Baru-baru heboh diperkatakan tentang isu Atheism dalam ruangan surat pembaca suratkhabar The New Straits Times. Perdebatan hangat berlaku di antara golongan pro-atheism dan golongan anti-atheism. Golongan pro-atheism mengatakan mereka adalah benar kerana mereka bercakap berdasarkan bukti-bukti sains.
Sungguhpun saya cukup berminat kepada ilmu sains, tetapi saya tidak nampak bagaimana sains mampu membuktikan Tuhan itu tidak ada. Saya akan membincangkan hal ini dalam penulisan ini dalam beberapa bahagian. Insya Allah. Saya menjangkakan penulisan ini akan menjadi satu penulisan yang panjang dan bersiri-siri. Semoga kita semua beroleh manfaat daripadanya.
Sebagai seorang muslim, saya terdetik untuk menulis tentang hal ini sebagai langkah untuk menolak pengaruh atheism ini. Tapi sebelum itu, harus kita faham apakah itu sains, yang menjadi kayu pengukur "benar atau salah" golongan atheism ini, sehingga mereka dengan yakinnya mengatakan Tuhan itu tidak ada.
Sains: Satu Pemahaman Asas
Sains adalah satu bidang ilmu yang cukup istimewa dan kuat. Ilmu ini memainkan peranan besar dalam memajukan tamadun manusia dan telah digunakan untuk memudahkan kehidupan manusia dengan memberi berbagai-bagai manfaat. Bayangkan hidup tanpa elektrik dan bekalan air paip, alangkah sukarnya. Nikmat Allah ini -ilmu sains- sangat patut untuk kita syukuri.
Berbeza dengan ilmu falsafah, ilmu sains adalah ilmu yang kuat dan sukar untuk direka-reka. Sains adalah ilmu yang sangat objektif. Ini kerana fakta sains tertegak di atas bukti-bukti yang sangat kukuh, lahir daripada eksperimen, ilmu logik dan deduksi serta berbagai-bagai cara lagi. Kajian sains bertujuan untuk memahami kehidupan dan kejadian-kejadian dalam alam ini. Kemudian pemahaman ini (fakta sains) akan diaplikasikan untuk kebaikan sejagat. Inilah tujuan sebenar mempelajari sains.
Apabila kita melihat bagaimana para saintis berusaha mengkaji satu fenomena sains, kita akan melihat teknik yang mereka ambil adalah amat objektif, bukannya berdasarkan sangkaan dan tekaan.
Benar, para saintis ada meneka dan bersangka melalui satu proses yang dinamakan membuat hipotesis. Tetapi kemudian mereka akan menguji hipotesis itu dengan bereksperimen, jika hipotesis itu benar, barulah ia dikatakan fakta sains.
Para ahli falsafah Yunani (Greek) suka berhipotesis, tetapi mereka tidak kenal teknik eksperimen. Jadi hipotesis mereka hanya berfungsi sebagai pengetahuan falsafah sahaja, dan tidak dapat diaplikasikannya dengan baik.
Saintis Islam juga berhipotesis dan pada masa yang sama suka bereksperimen, supaya dapat membezakan yang mana satu benar dan yang mana salah. Anjakan paradigma ini menyebabkan ilmu sains berkembang dengan sangat pesat.
Eksperimen adalah salah satu teknik kajian sains yang paling lazim digunakan. Ia adalah satu proses menguji sesuatu hipotesis untuk membuktikan adakah ia fakta sains atau bukan.
Contohnya, katakan seseorang berhipotesis bahawa sejenis kaca sintetik boleh menahan tekanan tinggi di dasar laut. Jadi untuk mengetahui sejauh mana kebenaran hipotesis ini, saintis akan meletakkan bahan itu di dalam ruang tekanan (pressurized chamber) untuk mensimulasi tekanan yang serupa di dasar laut- ini kerana untuk membuat kajian di dasar laut adalah sukar dan berisiko. Setelah itu, tahap ketahanan kaca itu dapat dikenal pasti dengan lebih tepat.
Kerana betapa tepatnya teknik bereksperimen ini dalam mencari dan mengenal pasti yang mana fakta dan yang mana palsu, ia juga telah diperkenalkan dalam ilmu-ilmu lain yang bukan sains tulen. Contohnya, psikologi dan sosiologi. Kesannya, ilmu-ilmu ini pun telah berkembang dengan semakin pesat dan fakta-faktanya semakin kukuh dan menyakinkan.
Fakta sains juga wujud melalui ilmu logik dan deduksi, terutamanya dalam ilmu fizik. Dalam hal ini, matematik memainkan peranan yang amat besar. Matematik dan fizik adalah ilmu yang digunakan untuk menerangkan tentang konsistensi, satu ciri yang ketara dalam alam fizikal yang sedang kita huni ini. Ilmu ini menerangkan konsep-konsep logik seperti satu tambah satu adalah dua, yang mana secara umumnya hal-hal seperti ini adalah yang tepat dalam setiap keadaan dan sangat dipersetujui akal.
Dalam alam fizikal ini, jika kita perhatikan betul-betul, semuanya adalah konsisten dan mengikut satu ukuran tertentu. Ukuran-ukuran ini dikenalpasti melalui eksperimen atau pemerhatian. Kemudian, lahirlah beberapa rumus-rumus matematik dan fizik yang menjelaskannya. Saintis barat menamakannya sebagai hukum-hukum fizik.
Hukum fizik memberi kita kefahaman bahawa setiap hal yang mengalami keadaan yang sama akan berakhir dengan kesan yang sama (konsistensi). Contohnya, hukum graviti menyatakan bola atau kertas yang dilepaskan dari tingkat tiga pasti akan jatuh ke bawah, tetapi yang berbeza ialah daya dan kelajuan jatuhan tersebut. Kelajuan dan daya jatuhan tersebut pula boleh dikenalpasti melalui pengiraan matematik dan fizik berdasarkan hukum fizik tersebut.
Kesimpulannya, sains adalah ilmu yang hebat. Cuma persoalannya di sini, adakah ia boleh memberi jawapan terhadap semua perkara?
Batasan-Batasan Sains
Pertama: Kajian sains hanya memberikan keputusan tepat terhadap perkara atau fenomena yang ada pada masa sekarang sahaja
Saya masih ingat satu analogi yang ringkas tetapi sangat tepat tentang sains ketika saya belajar Islamic Worldview beberapa tahun sudah. Pensyarah tersebut memberitahu "Science is like an old book in which its first pages dan last pages have been torned out" (Sains adalah ibarat buku lama yang mana mukasurat-mukasurat awalnya dan akhirnya telah dikoyak).
Sains hanya mampu menceritakan kebenaran yang ada pada masa sekarang (present times). Sains tidak mampu untuk menceritakan dengan 100% ketepatan apa yang telah berlaku pada masa lepas dan yang akan pada masa yang akan datang. Ini kerana perkara di masa lepas dan di masa akan datang tidak boleh dieksperimenkan.
Contohnya, adakah logik untuk kita berhipotesis tentang suatu peristiwa sejarah dan menguji hipotesis itu dengan eksperimen? Peristiwa sejarah tidak dapat dibuktikan oleh sains, tetapi dengan memerhatikan sendiri atau melalui dokumen-dokumen asli tentang kejadian tersebut. Sedangkan sains hanya boleh membuktikan adakah dokumen itu asli atau tidak melalui teknologi moden masa kini, bukannya peristiwa sejarah itu sendiri.
Fakta tentang peristiwa lepas atau masa depan hanya boleh dipastikan melalui pemerhatian, bukan eksperimen semata-mata. Tentang hal-hal seperti ini, eksperimen hanya boleh memberikan ramalan dan jangkaan, bukannya fakta.
Walaupun kadang-kadang sesetengah kejadian di masa lepas atau masa depan tersebut boleh dikenalpasti melalui pengiraan fizik atau kajian sains yang lain, tetapi selagi kita tidak menyaksikan dengan mata sendiri, ia bukanlah fakta, tetapi masih kekal sebagai teori.
Teori ialah hipotesis yang tidak dapat dibuktikan kesalahannya tetapi masih tidak dapat dibuktikan ia 100% benar.
Disebabkan tiada saksi manusia atau gambar di hari alam ini dicipta, teori Big Bang (teori bagaimana alam ini "terbentuk") masih kekal sebagai teori. Sungguhpun ada penjelasan melalui matematik dan fizik yang sangat meyakinkan tentang kebenaran teori ini (malah Al-Quran pun tidak menafikannya), tapi untuk teori ini menjadi fakta, perlu ada bukti-bukti seperti gambar atau video tentangnya.
Allah lebih Mengetahui. Bersambung ke bahagian seterusnya.