan halal.
Contohnya, banyak sekali dalil yang melarang daripada meniru cara orang Yahudi dan Kristian, baik dari segi solat, puasa, haji dan berbagai-bagai lagi. Saya sertakan beberapa contoh daripadanya:
Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah melarang seorang yang duduk menongkatkan tangan kirinya dalam sembahyang di mana beliau bersabda: “Sesungguhnya cara itu ialah cara sembahyang orang Yahudi”. (Riwayat Al-Hakim, Sahih)
Beliau bersabda: “Ciri perbezaan antara cara berpuasa kita (orang Islam) dan Ahli Kitab ialah (kita) bersahur”. (Riwayat Muslim, Ashab Sunan dan Ahmad)
Sebenarnya terdapat banyak lagi dalil-dalil lain yang melarang orang Islam daripada menyerupai ciri-ciri ahli agama lain, tapi saya tidak meletakkannya di sini atas faktor masa. Anda digalakkan mencarinya sendiri.
Jalan yang paling selamat ialah jalan Sunnah Rasulullah s.a.w, jadi pelajarilah sunnah dan amalkanlah ia dalam segenap aspek kehidupan.
Kembali kepada isu. Menyalakan colok sepertimana amalan penganut Buddha, sekalipun hati kita tidak berniat untuk menyembah tuhannya, adalah dilarang. Sebab, ini adalah satu penyerupaan dari segi agama.
Tentang yoga, pada pemerhatian saya yang masih kurang ilmu ini, faktor berlakunya perbezaan pendapat di kalangan ilmuan kita ialah tentang persoalan adakah yoga itu satu amalan penganut hindu, ataupun hanya satu peninggalan budaya tradisi bangsa India. Mungkin persepsi ini memainkan peranan dalam pendapat mereka.
Golongan ilmuan Islam yang berpendapat yoga itu satu amalan khusus penganut hindu, menganggap yoga sebagai haram. Sementara golongan ilmuan lain yang berpendapat yoga itu tidak khusus untuk penganut Hindu tapi sebenarnya hanyalah satu peninggalan budaya masyarakat negara India (walau apa jua agama mereka); mereka berkata selagimana yoga itu tidak mengandungi mentera dan hanyalah sebagai satu senaman fizikal yang dibuktikan melalui sains bagus untuk menyihatkan badan, maka hukumnya harus.
Tapi sekali lagi saya katakan, saya bukan berfatwa di sini. Saya sendiri tidak tahu dan Allah s.w.t lebih mengetahui. Saya lebih cenderung untuk tidak mengamalkannya, lagipun, saya tidaklah meminati yoga pun.
Apa yang pasti, isu yoga ini tidak sama seperti isu menyalakan colok! Menyalakan colok, baik dengan niat ataupun tidak, baik dengan merosakkan aqidah ataupun tidak, tetap merupakan satu amalan khusus sembahan penganut Buddha. Ini bukannya faktor budaya lagi, tapi faktor agama!
Kalau kita ingin berkata sesuatu tentang agama, bawakanlah bukti, mana dalilnya? Ini perkara asas, sebab halal dan haram Islam bukan terletak pada akal fikiran kita. Kalau kita mahu agama ini wujud atas alasan fikiran sahaja, jadilah kita seperti penganut Yahudi dan Kristian, yang mengubahsuai agama mereka sesuai dengan nafsu mereka.
Islam sangat istimewa dan berbeza, syariatnya berdiri berdasarkan nas-nas yang sahih. Islam bukan agama rekaan minda, bukan falsafah fikiran, tapi agama wahyu.
Sebab itu saya ingin mengingatkan diri saya dan semua, jika ingin berkata tentang hukum-hakam agama, jangan main hentam saja.