Archive for October, 2007


Beberapa Tips untuk Menjadikan Belajar Tidak Membosankan

Hilang mood belajar? Rasa jemu dan bosan untuk belajar? Belajar banyak-banyak tapi tak masuk?

Mungkin masalah-masalah seperti ini pernah kita alami, terutamanya bagi golongan mahasiswa. Kadang-kadang kita rasa termotivasi untuk belajar bersungguh-sungguh terutamanya setelah melihat kejayaan-kejayaan orang lain, tapi tidak lama kemudian semangat itu tiba-tiba luntur apabila datangnya perkara-perkara lain yang mengalihkan perhatian kita.

Oleh itu saya rasa ada baiknya jika kita cuba perhatikan beberapa tips yang mungkin berguna untuk  memotivasikan kita agar menjadikan aktiviti belajar itu sebagai sesuatu yang tidak membosankan, malah, menyeronokkan. Insya Allah.

1. Bina mindset "cinta ilmu"

Apabila seseorang itu melihat aktiviti belajar itu sebagai beban atau kewajiban semata-mata, dia boleh jadi jemu untuk belajar dan studinya juga tidak konsisten. Dengan berfikiran sebegini, walaupun dia telah menghabiskan banyak masa untuk belajar, disebabkan dia "belajar secara paksa", maka dia boleh mengalami stress dan kemurungan. Penyakit-penyakit lain seperti infeksi kuman dan peptic ulcer mungkin menyusul.

Jika anda mempunyai persepsi begini, beritahulah kepada diri anda: "Belajar itu seronok, bukankah seronok jika saya dapat tahu banyak perkara? Selain itu, jika saya belajar dengan ikhlas, saya akan mendapat ganjaran Allah, baik berupa nikmat dunia dan akhirat". Ini hanyalah satu contoh. Anda boleh buat ayat sendiri.

RIngkasnya, nasihatlah dan pujuk diri anda untuk menganggap belajar itu sebenarnya menarik dan menyeronokkan. Ini merupakan cara fikir yang diamalkan oleh ramai ilmuan terkemuka, hinggakan ada antara ulama yang  ketika sakit hendak meninggal dunia pun masih mahu dibacakan hadith ke telinganya!

Anda perlu memikirkan semua faedah-faedah yang akan anda dapati jika anda belajar, dan sematkan betul-betul ke dalam diri dan minda. Ini akan mencetuskan mood untuk belajar. Pendek kata, ramai orang tidak suka belajar kerana mereka tidak menghayati akan manfaat besar yang boleh didapati daripada belajar. Mereka tahu belajar itu banyak faedah, tapi tidak menghayatinya dan tidak mengharapkan faedah tersebut.

2. Berfikir seperti seorang penyiasat

Kenapa seseorang itu cepat bosan dalam belajar ialah kerana dia tidak melihat buku-buku rujukan atau sebarang bahan ilmiah sebagai hal yang menarik.

Mungkin ada orang akan mempersoalkan: "Apa? Maklumat dalam buku teks tu hal yang menarik??" Mereka berasa pelik, atau mungkin terasa lucu mendengar kenyataan tersebut.

Saya tidak nafikan memang bagi kebanyakan orang (kecuali mereka yang sangat cintakan ilmu), buku-buku teks yang sarat dengan maklumat itu bukan hal yang menyeronokkan untuk dibaca. Sebenarnya ini juga merupakan salah satu cabang masalah mindset seperti di atas.

Jadi di sinilah peranan "berfikir seperti penyiasat" boleh membantu.

Seorang penyiasat akan melihat setiap maklumat seperti kepingan-kepingan puzzle yang bersepah, menunggu untuk disatukan. Mereka juga akan bersikap kritikal terhadap yang diterima; kerana jika tersalah terima maklumat maka ini akan mencacatkan penyiasatan. Dalam erti kata lain, mereka bersikap proaktif dalam usaha mereka mengumpul maklumat. Mereka mencari, menganalisa dan memberi respon akan segala maklumat yang mereka perolehi.

Seperti itulah anda (sebagai seorang pelajar) harus berfikir. Apabila anda membuka buku teks, jangan terus baca dan serap seperti span menyerap air. Perbuatan begini akan menyebabkan anda menjadi bosan dalam masa yang singkat.

Sebaliknya anda perlu melihat bagaimana satu-satu maklumat itu boleh dikaitkan antara satu sama lain, susunan organisasi maklumat itu, kewujudan persoalan-persoalan berkaitan maklumat tersebut. Cuba fikirkan apakah ada hubung kait maklumat itu dengan tajuk seterusnya mahupun dengan subjek-subjek yang lain.

Apabila maklumat itu telah dikaitkan atau diintegrasikan antara satu dengan yang lain, selain memberikan kepuasan yang lebih dalam proses pembelajaran, keadaan ini memudahkan anda dalam proses mengingat. Ini kerana apabila anda teringat sesuatu maklumat, maka secara automatik anda akan turut teringat maklumat-maklumat lain yang ada bersangkut-paut dengannya. Ini menjadikan pengetahuan anda lebih luas, komprehensif dan mendalam.

Apabila sedang mengambil sesuatu maklumat, fikirkan soalan-soalan seperti "Why? What for?".  Jika sesuatu maklumat itu diketahui sebab dan tujuannya, maka ianya akan lebih kekal di dalam minda, dan lebih menarik untuk dipelajari. Ini kerana maklumat itu kini menjadi semakin signifikan bagi diri anda.

Dengan cara ini, lambat laun anda akan menyedari bahawa aktiviti belajar sebenarnya tidaklah bosan, malah menarik dan menyeronokkan. Insya Allah.

Berfikirlah secara kritikal. Jangan hanya hafal saja. Nanti cepat bosan.

3. Wujudkan sikap ingin ambil tahu (inquisitive attitude)

Saya teringat bagaimana seorang pensyarah (seorang pakar bedah) mengatakan kepada kami betapa pentingnya untuk mempunyai sikap ambil tahu yang tinggi.

Kata-katanya benar. Inilah sikap sebenar penuntut-penuntut ilmu yang berjaya. Lihatlah Imam Bukhari sebagai contoh. Beliau sanggup berkelana dari satu negeri ke negeri yang lain hanya untuk mencari hadith. Malah, walau hanya kerana satu hadith saja pun beliau sanggup berbuat demikian. Inilah sikapnya yang mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi, selain cintanya yang tinggi terhadap ilmu hadith. Semoga Allah merahmatinya.

Jika anda terasa tidak tahu akan sesuatu perkara, anda perlu ada rasa tidak senang hati. Sama ada anda pergi bertanya kepada guru atau pensyarah akan jawapannya, ataupun anda pergi menggeledah perpustakaan mencari jawapan yang anda inginkan, dan kedua-duanya termasuk perbuatan yang positif sebagai seorang penuntut ilmu. Anda sedang respon terhadap ketidaktahuan, lalu cuba mengatasinya dengan mencari jawapannya.

Jangan biarkan diri dalam ketidaktahuan. Binalah satu prinsip diri, bahawa ketidaktahuan itu adalah satu masalah yang berat dan tidak boleh dibiarkan berlanjutan.

Percayalah, tatkala anda bersusah-payah mencari jawapan yang anda inginkan, kemudian anda menemui jawapan tersebut, anda akan berasa puas dan gembira. Malah, disebabkan anda bersikap aktif (bukan pasif) untuk mencari jawapan tersebut, maklumat (jawapan) tersebut akan lebih kekal dalam minda anda. Insya Allah.

Sebagai seorang pelajar, anda harus sedar bahawa ilmu harus dicari dan dikumpul sebanyak mungkin. Tamakkan diri dalam mencari ilmu. Anda mesti berazam untuk menjadi KAYA dengan maklumat-maklumat berguna. Jika diandaikan otak anda sebagai seorang usahawan atau pelabur, maka sebarang maklumat adalah ibarat wang atau stok. Tanpa maklumat, otak anda tidak boleh memberi manfaat kepada diri anda.

Saya teringat satu kata-kata yang bagus, dan saya jadikan ia sebagai contoh dalam penulisan ini: Jika anda ingin cekap berbahasa Inggeris, kayakan diri dengan mengetahui sebanyak mungkin perkataan-perkataan (vocabulary) bahasa Inggeris. Sungguhpun anda fasih dan mahir dalam tatabahasa (grammar) bahasa Inggeris, jika anda tidak tahu perkataan-perkataan dalam bahasa Inggeris, maka kemahiran tatabahasa anda itu sia-sia sahaja.

4. Menulis jurnal akademik (diari) peribadi

Sebagai penuntut ilmu, dapatkan sebuah buku tulis untuk anda merekodkan jurnal peribadi tentang usaha akademik anda. Tuliskan apa-apa yang telah anda faham atau kuasai secara umum, dan tuliskan juga masalah-masalah seperti hal-hal yang tidak faham, kontradiksi sesama maklumat dan sebagainya. Dalam erti kata lain, jurnal akademik anda ini seolah-olah seperti buku log seorang penyiasat. Bezanya, jika seorang penyiasat itu mencatat status penyiasatan sesuatu kes, anda mencatat status penyiasatan ilmiah anda.

Tuliskan  juga apakah penghayatan yang anda peroleh dari maklumat tersebut (jika ada). Tuliskan juga perasaan syukur dan gembira anda kerana telah berjaya mempelajari sesuatu yang berguna. Nyatakan harapan anda terhadap hal yang baru anda pelajari tersebut. Nyatakan juga pada hari itu, sejauh manakah anda telah menguasai ilmu tersebut (status penguasaan ilmu, boleh ditulis dalam bentuk peratusan’ %’), dan apakah ada lagi kelemahan dan kekurangan yang perlu anda cuba atasi.

Tulislah apa saja yang anda rasa perlu berkaitan usaha anda dalam menguasai ilmu pengetahuan.

Diharapkan penulisan jurnal (atau diari) akademik peribadi ini akan membuatkan anda lebih serius dalam belajar. Apabila anda hilang semangat belajar, belek-beleklah jurnal tersebut, mungkin akan terlintas semangat baru setelah anda membaca kembali perasaan peribadi anda dan semangat anda yang lepas-lepas.

Takluklah dan penuhi minda anda dengan fokus dalam usaha menuntut ilmu, itulah sebenarnya apa yang cuba dicapai dengan melakukan penulisan jurnal sebegini.

Apabila menambah ilmu itu menjadi satu hal yang sangat-sangat kita inginkan, maka kita akan melihat aktiviti belajar itu sebagai satu rutin yang menarik untuk dilakukan.

Malah, sampai-sampai boleh jadi hobi pula. ^_^

Insya Allah!

Menilai Kembali Pendirian Saya Tentang Muzik

"Katakanlah, "Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik
yang tampak mahupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak
manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah
dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan
(mengharamkan) mengada-ngadakan terhadap Allah apa yang tidak kamu
ketahui"

(Al-A’raf : 33)

_____________________________________________________________

Dahulu, dalam satu penulisan, saya pernah menulis tentang isu kenapa saya berhenti bermain muzik.

Saya mengatakan saya membenci muzik dengan hebat, bahkan menyarankan
orang ramai agar menjauhkan diri daripadanya. Sebenarnya sebab saya
mengatakan demikian ialah kerana, ketika itu, jauh dalam hati saya,
saya masih merasakan bahawa hukum muzik itu haram. Hanya saja saya
mendiamkan lafaz "haram" itu untuk menjaga sensitiviti pembaca,
takut-takut kalau mereka penggemar muzik yang sejati.

Tapi kini saya ingin menarik balik kata-kata saya itu dan menukar pendirian saya.

Setelah mempelajari berbagai perbahasan tentang muzik daripada bahan
bacaan, kuliah ustaz-ustaz dan rujukan-rujukan lain, saya telah
mendapat satu penjelasan yang memuaskan tentang hukum muzik. Penjelasan
tersebut berdiri atas hujah-hujah yang kukuh berdasarkan dalil-dalil
yang sahih sehingga sukar untuk saya menafikan kebenaran hujah-hujah
tersebut.

Hingga akhirnya saya tidak sanggup untuk mengatakan ianya haram. Kini
kebolehan muzik itu begitu ketara. Tapi di sini bukanlah bermakna muzik
itu boleh secara mutlak. Sepertimana hal-hal duniawi yang lain,
kebolehan muzik itu ada batasnya.

Saya tidak mengeluarkan pendapat, tetapi menuruti pendapat, setelah
melihat dan memikirkan hujah-hujah dan dalil-dalil yang dipamerkan. Barulah saya bersetuju dengannya.

Antara bahan bacaan utama saya adalah sebuah buku bertajuk (edisi terjemahan) "Menempatkan Lagu dan Muzik Dalam Timbangan Quran dan Sunnah",
oleh seorang ulama yang tidak asing lagi iaitu Sheikh Dr. Yusuf
Qardhawi. Saya mencadangkan agar anda membacanya, agar isu muzik ini
bukan lagi suatu yang samar-samar (syubhat), bahkan akan menjadi begitu
terang mana yang halal dan mana yang haram.

Inilah antara tips untuk menghapuskan syubhat: tuntutlah ilmu. Bila
kurang syubhat, hidup akan makin selesa dan proses membuat keputusan
akan menjadi lebih mudah.

Tentang buku tersebut, di dalamnya Al-Qardhawi telah menjelaskan dengan
begitu jelas dan teliti tentang keharusan menikmati keindahan dalam
Islam, lemahnya dalil-dalil pengharaman muzik selain wujudnya
dalil-dalil yang membolehkan muzik pula, memasukkan kisah-kisah dan
riwayat-riwayat daripada sahabat dan tabiin yang menikmati nyanyian dan
muzik, memasukkan kata-kata dan pendapat-pendapat ulama-ulama terkenal
yang membolehkan muzik, dan seterusnya beliau turut menjelaskan
batasan-batasan dalam menikmati muzik.

Di dalam buku tersebut juga beliau memaparkan semua sudut pandangan,
baik yang mengharamkan muzik mahupun yang mengbolehkannya, kemudian
beliau membuat analisis yang tajam seraya menunjukkan bahawa terdapat
kelemahan dalam argumen dan hujah golongan yang mengharamkan muzik.

Pendek kata, hukum muzik itu adalah harus kerana tiada dalil kuat yang
mengharamkannya. Ini sesuai berdasarkan satu kaedah dalam ilmu usul
fiqh, iaitu "segala perkara (urusan duniawi) adalah harus melainkan ada
dalil kuat yang mengharamkannya". Ringkasnya, kerana tiada dalil
kuat/qat’i yang menunjukkan keharaman muzik, maka tidak bolehlah ia
dikatakan sebagai haram.

Malah, apabila sesuatu hal itu tidak didapati hukumnya maka ia
merupakan hal yang didiamkan yang kita tidak sepatutnya menyelidik
dengan lebih lanjut. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Apa yang Allah halalkan di dalam kitabNya maka hukumnya halal, apa
saja yang Dia haramkan maka hukumnya haram, sedangkan apa saja yang Dia
diamkan maka hukumnya dilonggarkan (dimaafkan), maka terimalah pemaafan
dari Allah, kerana Allah tidak akan melupakan sesuatupun" Kemudian
baginda membaca petikan ayat dari surah Maryam ayat 64.

(Al-Hakim dan Al-Bazzar, disahihkan oleh Al-Hakim, disetujui oleh Adz-Zhahabi)

Kemudian di sini akan timbul persoalan, mengapa kita tidak mengatakan
muzik itu haram saja sebagai langkah berjaga-jaga? Ini tidak boleh,
kerana setelah jelas bahawa tiada bukti yang menunjukkan muzik itu
haram, muzik justeru dihukumkan halal, sedangkan mengharamkan yang
halal adalah satu kesalahan yang mendatangkan dosa:

"Katakanlah, ‘Siapakah yang mengharamkan  perhiasan dari Allah yang
telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan (siapa pulakah yang
mengharamkan) rezeki yanbg baik?’ Katakanlah, "Semuanya itu disediakan
bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk
mereka saja) di hari kiamat. Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu
bagi orang-orang yang mengetahui"

(Al-A’raf : 32)

"Hai orang-orang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang yang
baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui
batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui
batas"

(Al-Maidah : 87)

Jadi, untuk berjaga-jaga, sepatutnya saya memilih pendapat yang lebih
kuat dan stabil, iaitu muzik itu halal daripada sewenang-wenangnya
menyangka ianya haram, sedangkan pengharamannya tiada bukti yang kukuh.
Ini sudah tentu adalah satu pilihan yang lebih selamat untuk saya.

Setelah menyetujui dengan jelas bahawa muzik itu dibolehkan, perlulah
kita tahu apakah batasan dalam menikmatinya. Sewajarnya muzik itu
dilihat sebagai satu sajian telinga yang memberi nikmat, sepertimana
mulut dan lidah suka kepada makanan yang lazat, mata suka kepada
pemandangan yang cantik-cantik dan badan suka kepada katil yang empuk.
Ini semua adalah nikmat dunia yang Allah sediakan untuk manusia,
sebagai rahmat atau hiburan untuk kita bagi mengisi fitrah jiwa manusia
yang perlukan rehat dan santai dalam usahanya menjadi khalifah di muka
bumi.

Sebab itu lebih baik jika kita cenderung untuk mendengar lagu-lagu
yang mengandungi nasihat-nasihat yang baik, ataupun lagu-lagu tanpa
suara nyanyian yang mengandungi hanya bunyi-bunyian (instrumental),
yang boleh memberikan ketenangan atau kenikmatan kepada telinga. Lagu
dan muzik seperti ini boleh dinikmati, cuma perlu tahu batasnya,
seperti aktiviti-aktiviti ini tidak melalaikan daripada waktu solat
fardhu atau tidak menyebabkan kita leka dan terlupa daripada melakukan
kerja-kerja yang lebih penting.

Muzik menjadi haram bilamana ianya dilibatkan dengan
aktiviti-aktiviti kemaksiatan seperti campur-gaul lelaki wanita, majlis
tari-menari, penayangan aurat, perangsangan syahwat, dan lain-lain
kemungkaran dan kemaksiatan. Muzik juga haram bila ia memalingkan
seseorang daripada melaksanakan kewajibannya kepada Allah.

Hanya bila muzik digunakan untuk tujuan beristirehat, melepaskan
stress atau lelah, dengan memilih lagu dan muzik yang betul, maka di
sinilah muzik itu diletakkan dalam posisi sebagai salah satu keindahan
dunia yang tidak salah untuk dinikmati. Dalam menikmati kesemua nikmat
dunia baik melalui mata, telinga, hidung, mulut dan tubuh badan, kita
dilarang daripada melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang melampaui batas.

Malangnya hari ini hiburan, terutamanya hiburan nyanyian dan muzik
yang penuh dengan kemaksiatan, menjadi suatu yang dikejar-kejar oleh
ramai orang Islam, malah seluruh masa mereka dihabiskan dengan hiburan
sebegini semata-mata. Malah untuk menjadi penyanyi dan artis telah
menjadi angan-angan bagi ramai kanak-kanak. Umat terus menjadi tidak
produktif sama ada dalam mengejar kejayaan dunia mahupun akhirat.

Semoga
kita menjauhkan diri kita daripada fitnah ini, yang semakin mencalarkan
kewibawaan kita sebagai umat yang terbaik di kalangan manusia.

Kesimpulan daripada penulisan ini, kini saya lebih cenderung dan yakin
kepada pendapat bahawa tidak apa-apa untuk berhibur dengan muzik,
asalkan kita tahu mana batasnya dan apa tujuannya. Janganlah melampaui
batas, berhiburlah sekadarnya, walau apa jua bentuk hiburan tersebut.

Wallahu a’lam.