Archive for March, 2008


Hidup tawar tanpa kerja keras

Semua orang mahu hidup senang.

Harta yang banyak, kehidupan yang aman damai dan selesa, keluarga yang bahagia dan anak-anak yang baik. Sudah semestinya semua ini menjadi idaman ramai manusia.

Tapi keselesaan semata-semata tidak bermakna tanpa ada kerja keras untuk mencapainya. Fitrah alam ciptaan ini menyatakan sesuatu tidak akan dicapai melainkan ada jalan yang diambil untuk menujunya. Allah s.a.w juga telah menetapkan setiap kerja yang dilakukan pasti ada balasannya yang setimpal. Ini semua sunnatullah.

Kalau hidup hanya senang sentiasa tanpa ada kerja keras, kita tidak akan ada daya usaha untuk membaiki diri. Disebabkan semuanya boleh didapati dengan mudah, kita akan jadi malas.

Kerja keras memberi rempah kepada kehidupan. Ia memberi makna kepada kehidupan ini. Sekiranya anda berjaya mencapai sesuatu (dengan izin Allah) setelah bekerja keras, kegembiraannya sangat luar biasa.

Katakan anda mendapat keuntungan RM 1 juta setelah lama bersusah payah berniaga, berbanding dengan anda secara tiba-tiba diberi wang RM 1 juta oleh seorang jutawan. Mungkin anda akan sangat gembira dalam mana-mana situasi pun, tapi kepuasan diri akan lebih hadir dalam situasi pertama.

Itu hanya satu contoh. Hakikatnya kepuasan dan kesenangan di dunia ini tiada nilainya jika hendak dibandingkan dengan kepuasan di akhirat. Jika anda bersusah payah beramal soleh dan berbakti di dunia ini demi mengharapkan kebahagiaan akhirat, anda pasti akan sangat-sangat puas di akhirat nanti. Insya Allah. Itu adalah janji Allah sepertimana termaktub dalam Al-Quran.

Sebab itulah kerja keras itu manis dan merupakan satu tuntutan agama. Kita diberi kemampuan untuk bekerja, bukan seperti batu ataupun pokok. Kemampuan yang kita diciptakan Allah sesuai dengan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi.

Malangnya, kita lihat orang yang paling ketara kerja kerasnya pada hari ini adalah majoritinya daripada golongan bukan Islam. Ini pernah disebut oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi dalam satu khutbahnya.

Lihatlah orang Jepun yang dikenali sebagai golongan yang sangat mengambil berat terhadap kerja keras.

LIhatlah pencapaian golongan akademik barat dalam teknologi dan pembangunan. Akibatnya, semua  pencapaian mereka ini turut memberi kesan negatif terhadap umat Islam yang makin hari makin ditindas. Bom-bom diletupkan dan ekonomi umat Islam disekat, kita pun masih terus diperdaya oleh mereka, tapi kenapa kita masih tidak sedar-sedar dan terus leka dan bermalasan!

Reformasi dan jihad ilmiah perlu dilakukan oleh kita semua. Jika kita mahu merampas kembali penguasaan dunia ini daripada cengkaman kuasa barat, kita harus bekerja keras, lebih keras daripada mereka.

Belajarlah dari semut dan lebah yang tidak putus-putus bekerja, dan lihatlah bagaimana Allah menjamin rezeki mereka. Itu contoh yang sangat baik daripada alam ini untuk menjadi tauladan kepada kita semua. Sungguh, tidaklah Allah menjadikan semua ini dengan sia-sia, tapi kita tidak memikirkannya langsung.

Budaya kerja keras adalah budaya kita yang diabaikan. Ia merupakan sunnah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang akhirnya membawa umat Islam menjadi sebutan seluruh dunia.  Tapi sejarah hanya tinggal sejarah. Kitalah yang bertanggungjawab untuk mengulanginya. insya Allah.

Saya menasihatkan diri saya dan anda untuk sama-sama bekerja keras dan jangan berputus asa. Putus asa bukan sikap golongan yang inginkan kejayaan. Selagi hayat dan tenaga masih ada, janganlah bazirkannya.

Jadi bekerja keraslah, hingga-hingga kerja keras dirasakan lebih manis daripada hasilnya…. ^_^

Wallahu a’lam.