Archive for September, 2008


Ramadhan, kesihatan dan berat badan

Sememangnya bulan Ramadhan sangatlah mulia dan kita nanti-nantikan kerana banyak fadhilat dan manfaatnya.

Pertamanya adalah dari segi keimanan dan ketaqwaan. Di bulan inilah terbuka luasnya rahmat dan keampunan Allah, sehingga kita katakan rugi besarlah seorang Muslim yang membiarkan Ramadhan berlalu tanpa aktif beramal soleh. Niat kita untuk berpuasa juga haruslah betul, iaitu untuk meraih keredhaan Allah s.w.t. Tanpa niat ini, ibadah puasa kita tidak bernilai.

Tapi ada satu lagi manfaat yang ramai orang tercari-cari di bulan Ramadhan: peluang mengurangkan berat badan. Inilah manfaat puasa dari segi fizikal dan kesihatan. Sewajarnya puasa itu menyihatkan kita, kan?

Yalah, jika difikirkan secara logik, bila kita tidak makan di siang hari selama sebulan, sepatutnya berat badan kita berkurang.

Tapi ada juga yang merungut, “badan aku ni masa bulan puasa ni makin tembam je!”

Alahai.

Di sini saya ingin berkongsi satu tips kesihatan, bagaimana puasa itu sepatutnya betul-betul boleh mengurangkan berat badan.

Pertama, jangan tamak membeli makanan ketika berbuka. Jika memang betul-betul lapar, banyakkan makan makanan yang rendah kalori, minyak tepu dan lemak (sayur-sayuran, buah-buahan, roti kaya serat, ikan rebus dsbnya). Apa gunanya anda berpuasa tapi bila berbuka diganti semula semua hidangan yang terlepas di siang hari.

Kedua, aktifkan diri! Inilah aspek yang penting dan isu utama posting kali ini. Saya ingin berkongsi ilmu, kenapa jika seseorang tidak aktif ketika berpuasa, berat badannya tidak akan turun, bahkan semakin bertambah.

Sebenarnya, badan kita ada ‘minda’nya yang tersendiri. Ia boleh bertindak secara automatik terhadap sebarang rangsangan atau cabaran terhadapnya. Kajian tentang ilmu ini dipanggil sebagai ilmu fisiologi (physiology), iaitu ilmu tentang kawal aturan normal badan.

Ramai orang fikir dengan tidak makan, badan boleh susut. Ini jangkaan yang tidak semestinya tepat. Ya, seorang yang gemuk memang boleh jadi kurus jika tidak makan, tapi itu lebih tepat jika dia tidak makan selama berminggu-minggu lamanya dan hanya minum air kosong sahaja (tiada pengambilan kalori).

Tentu kita tidak mahu menderita sebegitu, kan? Jadi apakah penjelasan yang masuk akal tentang konsep pengurangan berat badan sambil kita boleh menikmati makanan (yang menyihatkan)?

Sebenarnya, semasa kita tidak makan, fisiologi badan kita akan menganggap ketiadaan pengambilan makanan sebagai kebuluran, sedangkan kita sedang cuba berlapar. Disebabkan badan kita menganggap kita sedang menghadapi kebuluran, maka ia akan merendahkan metabolisme (untuk menjimatkan tenaga), sekaligus merendahkah kadar pembakaran kalori dalam badan. Akibatnya, daripada sistem biokimia badan, lemak -yang dianggap sebagai stor tenaga yang penting bagi tubuh- semakin disimpan dan kurang dibakar.

Jadi kesimpulannya, jika kita berlapar tapi tidak aktif, semakin banyak lemak yang akan disimpan dan tidak akan dibakar! Kini apa yang berlaku terbalik dari yang dipinta: kita hendak bakar lemak, tapi lemak makin disimpan pula.

Sebab itu, jika sedang berpuasa, janganlah bermalas-malas atau tidur. Pertama kita rugi mendapatkan pahala-pahala besar ibadah di bulan Ramadhan. Kedua, sikap sebegini juga tidak akan memberi kesan untuk kesihatan diri, bahkan memburukkan lagi.

Aktifkanlah diri, barulah metabolisme badan meningkat sekaligus menambahkan bilangan lemak yang dibakar. Jika boleh, semasa sudah dekat dengan waktu berbuka lakukanlah senaman yang membuatkan anda boleh berpeluh dan sedikit mengah (iaitu senaman yang baik). Bila tamat senaman, waktu berbuka sudah hampir jadi tidaklah anda akan kepenatan buat masa yang lama.

Apabila anda rajin bersenam dengan senaman yang baik )seperti mendaki bukit, mengayuh basikal, berenang, berjalan kaki dan lain-lain) selama 30 minit sehari, 3 kali seminggu, kadar metabolisme badan anda akan meningkat walaupun pada ketika anda tidak bersenam. Pendek kata, senaman boleh meningkatkan kadar metabolisme anda.

Jadi, bila puasa, jangan malas-malas ya. Jadilah aktif dan produktif. Hal ini tidak semestinya dilakukan semasa puasa sahaja. Sambil anda menjaga pemakanan sihat (rendah lemak dan kalori) di bulan-bulan lain, hanya gaya hidup aktif akan membolehkan pembakaran kalori, justeru lemak, yang efektif. InsyaAllah, bagi mereka yang terlebih berat badan, ia akan susut ke berat yang sepatutnya.