Saya hairan.
Kenapa ada manusia walaupun sudah tahu sesuatu perkara itu haram tapi masih nak buat juga.
Ya, anda tahu apa yang saya maksudkan. Tentang couple. Berpasangan. Keluar berdua-dua tanpa mahram, tanpa nikah.
"Kalau tak pegang-pegang, apa salahnya?" Ada yang beralasan sedemikian.
Tak perlu saya nyatakan betapa banyaknya dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah yang menerangkan bagaimana caranya kita berinteraksi antara lelaki dan wanita. Saya sudahpun postkan dalam entri-entri yang terdahulu.
Tapi persoalan dalam post kali ini ialah "jika dah tahu salah, kenapa tak mahu berhenti?"
Sebab itu saya menganggap couple ini ibarat dadah. Ia membawa kepada ketagihan. Sekali sudah mula, sukar hendak berhenti, tapi tak mustahil. Tapi walaupun dalam hal ini ada kesukaran untuk berhenti, ia tiada rukhsah, maknanya jika selagi masih bercouple tetap berdosa hukumnya. Bahaya kan? Sebab itu jangan sesekali cuba untuk bercouple.
Memikirkan perkara ini, kita semua patut marah. Kita tak marah pada pelakunya, tapi marah pada perlakuannya. Sepertimana ibu yang marahkan anaknya, bukan kerana benci, tapi sayang. Kita khuatir kawan-kawan kita yang bercouple ini dosanya makin banyak hari demi hari. Paling kita takut jika mereka terjerumus ke lembah dosa yang lebih besar, iaitu zina.
Ya. Antara sebab utama diharamkan berpasangan lelaki-wanita ialah kerana ia menghampiri zina. Ah, saya tak perlu cerita lagi, semua orang sudah tahu. Kan?
Terdapat banyak kemungkinan-kemungkinan kenapa mereka yang bercouple terus bercouple. Sebab pertama, tak sedar betapa dahsyatnya kemurkaan Allah. Sebab kedua, tak takut api neraka. Sebab ketiga, iman yang tidak kuat. Kita berlindung kepada Allah daripada termasuk golongan-golongan sebegini.
"Apa, awak kata kami tak takut kemurkaan Allah, pandai-pandai je melabel kami ya!" Mereka (pasangan couple) mungkin marahkan saya.
Ya, saya faham, siapa tak marah kalau dikatakan sedemikian. Tapi ini satu hal yang pasti dan mereka harus sedar jika mereka masih bercouple, apakah maknanya keadaan ini untuk diri mereka. Sebab, orang yang takutkan Allah takkan bercouple! Orang yang imannya kuat takkan bercouple! Orang yang takutkan api neraka takkan bercouple! Muslim sejati takkan bercouple!
Tepuk dada tanya iman.
Sejauh manakah kita patuh kepada perintah Allah? Sejauh manakah kita cinta dan bertaqwa kepada Allah? Kenapa suka-suka mempermainkan apa yang disyariatkan. Konon yakin tak mati muda. Konon yakin taubat yang sengaja ditangguh-tangguh sampai ke penghujung usia akan diterima Allah.
Marilah menuju syurga. Kita berbahagia bersama-sama di jannah yang di dalamnya mengalir anak-anak sungai yang bersih dan indah. Kita diiringi setiap masa oleh pembantu-pembantu yang sangat bagus rupanya. Kita menjadi muda, kuat dan cantik. Hidup kita di sana jauh lebih mewah dan megah daripada sebarang raja yang pernah hidup di dunia ini. Ah, mungkinkah kita berjiran?
Itulah jannah yang segala-galanya penuh nikmat tidak terkira. Hidup di sana selama-lamanya di bawah redha Allah, ekslusif untuk hamba-hambaNya yang bertaqwa! Amin.
Kita harus sama-sama berdiri di tengah-tengah jalan, menghadang rombongan yang ingin dibakar api neraka, kerana kita tak mahu mereka di bakar api tapi sebaliknya kita mahu mereka bergerak bersama-sama kita menuju ke syurga. Apatah lagi jika dalam rombongan ke neraka itu termasuk orang-orang kita cinta: ahli keluarga, kawan-kawan baik.
Jalan ke syurga itu penuh sukar, penuh berduri. Manakala jalan ke neraka itu penuh dengan kemudahan dan banyak buah-buahan untuk dipetik. Rupa-rupanya semua itu tipu-tipu belaka. Ibarat fatamorgana. Duri adalah ubat, dan buah-buahan rupa-rupanya racun. Hanya ketika sudah sampai di destinasi, baik syurga atau neraka, barulah mereka (ubat atau racun) memberi kesan. Itulah analogi kehidupan dunia ini.
Ya, bukan senang masuk syurga, dan bukan susah nak masuk neraka. Ke syurga, kita melawan arus, sedangkan ke neraka, kita mengikuti arus. Itulah arus kehidupan dunia yang penuh tipu-daya.
Berazam dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berhenti couple adalah termasuk satu mujahadah yang mulia. Satu perbuatan melawan arus dunia. Saya kagum dengan mereka yang melakukannya. Semoga Allah merahmati mereka.
Sedangkan budaya couple, ia hanyalah salah satu mekanisme tipu daya dunia yang disusun syaitan. Contohnya, syaitan berbisik agar kita meniru pasangan-pasangan dalam filem-filem cinta, hati kita terdetik "alangkah romantisnya mereka, alangkah bahagianya mereka, andaikata aku pun boleh berpasangan sebegitu". Itulah antara helah syaitan, helah musuh-musuh Islam, yang telah berjaya mempengaruhi sedemikian besar remaja muslim.
Anda pergilah ke pusat-pusat membeli-belah, ke pantai-pantai, dan anda tahu apa yang saya maksudkan.
Kepada mereka yang bercouple, saya katakan, bukan saya ingin menyibuk hal peribadi anda. Jangan salah faham. Tapi kerana Allah perintahkan kita semua agar saling ingat-mengingati, maka itulah yang sedang saya lakukan.
Penyelesaian jika hendak berhenti ‘bercouple’
Jika sudah jatuh cinta, atau ingin berhenti couple, ada dua pilihan.
Pertama, terus nikah dan selepas itu anda bebaslah berpasangan, malah insyaAllah Allah akan redha kepada anda atas keputusan anda untuk taat kepada Allah.
Kedua, anda masuk meminang, tidak kisahlah sama ada anda lelaki atau perempuan. Pilihan ini elok jika anda belum mampu dan bersedia untuk nikah. Dalam tempoh pertunangan itu, anda tidak boleh dilamar dan bakal pasangan anda pun tidak boleh dilamar. Tapi anda dan dia tidak boleh keluar berpasangan, mahupun berhubungan tanpa keperluan. Interaksi harus dibataskan semampu mungkin. Jika terpaksa berjumpa kerana urusan penting, jangan berjumpa berdua dan di tempat yang sunyi. Hanya boleh berjumpa dengan sengaja jika ada ibu-bapa yang menemani.
Pilihan kedua lebih sukar sebenarnya, sebab itu sebaiknya anda bernikah sahajalah! Kalau ada kenduri jangan lupa ajak saya. ^_^
Semoga Allah memelihara kita semua daripada fitnah couple ini.
Wallahu a’lam.