Archive for June, 2008


Jangan jadi pendakwah pengongkong

Berdakwah itu tugas mulia dan sangat dituntut dalam Islam.

Tapi malangnya ada di kalangan kita yang terlalu terburu-buru dalam berdakwah, telah melakukan satu kesilapan besar dan menyebabkan usaha dakwah itu terbantut.

Saya memaksudkan hal ini sebagai "dakwah yang mengongkong".

Kongkongan 1: Memandang hina hiburan-hiburan duniawi yang halal

Di antara pendakwah ada yang memandang hina, bahkan melarang, hal-hal dunia yang sebenarnya dihalalkan. Ini termasuklah hiburan-hiburan seperti bersenda-gurau, bersiar-siar, menonton rancangan televisyen yang tiada maksiat, bermain game (yang tiada unsur haram), mendengar lagu-lagu yang halal dan lain-lain.

Benar, hal itu mampu melekakan, tapi ia tetap tidak diharamkan. Kita tidak dibenarkan untuk menentang apa yang dihalalkan. Kita dilarang daripada menyempitkan manusia. Sesungguhnya Islam itu lapang dan penuh dengan rahmat.

Saya mengajak anda untuk merenungi satu kisah sahabat yang bernama Handzalah r.a. Sahabat ini mengira bahawa dia telah munafiq kerana bergurau-senda dengan isteri dan anak-anaknya. Dia mengadu kepada Rasulullah s.a.w bahawa keimanannya baik ketika bersama Nabi s.a.w, tapi merosot tatkala bersama keluarga. Kemudian apa kata Rasulullah?

"Ya Handzalah! sa’atan wa sa’atan" -Wahai handzalah, sekali-sekali bolehlah. (Hadith riwayat Muslim)

Selain itu, dalam peristiwa lain, ketika dua orang sahabat bernama Muadz bin Jabal dan Abu Musa  hendak diutus ke Yaman, Rasulullah s.a.w memberikan wasiat kepada mereka: "Mudahkan jangan menyusahkan, beri khabar gembira bukan ketakutan, dan taatlah bukan berselisih" (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuan saya menyatakan semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah supaya para pendakwah perlulah sedar bahawa orang ramai ada hak untuk melakukan hal dunia yang mereka sukai. Jangan lupa kemudahan-kemudahan yang ada dalam Islam.

Saya sangat tidak setuju dengan sikap pendakwah yang begitu keras, memandang semua hiburan dunia sebagai sesuatu yang hina dan harus dipijak-pijak. Betul, mereka mampu dan boleh berpendirian demikian atas kekuatan iman mereka, tapi mereka tidak boleh memaksa orang ramai, yang rata-ratanya mengamalkan Islam secara cukup makan, untuk menerima pendirian mereka itu. Perlakuan sebegini menyebabkan usaha dakwah makin terasing, dan orang ramai merasakan mereka semua sangat jauh dari agama, sedangkan agama itu lapang, mudah dan dekat untuk semua orang.

Tapi adakah ini bermaksud kita perlu sentiasa membiarkan mereka yang lalai dalam dunia (dalam urusan-urusan yang halal) terus dalam kelalaian?

Bukan begitu. Hiburan dan permainan dunia bukanlah matlamat, tetapi hanya pelengkap (tahsiniyyah). Masalah tentang hiburan dan kelalaian bukanlah kerana hal yang itu sendiri. Sebenarnya apabila kita sebut "dia lalai", itu bermaksud orang tersebut telah kurang melakukan ketaatan kerana terlalu asyik dengan hal yang melekakan tersebut.

Selagimana hal yang melalaikan tersebut tidak dilarang Allah, maka kita dilarang untuk menghalang mereka melakukan hal-hal tersebut. Tapi kita disuruh untuk mengajak mereka untuk melakukan hal-hal ketaatan, TANPA sedikitpun kita cuba melarang mereka daripada melakukan hal-hal yang mereka sukai. Inilah manhaj dakwah yang perlu kita fahami.

Contohnya, katakanlah ada orang sangat suka bermain boling. Siang malam dia main boling. Sebagai pendakwah yang terbuka fikiran, dan memahami minat orang yang hendak didakwahi, kita jangan sama sekali menghalang orang tersebut daripada suka bermain boling. Tapi kita dituntut menggalakkan orang tersebut untuk memperbanyakkan amal soleh, sebagai bekalan ke akhirat. Boleh cakap begini, "kau nak main boling ni, main je la, tapi hati-hatilah ye jangan sampai kita lupa kewajiban kita kepada Allah ye. Kalau kewajiban dan tanggungjawab kau jaga setiap masa, nak main boling ni boleh je.."..

Anda JANGAN cakap begini: "Kau main boling melalaikan je, kan banyak lagi benda bermanfaat lain. Macam ni ke orang Islam, macam ni ke nak masuk syurga??" Berbuat begini akan menyebabkan orang itu menyangka Islam ini sempit dan tidak memberikan ruang untuk menikmati hiburan-hiburan dunia yang halal lagi menyeronokkan.

Hanya apabila kelalaian itu menyebabkan seseorang mengabaikan yang fardhu, barulah kita wajib menghalang orang tersebut melakukan kelalaian tersebut. Contohnya macam tengok TV sampai tidak solat fardhu, sibuk bekerja sampai meninggalkan solat Jumaat dan sebagainya.

Jika kelalaian itu hanya menyebabkan dia kurang melakukan ibadah sunnah dan amal soleh lain yang tidak wajib, kita tidak boleh menghalang kelalaian itu, tapi hanya perlu menggalakkan dia memperbanyakkan amal soleh sahaja.

Kongkongan kedua: Mewajibkan apa yang tidak diwajibkan Allah

Kita biasa melihat hal ini berlaku dalam kumpulan-kumpulan tertentu. Saya pernah terdengar tentang konsep hukuman zikir jika anda gagal melakukan tugas-tugas tertentu dan sebagainya. Contohnya, atas kelewatan menghadiri sesuatu majlis ilmu, maka ketua majlis tersebut menghukum orang yang lewat itu dengan 1000 kali zikir dan sebagainya, kemudian orang yang dihukum pula menganggap itu satu kewajiban dan melakukannya.

Ini satu masalah serius. Sampai jadi wajib pula. Kenapa kita perlu mencipta ibadat fardhu yang baru?

Ada juga isu tentang ketua-ketua organisasi tertentu yang memaksa dan mewajibkan ahli-ahlinya untuk menyertai aktiviti-aktiviti Islamiah tertentu. Jika ahli tersebut dibayar gaji, itu tidak apa sebab itu adalah satu tugas dan amanah, maka ahli tersebut memang wajib penuhi jika tidak dapatlah duit haram.

Tapi jika organisasi tersebut atas dasar suka-rela, mengapa jadi wajib pula? Jika nak pergi, maka itu bagus sekali. Jika tidak pergi, maka ahli tersebut berhak berbuat demikian dan tidak boleh disangka buruk dengan apa cara sekalipun.

Islam bukan dengan paksaan. Itu termasuklah mengajak kepada yang fardhu, apatah lagi hal-hal yang bukan fardhu seperti yang disebutkan di atas?

Sesungguhnya apa yang disyariatkan Allah sebagai wajib, maka ia wajib. Jika ia sesuatu yang dituntut tapi tidak wajib, maka ia tidak wajib, tapi melakukannya adalah sentiasa dan sangat dituntut sebab ia mendatangkan pahala dan redha Allah.

Jadi janganlah kita, sebagai pemimpin, naqib, ketua keluarga dan sebagainya, mewajibkan orang-orang yang kita pimpin sesuatu yang tidak diwajibkan Allah dalam urusan agama. Kita tidak boleh mewajibkan dia berzikir, solat qiam, menghadiri majlis-majlis ilmu dan lain-lain amal soleh yang tidak wajib. Kita hanya boleh mengajak dan membimbing sahaja, jika nak ikut atau tidak, maka itu terpulang kepada mereka.

Selagimana orang tersebut melakukan hal-hal fardhu dengan baik, dan meninggalkan yang haram, maka itu sudah cukup baik sebenarnya. Kita hanya perlu menggalakkan mereka untuk menggiatkan amal soleh, bukan mewajibkan.

Anda hakim atas apa yang anda dengar

Siasat.

Itulah perkataan yang perlu ada dalam fikiran anda setiap kali anda mendengar sebarang jenis maklumat atau cerita. Siasat bermaksud mencari bukti untuk mengesahkan sama ada maklumat yang didengari tersebut benar atau salah.

Analogi mahkamah

Katakan anda di dalam mahkamah bertugas sebagai hakim bagi satu kes. Di pihak pendakwaan ada seorang peguam yang sangat hebat, terkenal dan tidak pernah kalah satu kes pun. Di pihak pembelaan ada pihak tertuduh yang tidak mampu mengupah peguam untuk membelanya.

Peguam tersebut, sungguhpun hebat, tidak mempunyai bahan bukti untuk pendakwaan. Sedangkan tertuduh, walaupun tidak mempunyai peguam pembela, mempunyai bukti kukuh untuk menunjukkan dia tidak bersalah.

Perbicaraan berlangsung dengan pendakwa tersebut dengan petahnya berhujah untuk cuba mempersalahkan tertuduh. Pihak tertuduh pula tidak banyak cakap, hanya menunjukkan bukti-bukti kukuh, contoh-contohnya dokumen-dokumen penting dan sebagainya, bagi membuktikan dia tidak bersalah.

Sebagai hakim, apakah tindakan anda?

Hammer_200
Apakah anda akan terpengaruh dengan hujah peguam yang kuat dan memukau, sungguhpun tiada bukti (kalau ada bukti pun hanyalah bukti yang lemah) bagi menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh?

Atau anda akan menjatuhkan hukuman tidak bersalah kepada pihak tertuduh kerana bukti-bukti kukuh yang ditunjukkan olehnya, walaupun dia tidak petah berhujah dan tidak tahu berbahas?

Katakan anda menjatuhkan hukuman bersalah. Apakah agaknya perasaan keluarga tertuduh tersebut? Bayangkan pula jika anda adalah salah seorang ahli keluarga tertuduh, bagaimanakah perasaan anda, apabila walaupun dengan bukti-bukti kukuh untuk membukti tertuduh tidak bersalah, tapi hanya kerana tiada peguam dia masih dijatuhkan hukuman?

Saya yakin, sebagai manusia yang mempunyai akal yang rasional, dan berfikiran adil, sudah tentu anda akan memilih pilihan yang "tidak bersalah".

Minda kita langsung tidak dapat menafikan, siapa yang ada bukti, maka dia betul. Malah, tuntutan mempunyai bukti dalam berhujah adalah satu perintah Allah s.w.t dan banyak disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Maaf saya tidak berminat untuk untuk memasukkan dalil-dalilnya di sini kerana kurangnya bahan rujukan di sisi saya ketika ini.

Kita sebagai hakim untuk diri sendiri dalam kehidupan seharian

Syeikh Dr Yusuf Qardhawi pernah menyebut satu kenyataan yang sungguh menarik iaitu "berilah fatwa kepada dirimu sendiri". Saya yakin yang dimaksudkan beliau bukanlah kita diminta supaya memahami hukum-hakam sesuka hati, tetapi apa yang beliau maksudkan ialah kita pandai memilih dan menganalisa yang mana satu betul dan mana salah. Kita harus melakukan hal seperti ini dan membuat keputusan.

Jadi untuk membuat keputusan seperti itu, sepertimana jika anda hakim dalam mahkamah, apa yang anda cari ialah bukti. Anda mempunyai slogan "Di mana ada bukti, di situlah kepercayaan saya!"

Ya. B-U-K-T-I.

Tanpa bukti, maklumat kekal sebagai hanya cerita, bahkan mitos. Dengan adanya bukti kukuh maka ia berubah menjadi fakta dan barulah kita akan menerimanya tanpa kecuali.

Antara isu penting dalam soal ini ialah apabila kita tentang mendengar apa-apa kenyataan berhubung agama. Ramai orang kata ini haram, itu halal, itu sah, itu batal dan sebagainya.

Tapi sebelum anda pantas menerima, tanya mereka, apa buktinya? Jika mereka terlupa dalil tersebut (mereka tetap manusia biasa) tanya di mana anda boleh mencari bukti tersebut, kitab apa, buku apa? Saya jelaskan di sini, soalan-soalan ini bukanlah untuk mencabar kweibawaan orang tersebut, tetapi adalah salah satu usaha kita untuk turut menyiasat sumber maklumat tersebut sebelum beramal.

Teliti betul-betul kata-kata saya: saya tidak kata sesuatu cerita yang tiada bukti maka cerita itu salah. BUKAN BEGITU. Bila tiada bukti, kita harus siasat di mana buktinya. Jika ada bukti yang membenarkan, maka kita benarkan. Jika ada bukti yang menyalahkan, maka kita menolak cerita atau maklumat itu. Jika tiada bukti yang benar-benar kukuh, maka tidaklah dapat dipastikan lagi ia sebagai satu perintah dalam agama. Dalam hal ini maka kita tidak perlu mengamalkannya, sebab syariat tertegak atas apa yang benar-benar pasti (ada dalil kuat) sahaja.

Itulah cara kita sebagai muslim, jika kita ingin betul-betul jujur dan tepat dalam memahami agama.

Islam itu tertegak atas dalil-dalil Quran dan Sunnah

Sebab itulah jangan kita cepat melenting kalau kita ditegur oleh orang lain yang membawa dalil-dalil.

Setiap kali mereka membawa dalil untuk memberi ilmu atau nasihat kepada kita, peranan kita tidak lain dan tidak bukan adalah "sami’na wa’ato’na" (kami dengar dan kami taat).

2319394030_12592a3865
Ingat, bukankah anda hakim bagi diri anda? Bukankah apa yang disampaikan kepada anda ialah dalil-dalil, baik dari Quran mahupun hadith-hadith Rasulullah s.a.w, yang merupakan bahan-bahan bukti dalam syariat? Kenapa kita hendak membantah dalil-dalil? Siapakah kita untuk menafikan dalil-dalil? Nau’zubillah.

Dahulu saya pernah hampir-hampir begitu. Mungkin disebabkan ego, saya pada mulanya sukar untuk menerima nasihat-nasihat yang bertujuan untuk membetulkan diri saya, sungguhpun nasihat itu mempunyai dalil yang menyokongnya.

Namun tidak lama kemudian saya sedar kesilapan itu, saya bertaubat dan cepat-cepat meneliti nasihat tersebut dan mengamalkannya. Bukankah tiada rugi jika saya mengamalkannya? Sebab apa yang saya amalkan itu adalah apa yang disebut dalam Kitabullah dan Sunnah NabiNya. Dengan mengamalkannya, saya kini semakin mendekati jalan-jalan kebenaran. Amin.

Demikian juga saya mengajak anda. Kita mengamalkan Islam bukan selepas mendengar hujah "si peguam yang tiada bukti". Kita mengamalkan Islam bukan dari sebarang manusia, baik diri saya sendiri, kawan karib, ibubapa bahkan ustaz jika mereka menyampaikan Islam tanpa dalil-dalil. Kita tidak mengamalkan Islam daripada mereka yang suka mencipta-cipta cerita dan mengamalkan syariat berdasarkan suka-suka akal semata-mata.

Kita mengamalkan Islam HANYA dari ilmu-ilmu dan kefahaman agama yang bersumberkan dalil-dalil yang sahih. Kita berdoa agar Allah memudahkan kita ke arah jalan seumpama ini.

Saya sedar tak semua daripada kita mampu untuk meneliti semua dalil-dalil sebelum beramal. Ada yang sibuk dan ada yang kurang motivasi. Nasihat saya untuk kita semua ialah lakukanlah ini dengan perlahan-perlahan. Tak perlu terburu-buru. Kita tidak akan dibebankan dengan sesuatu yang kita tidak mampu.

Sebagai permulaan belilah kitab-kitab hadith yang sudah diterjemah, malah sudah disyarahkan lagi. Kitab-kitab sebegini sudah semakin membanjiri pasaran. Malah syarah hadith tersebut, untuk memenuhi tuntutan permintaan umat zaman kini yang sibuk dan moden, syarah tersebut telah dipermudahkan teksnya sehingga orang ramai boleh terus faham dengan hanya membacanya.

Nampaknya para ustaz dan a’lim kita semakin faham realiti masyarakat, maka mereka memudahkan kita memahami agama dengan menerbitkan buku-buku agama yang mudah difahami sebegini.

Jadi setelah kemudahan untuk memahami ilmu agama yang sahih sudah ada dan dekat sekali, alangkah ruginya jika kita mengambil remeh hal ini.

Ingat, cintailah ilmu Quran dan sunnah Rasul, itulah bukti-bukti yang kita pegang supaya amalan-amalan kita sentiasa sahih di sisi agama.  Jika datang cerita atau sebarang maklumat kepada anda tentang isu agama, jadilah hakim yang adil. Carilah Quran dan Sunnah, setiap masa dan ketika.

Ilmu agama OK, akhlak KO

Orang kita kata padi bila makin berisi makin tunduk.

Indahnya pepatah tersebut, tapi malangnya tak ramai antara kita yang ambil pengajaran daripadanya.

Saya sengaja melayari beberapa laman web tentang Islam, ditulis oleh kalangan kaum muslimin kita sendiri (melayu) dan isinya sarat dengan dalil-dalil dan kata-kata ulama’….

…tapi malangnya bahasanya dan cara penulisannya cukup kasar. Sampai kadang-kadang kita boleh terfikir, apakah ini akhlak orang-orang berilmu? Apakah tujuan dia menulis artikel ini, untuk menghina individu-individu atau ingin memperbetulkan kesilapan individu tersebut?

Benar, kita boleh tidak bersetuju. Jika semuanya sentiasa setuju maka pembaharuan sukar terjadi. Tapi "ketidaksetujuan" kita itu mestilah atas apa yang disampaikan orang tersebut, BUKAN siapa yang menyampaikan. Demikian juga dengan perbuatan mungkar, kita membenci perbuatan mungkar itu, bukan pembuatnya.

Ada sebilangan penulis yang tanpa segan-silu, atas alasan tidak bersetuju dengan orang-orang tertentu, bertindak memburuk-burukkan individu terbabit.

Dari segi psikologi, jelas kelihatan di situ unsur-unsur emosi dan teknik justifikasi dan rasionalisasi yang kebudak-budakkan.

Contohnya,  mereka menggunakan ayat:  "Apakah dia ingat dia lebih hebat daripada Sheikh Fulan bin Fulan, siapa dia ingin berkata demikian?".

Sebenarnya kita boleh sahaja berkata balik, adakah kau fikir kau pula lebih hebat dari dia sampai kau nak mengkritik dia? Kemudian orang lain akan mengkritik saya, kau ingat kau lagi pandai dari dia ke sampai nak kutuk dia pula?.. dan seterusnya takkan habis-habis. Hai….

Saya harap anda faham maksud saya.

Pendek kata, dengan mengamalkan ideologi "dia lebih pandai dari kau, kau tak boleh tak setuju dengan dia", hanya akan menimbulkan konflik, mencabar maruah orang dan akhirnya perselisihan faham. Orang akan saling berbalas-balas ejekan. Inikah yang kita mahu? Sepatutnya kita kata, "mana buktinya, mari kita siasat. Ini bukan isu siapa betul, tapi ini isu apa yang betul dan apa yang salah".

Ada contoh lain, kita panggilnya sebagai teknik generalisasi. Ini juga sikap kebudak-budakkan dan langsung tidak mencerminkan akhlak Islamiah. Kenapa? Dalam generalisasi (katakan ada orang X dan Y), Y didapati menyampaikan sesuatu yang salah tentang isu tertentu dan X tidak setuju. Lalu dalam apa jua keputusan Y selepas itu, walaupun Y menyampaikan sesuatu yang benar, X tidak akan setuju.

Anda mungkin biasa menghadapi keadaan ini. Ada ahli UMNO setiap masa bangkang PAS, ada ahli PAS setiap masa bangkang UMNO? Tak pernah dengar? :)

Di sini saya, sebagai insan biasa bukanlah sebagai seorang ‘alim, ingin mengajak kita semua agar dalam setiap keadaan kita perlu bertimbang rasa dan menjaga perasaan orang lain. Kita diwajibkan menuntut ilmu, dan kita juga diwajibkan menjaga akhlak.

Bila tak setuju, jadilah spesifik. Jika orang tersebut memberitahu isu A dan B, lalu anda tidak setuju dengan isu A, maka tak setujulah dengan isu A sahaja. Jangan anda turut tidak setuju dengan isu B hanya kerana anda tidak setuju dengan isu A, sedangkan dalam isu B orang tersebut telah menceritakannya dengan tepat dan baik sekali.

Kalau tak setuju, berikan fakta. Jangan sesekali memburuk-burukkan, membanding-bandingkan individu-individu tertentu dan mewujudkan berbagai-bagai sentimen yang berunsurkan berpecah-belah. Tak setuju dengan isu, tak setuju dengan isulah. Bukan jadi anti dengan orang tersebut!

Tak setuju, beri fakta. Tak setuju, beri fakta. Dalam tak setuju tentang isu duniawi, jika tak ada fakta, boleh beri sebab yang rasional. Tapi dalam isu agama orang yang ada dalil adalah sentiasa orang yang benar.

Memberi bukti dan dalil dalam berhujah adalah satu perintah Islam ("Qul haatu burhaanakum in kuntum soodiqin" dan banyak lagi dalil lain). Kita dilarang berprasangka, kenapa? Sebab prasangka adalah anggapan tiada bukti. Kita dilarang menuduh orang berbuat jenayah tanpa saksi, tanpa bukti. Kita dilarang mendengar cerita-cerita keburukan orang lain, apatah lagi jika ceritanya itu tiada bukti? (nota: mengumpat dan memfitnah adalah dosa BESAR!)

Jadi, saya harap sengat kita semua berhati-hati dan berakhlak mulia dalam berkomunikasi walaupun ketika berbeza pendapat. Ini nasihat untuk saya terutamanya, dan kemudian kepada anda. Boleh berdebat, boleh tidak setuju, tapi jangan berselisih dan bermusuh-musuh.

Ke manakah hilangnya kasih sayang?

“Muslimahism”: Kenapa tidak?

Mungkin penulisan ini lebih khusus untuk kaum wanita.

Isunya adalah tentang pengenalan kepada satu perkataan yang saya sengaja reka: "muslimahism". Mungkin bunyinya mengarut, atau salah dari segi bahasa, tapi maafkan saya sebab saya tak kisah. Apa yang saya kisah adalah apa yang bakal dibawa oleh mereka yang mendukung nama ini, muslimahism secara spesifik, dan Islam, secara umum.

Mungkin ada orang bertanya, kenapa tak sebut perkataan Islam sahaja? Itu benar, kita boleh gunakan perkataan Islam. Itu bagus.

Tapi bila kita berhadapan dengan satu kelompok yang berfikiran sekular, tapi mengaku diri mereka sebagai muslimah-muslimah, kita terpanggil untuk mewujudkan satu nama lain untuk gerakan Islam, hanya sekadar nama, untuk memerangi satu bentuk pemikiran yang semakin menular dalam masyarakat kita: feminism. Ya, feminism merupakan satu masalah yang besar yang sedang melanda minda-minda muslimah kita hari ini.

Mari kita kenalkan kepada mereka muslimahism, pemikiran sejati pro-Islam khas untuk kaum wanita. Siapa paling tepat untuk melakukan tugas ini? Sudah tentu muslimah-muslimah sejati di luar sana, yang elok tudungnya dan pakaiannya, adabnya, ilmunya dan akhlaknya. Jihad mereka ialah bersatu menentang aliran feminism yang niatnya bagus -untuk membela penindasan wanita dan mendapatkan keadilan-  tapi malangnya kemudian jalan-jalan penyelesaian pemikiran feminism ini telah melampaui batas, justeru ia sama sekali bukan cara kita.

Dalam penulisan ini saya sama sekali tidak bersikap sexist (pro-jantina). Dengan menentang feminism saya langsung tidak cuba untuk mengatakan nasib kaum wanita tidak perlu dibela. Setiap manusia di bumi ini ada hak-haknya sendiri, tapi hak-hak itu perlu dipandang dari segi wahyu, bukan oleh pemikiran manusia yang hanya berlagak sempurna akal. Sebagai muslim apabila Islam dianak-tirikan oleh penganutnya sendiri, maka saya kini ada kerja perlu dibuat. Begitu juga dengan anda yang beragama Islam, jangan sesekali kita meremehkan agama kita ketika ia diserang secara fizikal mahupun mental.

 

Persoalan tentang keadilan

Arus feminism wujud setelah kaum wanita telah ditindas hebat, terutamanya di negara-negara barat. Bermula dengan niat-niat baik untuk mendapatkan hak-hak keadilan seperti hak-hak mengundi dan pendidikan, ia kini seperti sudah menjadi kanser yang berkembang- biak dan bermetastasis tanpa mengira sempadan. Apa tuntutan mereka kini? Kesama-rataan, keserupaan atau equality. Mereka hampir-hampir mahukan apa sahaja yang lelaki dapat. Kalau lelaki main bola, perempuan pun mesti main bola. Sampai kadang-kadang kita ketawa dengan betapa tidak logiknya tuntutan mereka itu.

Namun benarkah menuntut equality itu bererti menuntut keadilan? Bukankah adil namanya kalau kita semua serupa, apa yang jadi hak lelaki perlu juga jadi hak wanita?

Sebenarnya equality atau kesama-rataan tidak serupa dengan keadilan. Kenapa? Saya berikan satu contoh:

Katakan anda ada seorang anak kembar tidak seiras lelaki dan perempuan. Pada hari jadi mereka, untuk bersikap adil, apakah hadiah yang akan anda belikan? Pilihan pertama, kedua-duanya mendapat hadiah yang sama, jika anda membelikan kereta mainan untuk anak lelaki, anak perempuan pun akan mendapat hadiah yang sama. Pilihan kedua, anda membelikan mainan lelaki untuk anak lelaki dan mainan perempuan untuk anak perempuan, tetapi kedua-duanya sama harganya.

Saya tanya anda, mana satu lebih adil, pilihan satu atau pilihan ke kedua? Manusia yang waras akan berkata, pilihan kedualah yang adil. Hadiah yang dibeli sesuai dengan fitrah masing-masing.

Fitrah! Itulah kata kuncinya.

Sebab itu dalam Islam adil itu bermaksud "meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul". Adil tidak semestinya bermakna sama-rata! Adil bermakna siapa yang berhak, maka dialah yang layak.

Lelaki diwajibkan berperang sedangkan perempuan tidak, hikmahnya adalah kerana lelaki lebih kuat tenaganya dan jika terkorban masih tidak merugikan umat, sebab kaum wanita boleh terus melahirkan anak dan melahirkan generasi baru.

Perempuan dikecualikan solat ketika haid tetapi lelaki tiada cuti solat sebab tiada haid. Lelaki lebih ringan auratnya berbanding wanita, hikmahnya agar wanita tersebut kurang risiko diganggu berbanding wanita yang bentuk badannya dilihat umum. Apatah lagi mereka yang mendedahkan auratnya?

Lelaki dilarang memakai sutera, emas dan lain-lain perhiasan seperti gelang dan rantai, sedangkan perempuan dihalalkan.

Selain itu banyak juga lagi dalam Islam, hukum-hakam untuk lelaki dan wanita yang berbeza-beza contohnya dalam isu munakahat dan perwarisan harta. Kita beriman dan patuh kepada semua ini kerana ini semua perintah Allah s.w.t. Tapi alhamdulillah dan syukur kita kepada Allah, semua perintah ini hikmahnya cukup besar untuk kemajuan tamadun Islami. Bukankah sejarah telah membuktikan bagaimana hidup dengan cara Islam membentuk sebuah negara yang sejahtera dan dirahmati Allah?

Cabaran dan tanggungjawab kita

Arus feminism mencabar semua ini. Apabila terdapat sebarang bentuk pemikiran merentasi batas agama, maka di situ kita mesti bertindak. Feminism di negara ini mencabar halalnya berpoligami, mahu kesama-rataan harta warisan, hak-hak penceraian dan lain-lain. Mereka menakluki fikiran orang-ramai dengan hujah-hujah yang memukau, dan banyak juga tuduhan mereka terhadap agama adalah tidak benar dan menyimpang. Tanpa memahami agama dengan betul, mereka menuntut hukum-hakam dalam Islam diubahsuai supaya kehendak mereka dituruti.

Contoh paling terkenal, mereka mengatakan pemakaian tudung tidak wajib. Sedangkan pemakaian tudung dan berpakaian longgar menutup aurat adalah jelas diterangkan dalam nas-nas Quran dan Sunnah. Tapi nas-nas ini sama ada mereka tafsirkan mengikut nafsu mereka sendiri, ataupun mereka menganggap ianya tidak sahih hanya kerana tidak setuju dengan nas tersebut.

Sebab itu penting untuk betul-betul menghayati Islam dengan ikhlas, barulah kefahaman yang benar itu terpahat di minda. Semua orang mampu melakukannya,  baik orang yang berpelajaran ataupun setakat tahu membaca. Islam tidak seperti ilmu-ilmu matematik yang kompleks yang memerlukan minda-minda genius untuk memahaminya. Islam untuk semua orang.

Adakah golongan feminist fikir dengan mudah-mudah sahaja orang lelaki boleh berpoligami? Tidakkah mereka sedar lelaki perlukan lebih harta warisan kerana mereka wajib memberi nafkah kepada keluarga? Tidakkah mereka pernah terfikir nasib-nasib balu atau janda yang ramai anaknya dan memerlukan bantuan tanggungan hidup, dan berapa sikitnya anak bujang yang mahu menikahi mereka? Di sini bukanlah saya cuba untuk merendah-rendahkan status golongan janda atau balu, tapi inilah realiti masyarakat Malaysia hari ini: anak bujang lebih mahukan anak-anak dara.

Sebab itu saya menyarankan muslimah-muslimah semua bangkit dan menerangkan isu yang sebenarnya. Pelajari ilmu-ilmu kemuslimahan dengan betul, pelajari segala hikmah yang terkandung dalam perbezaan hukum-hakam antara lelaki dan wanita.  Kemudian sampaikan kepada masyarakat, beritahu mereka "kenapa Islam jalan saya", "kenapa saya yakin 100% Islam itu adil terhadap semua orang" dan soalan-soalan seumpama itu.  Tepis setiap tohmahan pemikiran sekular terhadap Islam dan biar orang ramai, baik muslim ataupun tidak, memahami isu ini dengan betul. Anda bakal membersihkan imej agama yang teruk dicalari golongan sekular, malah semakin mengembangkan kemuliaan Islam kepada masyarakat.

Saya pernah mendengar beberapa ceramah muslimah-muslimah hebat dan saya sangat kagum dengan kepetahan mereka. Mereka mampu, mereka manusia, kenapa tidak anda, muslimah sekalian?

Bukanlah saya cuba katakan kaum muslimin tidak perlu melakukan tugas ini. Kami -kaum muslimin- perlu melakukan tugas ini. Memang ada kaum muslimin yang sedang berusaha memperbetulkan salah-faham golongan feminism ini, tapi tugasnya sangat sukar. Kenapa? Sebab kaum feminism ini menyangka tindakan kami ini bukan atas dasar agama, atas dasar sexist yang hanya mahukan keunggulan kaum lelaki berbanding perempuan. Antara mereka ada yang mengatakan kami sentiasa mahukan kahwin ramai isteri sebab itu kami cuba membetulkan fikiran mereka. Apa yang boleh kami lakukan bagi menghadapi tuduhan ini? Hanya mengeluh.

Muslimahism vs Feminism

Bayangkan jika golongan feminist ditegur dan didebat hebat oleh golongan muslimah sendiri, yang sejantina dengan mereka, apakah akan mereka rasa? Siapakah golongan muslimah yang saya maksudkan? Inilah golongan muslimah yang sanggup berpoligami, malah ada yang sampai ke tahap solehah  "luar biasa" dengan sanggup mencarikan isteri lain untuk suami yang dicintai. Inilah golongan muslimah yang sangat menjaga auratnya, adabnya dari segala segi. Inilah muslimah yang taat kepada suami, ibu yang penyayang selain menjadi contoh ikutan kepada masyarakat. Inilah muslimah yang  menyusuri jalan-jalan kehidupan agar sampai ke taman syurga. Semoga Allah merahmati mereka. Amin..

Mungkin usaha-usaha muslimahism sudah wujud, tapi masih tidak ketara jika nak dibandingkan dengan usaha-usaha feminism. Jika kita ada rancangan Wanita Hari Ini, majalah Jelita dan sebagainya, mengapa kita tidak terbitkan rancangan Muslimah Hari Ini, majalah Muslimah dan sebagainya? Ada yang sudah terbit, tapi harus dipergiatkan sampailah usaha-usaha feminism ini tenggelam. Biar golongan muslimah sejati kuasai minda wanita. Itulah yang jihad yang saya ternanti-nanti: feminism vs muslimahism.

Antara pemikiran manusia dan ketaatan kepada perintah Allah, sudah tentu pilihan kedua bakal mendapat keredhaan Allah dan rahmatNya yang melimpah ruah. Amin.

Bila malas membaca…

Jualan buku di Malaysia kurang laris berbanding negara-negara lain, terutamanya negara-negara maju seperti di Eropah. Begitu juga dengan tahap jumlah pembacaan kita dalam setahun, di mana secara purata kita membaca sangat sedikit berbanding rakyat negara Eropah.

…dan kita sibuk bercakap tentang kebangkitan ummah, jihad ilmiah dan sebagainya, sedangkan dalam konteks kerajinan membaca pun kita masih ketinggalan.

Membaca adalah satu tabiat asas dalam sebarang usaha menuntut ilmu. Kalau dalam memasak paling kurang perlu masak nasi, dalam menuntut ilmu paling kurang mesti ada budaya membaca.

Biasalah, kadang-kadang kita memang semangat nak baca itu dan ini, ingin kuasai ilmu itu dan ini, tapi tak lama kemudian semangat itu mulai pudar dan buku-buku kembali tersusun ke rak. Kita lemah, hanya manusia biasa.

Tapi tidak dapat tidak ini satu kelemahan yang perlu diperbaiki. Sewajarnya kita sentiasa konsisten untuk terus membaca. Bagaimana? Mungkin tips-tips di bawah dapat membantu.

Sekurang-kurangnya bacalah sesuatu yang berguna dalam sehari

Dalam sehari, pastikan anda ada satu sasaran MINIMUM pembacaan (baseline reading). Bila sebut minimum, maknanya sedikit sahaja, dan sudah tentu ini sangat mudah untuk dicapai. Disebabkan pembacaan itu sedikit, isi bacaan itu mestilah jenis yang padat dan berguna. Mungkin membaca buku teks termasuk dalam kategori ini.

Contohnya, anda buat matlamat sekurang-kurang baca satu bab kecil dalam buku teks setiap hari. Satu bab kecil tersebut adalah kira-kira 2-3 mukasurat. Kalau anda tidak mampu, bacalah sekurang-kurangnya satu mukasurat.

Setelah anda sudah biasa dengan matlamat ini, tingkatkan jumlah mukasurat. InsyaAllah dengan cara ini anda dapat melatih diri anda untuk meningkatkan tahap pembacaan konsisten anda, secara berperingkat.

Kesimpulan paling penting di sini, sekurang-kurangnya bacalah sesuatu yang berguna dalam sehari!

Susah hendak tidur?

Sesetengah orang berkata mereka akan mudah tidur kalau membaca.

Ini satu peluang yang baik untuk mereka yang sukar tidur awal, tapi mudah tidur setiapkali membaca. Sebelum tidur, bacalah buku sampai terlelap! Sambil anda cuba melelapkan mata dengan membaca, secara tidak langsung anda sedang menambah  ilmu pengetahuan.

Malah setahu saya ada kajian yang menunjukkan anda akan ingat sesuatu itu dengan baik apabila anda membaca atau menghafalnya betul-betul sebelum tidur.

Namun tidaklah pula salah untuk anda membaca sebelum tidur, walaupun anda tidak akan mengantuk dengan membaca. Bezanya, bataskanlah waktu untuk membaca sebelum tidur. Waktu sebelum tidur adalah waktu yang tenang, ditambah dengan keselesaan katil yang empuk, ini menyebabkan pembacaan pada waktu itu lebih menyeronokkan.

Saya menyarankan agar duduk bersandar jika ingin membaca di atas katil. Bila sudah mengantuk barulah baring dan terus tidur.

Baca sambil baring terlentang boleh meningkatkan risiko rabun mata, malah untuk mereka yang sudahpun rabun boleh memburukkan lagi rabun mata mereka. Baca sambil meniarap pula tidak disukai dalam agama.

Letakkan buku-buku (bacaan berguna, tapi ringan) di tempat-tempat santai

Tujuan kaedah ini ialah untuk memudahkan buku-buku dicapai. Harapannya, meningkatkan harapan atau kekerapan untuk buku tersebut dibelek-belek, lebih baik lagi dibaca terus.

Jadi letakkanlah buku-buku di atas meja-meja kopi, meja-meja berhampiran kerusi santai, meja-meja di sebelah katil dan sebagainya. Ideanya di sini, buku itu mesti sentiasa kelihatan, dekat dan mudah dicapai oleh penghuni rumah. Mudah-mudahan ringan saja tangan-tangan kita untuk capai dan baca.

Sudah tentu, janganlah anda letak buku-buku yang tebal untuk tujuan ini sebab jarang untuk orang suka membelek buku-buku tebal atas tujuan suka-suka. Untuk tips ini saya memaksudkan buku-buku kecil, novel-novel dan majalah-majalah yang berfaedah -dan sudah tentu bukan bahan bacaan picisan.

Rajin membeli buku

Tanamkan minat suka membeli buku.

Kita boleh kumpul duit tengok wayang yang hanya berlangsung selama 2 jam, makan makanan sedap-sedap, membeli majalah-majalah hiburan, CD-CD dan banyak lagi bentuk hiburan, tapi bila diajak membeli buku-buku yang memberi faedah, pandai sahaja kita berdalih.

Sedangkan buku-buku sebegini boleh memberi kesan positif untuk anda gunakan dalam hidup anda sampai mati. Contoh yang baik ialah buku-buku agama, motivasi, self-help lain-lain buku-buku ilmiah. Novel-novel biografi tokoh juga selalu banyak manfaatnya. Jadi, sangat menguntungkan diri jika kita rajin membeli buku-buku sebegini, dan membacanya.

Ada seorang kawan pernah memberi nasihat kepada saya. "Mungkin kalau kau rajin beli buku, kau tak baca pada hari ini. Tapi buku tu sentiasa boleh dibaca pada hari-hari lain jika kau mahu. Jadi beli saja dulu daripada tak ada peluang untuk baca langsung!"

Sesetengah orang kata beli banyak buku itu membazir. Saya rasa itu bergantung kepada diri kita sendiri. Sebab biasanya bila lagi banyak bahan bacaan yang kita miliki, kita akan merasa lebih terpanggil untuk membaca.

Malah kini giat dijalankan kempen perpustakaan mini di rumah. Para ulama’ pun menggalakkan usaha sebegini. Di negara-negara barat, hal ini dipraktikkan ramai orang. Begitu juga ketika zaman Islam sedang megah dahulu, ketika mencari ilmu menjadi antara agenda utama dalam kehidupan sehari-hari.

Mungkin seelok-elok harta yang perlu dikumpul ialah buku-buku. Kenapa? Sebab bukulah harta yang paling banyak faedahnya -mengandungi ilmu berguna- untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sesetengah orang kata baik baca eBook sahaja. Itu memang jimat dan bagus, tapi mungkin itu lebih sesuai untuk membaca artikel atau bahan penulisan yang pendek-pendek. Membaca eBook untuk keseluruhan buku, terutamanya yang memakan beratus-ratus mukasurat memenatkan mata dan tengkuk sebab anda berterusan menghadap skrin komputer. Sebab itu bahan bacaan atas kertas lebih praktikal untuk bahan bacaan yang tebal seperti buku-buku.

Jika anda ada banyak buku, biasanya akan terdetik secara automatik di fikiran anda, "eh, banyaknya buku aku, membazirnya duit kalau tak baca". Jika tidak terdetik, selalu detikkan perasaan bersalah sedemikian. Jika tidak mampu juga, jangan ikut tips ini sebab anda memang hanya akan membazir wang membeli buku-buku yang tidak akan dibaca.

Kesimpulan saya di sini ialah, buku yang banyak dan tersusun di depan mata boleh memotivasikan kita untuk lebih rajin membaca buku-buku tersebut. Sebab itulah kalau di perpustakaan biasanya kita ada lebih mood untuk membaca. Jika anda tidak percaya, terpulanglah, tapi saya percaya, kerana hal ini selalu berlaku kepada saya.

Wallahu a’lam

Ingin jawapan tentang syubhah dan was-was

Saya ingin meminta bantuan untuk memperjelaskan diri saya tentang persoalan satu isu.

Isu ini adalah tentang bagaimana kita menghadapi was-was dan syubhah. Daripada segala macam jenis maklumat ilmiah yang saya pernah dengar dan baca, terdapat dua jenis pendekatan apabila berhadapan dengan syubhah dan was-was:

Pertama, kita menjauhinya sebagai satu langkah berhati-hati, sepertimana yang disebut dalam satu hadith Nabi s.a.w. (boleh rujuk hadith 40 imam Nawawi).   

Kedua, kita tidak perlu menjauhinya dan menganggapnya halal selagimana tidak terbukti keharamannya, dan ini adalah satu kaedah fiqh yang mahsyur. Ini kerana adalah satu dosa dalam Islam untuk kita mengharamkan sesuatu yang sebenarnya halal, sepertimana berdosanya kita untuk menghalalkan apa yang sebenarnya haram.   

Disebabkan ilmu saya yang masih cetek ini, saya masih keliru dan ingin mendapatkan kaedah universal yang boleh diterapkan dalam kehidupan agar saya tahu bila saya perlu menjauhi sesuatu keraguan sebagai langkah menjauhi syubhah, dan bila pula saya boleh menolak keraguan itu dan menerimanya sebagai sesuatu yang halal.

Jawapan dan bantuan anda, baik penjelasan anda sendiri, penjelasan daripada pakar-pakar agama yang anda mahu quotekan kepada saya, bahan-bahan bacaan yang anda ingin syorkan, sebarang link ke laman-laman web yang membincangkan hal ini, dan apa jua jenis bantuan, saya ucapkan terima kasih.

Namun, sengaja saya selitkan satu pendekatan yang saya rasa sangat tepat dan selamat. Sepertimana ditekankan oleh syeikh Dr. Yusuf Qardhawi, kalau tidak suka
sesuatu, jangan mudah katakan sebagai haram, katakanlah "saya tidak suka". Sesuatu hal (dalam urusan dunia) hanya haram hanya jika ada dalil, jika tidak semuanya halal, kecuali dalam hal-hal ibadah di mana segalanya haram melainkan ada dalil yang mensyariatkan ibadah tersebut. Tidak dapat dinafikan, ini pendekatan yang sangat selamat.

Wallahu’alam