Nasihat Untuk Adik-Adik Muslimah Yang Mahu ‘Free-Hair’
Saya mendapat tahu -dengan izin Allah- satu khabar berita yang menyedihkan hati. Terdapat beberapa orang muslimah yang dahulunya bertudung kini sudah lagi tidak bertudung (free hair). Malah lebih teruk lagi, mereka menjustifikasikan perbuatan "free hair" mereka itu dengan berdebat, berhujah dan mempertahankan tindakan mereka itu, seakan-akan mereka sedang meminda perintah Allah s.w.t. Ini satu hal yang sangat bahaya. Lihatlah apa yang disebut dalam Al-Quran tentang orang yang mengubah atau menyembunyikan sebarang ajaran yang terkandung dalam kitab-kitab suci (termasuk Al-Quran):
"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Al-Baqarah: 174)
Justeru saya langsung menulis tentang hal ini, dengan mengkhususkan perbincangan khusus buat adik-adik muslimah yang baru habis SPM. Ini kerana saya melihat masalah ini banyak melanda khususnya kepada lepasan baru SPM, iaitu mereka yang bertudung semasa di sekolah tetapi kini tidak bertudung lagi bila tamat sekolah.
Sebelum saya mulakan perbincangan, saya perlu menjelaskan tujuan saya menulis artikel ini.
Beginilah.
Saya hanya hendak menjalankan kewajiban seorang muslim, untuk memberi sedikit peringatan kepada kaum muslimah. Dalam Islam, memberi peringatan kepada orang lain bukanlah untuk menjaga tepi kain orang, bahkan tugas menyampaikan yang haq adalah satu kewajiban! Ini perintah Allah yang ada dalam Al-Quran. Jadi saya mahu menjalankan tanggungjawab ini agar saya boleh menjawab jika ditanya di hadapan Allah di akhirat nanti. Saya tahu saya bukanlah orang yang suci daripada dosa, malah tiada siapa yang ma’sum (suci daripada dosa) di dunia ini melainkan nabi-nabi, tetapi kita tetap wajib untuk mencuba sedaya upaya menjauhi dosa. Oleh itu, saya harap kita semua janganlah lihat siapa yang menyampaikan, tetapi lihatlah apa yang disampaikan.
Baik, inilah teguran saya. Teguran ini khusus untuk adik-adik free hair yang berdebat untuk tidak mahu memakai tudung:
"Adik-adik.. kenapa sampai tergamak memperlekehkan perintah Allah?"
Baik, mungkin saya tersilap. Adik-adik tidak sengaja untuk berdebat menentang hukum Allah kerana mungkin adik-adik tidak tahu tentang hukum memakai tudung.
Seorang yang percaya dengan kewujudan Allah dan segala kekuasaanNya akan patuh 100% kepada Al-Quran. Jadi sila ambil perhatian, dalam Al-Quran, Allah s.w.t telah sebut tentang wajibnya memakai tudung:
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup atas dadanya dengan tudung kepala mereka…." (Surah An-Nur: 31)
Dalam menafsirkan ayat Al-Quran, kita tidak boleh menafsir dengan akal kita yang cetek. Kita perlu berpandukan rujukan-rujukan yang paling kuat dan muktabar. Dan tiada siapa yang dapat nafikan penafsir-penafsir Quran yang terbaik terdiri daripada Rasulullah s.a.w sendiri, kemudian golongan sahabat Rasulullah s.a.w. Sahabat-sahabat nabi adalah golongan yang sangat kuat imannya dan bagus keislamannya, sehingga sanggup menggadai nyawa mereka demi memperkembangkan dan mempertahankan agama Islam. Para sahabat lebih tahu apakah tindakan Nabi s.a.w tentang ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan, justeru mereka adalah sumber rujukan tentang tafsiran Al-Quran.
Baik, tentang isu tudung, sahabat Ibnu Abbas telah menyatakan apa yang boleh dilihat ialah hanya muka dan tapak tangan. Malah, saya tidak perlu menyatakan betapa banyaknya bukti-bukti daripada hadith-hadith dan kata-kata sahabat, termasuk sahabat-sahabat wanita sendiri, yang mewajibkan wanita memakai tudung. Saya tidak berminat untuk terlalu teknikal dalam hal ini, dan mungkin saya tidak faqih untuk membincangkannya, tapi saya sudah membacanya. Anda boleh buka sendiri kitab-kitab fikah, contohnya kitab Fatwa Mua’sarah (Fatwa Nasa Kini) oleh Dr. Yusuf Qardhawi.
Saya ingin kita semua faham bila disebut wajib, bermakna meninggalkannya berdosa. Kita berdosa bila meninggalkan solat fardhu kerana ianya wajib. Meninggalkan yang wajib sahaja sudah berdosa, apatah lagi jika kita mempersoalkan kewajiban tersebut?
Dalam erti kata lain, tidak mahu memakai tudung sahaja sudah berdosa, apatah lagi sampai ke tahap mempersoalkan kewajiban memakai tudung? Ini jelas satu perbuatan yang melampaui batas.
"Tak pakai tudung pun tak apa asalkan hati bersih"
Satu kenyataan yang pelik.
Kita semua perlu faham, tidak semua perkara dalam syariat boleh ditanya "kenapa". Kita tidak boleh menjustifikasikan bahawa "pakai tudung supaya hati jadi bersih, jadi jika hati sudah bersih, tidak perlulah memakai tudung". Ini salah!
Kenapa solat fardhu 5 waktu sehari? Kenapa wudhu tidak perlu membasuh betis? Kenapa kentut membatalkan wudhu? Ini semua persoalan "kenapa" dalam syariat, yang manusia tidak diberitahu oleh Allah akan jawapannya, tapi Allah memerintahkan kita untuk taat kepada perintahNya tanpa soal. Contohilah kata-kata orang soleh ketika mendengar perintah Allah: "sami’na wa ato’na" (kami dengar dan kami taat).
Justeru jika ada orang menyatakan "saya mempunyai hati yang bersih walaupun tidak bertudung", sedarilah bahawa kenyataan itu tidak membawa apa-apa makna pun, sebab tidak ada satu pun dalil daripada Quran atau Hadith yang menyebut bahawa hati yang bersih boleh membatalkan kefardhuan memakai tudung. Tudung ialah tudung, hati ialah hati. Islam menyuruh wanita untuk memakai tudung, dan turut mempunyai hati yang bersih, bukannya memilih salah satu. Islam menyuruh umat Islam mengamalkan Islam secara keseluruhannya, bukannya mengamalkan satu aspek dan meninggalkan aspek yang lain. Perhatikan firman Allah s.w.t:
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhannya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata." (Al-Baqarah: 208)
Minda kita juga turut menyatakan, ‘tudung’ dan ‘hati yang bersih’ adalah dua entiti yang berbeza. Memakai tudung adalah hal fizikal, sedangkan hati yang bersih pula adalah hal spiritual. Jadi memang langsung tidak rasional langsung seseorang boleh beralasan dengan akalnya bahawa "tak apa jika tak pakai tudung asalkan hati bersih". Adakah wajar perintah Allah, yang Maha Agung dan Maha Bijaksana, dibatalkan dengan akal kita? Bukankah kita hanya hambaNya?
Kalaulah ada seseorang yang sanggup hendak melakukan dosa dengan meninggalkan yang wajib, janganlah pula sampai keluar berhujah untuk menentang kewajiban itu, lebih parah lagi jika ia dilakukan dengan menggunakan akal sendiri. Diam-diam sahaja sudahlah, tak perlu hendak menggandakan dosa besar (meninggalkan kewajiban) menjadi lebih besar lagi (menentang kewajiban).
"Sorry, tak boleh nak pakai tudung sebab belum dapat hidayah"
Jika ungkapan ini diucapkan oleh seorang wanita yang dahulunya bertudung tetapi kini tidak lagi bertudung, ketahuilah dia sedang menipu. Hidayah telahpun sampai kepadanya tetapi dia yang memilih untuk berpaling daripada kebenaran. Dia pernah bertudung dan dia tahu hukum bertudung, tapi dia sengaja berpaling daripada hidayah yang dia telahpun perolehi. Ketahuilah, Allah memberikan kita hidayah baik dan buruk, dan terserah kepada kita untuk memilih:
"Serta mengilhamkannya (manusia) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan jalan yang membawanya kepada ketaqwaan" (As-Syams:
Kemudian perhatikan apakah sambungan firman Allah dalam ayat di atas, yang jelas menunjukkan bahawa orang yang memilih ketaatan akan berjaya, dan yang memilih kemungkaran akan hampa di kemudian hari:
"Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)." (As-Syams, 8-9)
Selesailah jawapan untuk mereka yang dahulunya bertudung tetapi kini free hair dengan alasan belum dapat hidayah. Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah memberi hidayah baik dan buruk, salah kita sendiri jika memilih kejahatan, dan kita akan dipertanggungjawabkan atas dosa-dosa kita di akhirat kelak. Semoga kita selalu bertaubat agar Allah ampuni dosa-dosa kita.
Baik, bagaimana pula yang wanita muslimah yang memang tidak pernah pakai tudung tetapi memberi alasan, "saya tidak pakai tudung kerana masih belum dapat hidayah"?
Dalam hal ini, kita sedang melihat sikap segelintir manusia yang menisbatkan kesalahan atau dosa yang dilakukannya atas kehendak Allah. Dalam erti kata lain, mereka mengatakan "disebabkan Allah tidak berkehendak memberi hidayah kepada diri mereka, maka mereka pun melakukan dosa". Contohnya, disebabkan Allah tidak berkehendak memberi hidayah tentang memakai tudung kepadanya, maka dia pun tidak memakai tudung. Ungkapan seperti ini jelas salah kerana orang yang sudah tahu hukum sesuatu perkara bermakna sudahpun mendapat hidayah, cuma terserah kepada dia untuk mengamalkannya ataupun tidak.
Tentang ungkapan orang seperti ini, maaf saya katakan, ini mirip hujah iktikad kaum yang sesat, iaitu iktikad kaum Jabariah. Jabariah mengatakan semua perbuatan kita, baik dosa dan pahala, semuanya atas kehendak Allah. Manusia tidak boleh menentukan hala tuju hidupnya, semua ditentukan oleh Allah secara mutlak, manusia tidak mempunyai pilihan.
Inilah satu fahaman yang menyeleweng. Berkenaan hal ini, saya ingin kongsi satu cerita yang pernah berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab. Seorang pencuri telah ditangkap dan dihadapkan ke hadapan Khalifah Umar. Umar bertanya: "kenapa kau mencuri?". Orang itu menjawab: "Sebab ini adalah takdir Allah ke atas saya." Umar berasa marah, lantas mengenakan hukuman yang begitu berat untuk pencuri ini. Apabila beliau ditanya oleh pencuri itu kenapa hukumannya begitu berat, Umar berkata: "Kerana kau berdusta atas nama Allah."
Mari berfikir secara rasional. Kalau seorang wanita muslimah sudah tahu bahawa hukum pakai tudung itu wajib, maka itulah hidayah! Masalahnya ialah wanita tersebut yang menolak hidayah tersebut dengan tidak mahu mengamalkannya, malah ada yang sampai untuk menentang kewajiban memakai tudung. Dia sedang berdusta, dia menafikan hidayah itu, yang telahpun hadir dalam mindanya.
Jelaslah di sini, Allah tidak akan menzalimi hambaNya dengan sengaja menyesatkan hambaNya, bahkan kesesatan yang ditimpakan ke atas seorang hamba itu adalah atas hasil pilihan dan usaha sendiri. Kemudian, kepada Allah kita dikembalikan dan kita akan diminta bertanggungjawab atas segala hal yang kita telah lakukan di dunia ini.
Jangan Ambil Hati Ya..
Jika ada nada saya yang nampak keras, saya harap para pembaca tidak marahkan saya. Saya bukannya beremosi, tapi saya hanya mahu menulis dengan tegas dan serius, sebab masalah yang sedang berlaku ini pun masalah serius. Sedangkan Rasulullah s.a.w sendiri, walau betapa bersopan-santun dan pemaaf, menjadi marah kerana terdapat beberapa orang yang tidak datang solat berjemaah di masjid. Dalam soal agama, terutamanya hal-hal fardhu, perlulah diambil berat dan serius.
Harapan Saya Untuk Kita Semua
Saya mendoakan kita semua patuh dan bersemangat untuk mendirikan hukum Allah tanpa banyak soal. Tiada siapa tahu bila dia akan mati. Bayangkan jika mati dalam keadaan melakukan kemungkaran terhadap Allah, nau’zubillah… Alangkah takutnya. Sesungguhnya seksa kubur itu benar, dan seksa neraka itu benar. Rugilah orang-orang yang tidak percaya dengan seksa kubur dan seksa neraka, kelak bila sudah mati nanti menyesal tak sudah, kerana pada masa itu tiada lagi peluang kedua.
So, grab the chances while we still can!
Inilah Dia Muslimah Sejati!
Saya kagum dengan muslimah-muslimah yang teguh memakai tudung, walaupun betapa terik dan bahangnya cuaca di siang hati. Mereka lakukan ini hanya kerana mereka takutkan azab Allah di samping mencari redhaNya. Wanita muslimah yang menutup aurat sedar api neraka jauh lebih panas daripada panasnya ketika bertudung. Wanita muslimah tahu rambut terdedah yang sebagaimana cantik pun akan menjadi sangat hodoh tatkala disambar api neraka.
Saya teringat lirik lagu satu kumpulan hiphop Muslim di US bernama "Native Deen" yang menyebut betapa sebenarnya wanita kafir cemburu melihat keunggulan semangat, peribadi dan maruah wanita muslim. Wanita muslim tidak murahan seperti mereka; di mana budaya seks bebas dan bentuk tubuh badan kaum mereka seakan menjadi milik semua orang. Wanita muslim itu bertudung litup, perhiasan mereka hanya untuk suami mereka, dan ini menjamin kebahagiaan rumah tangga. Wanita muslim berakhlak sopan dan menjauhi hal-hal hedonisme.
Kononnya dengan membuka aurat dikatakan memperjuangkan hak wanita. Lalu mereka mengadakan pertandingan ratu cantik, merekacipta baju-baju yang terdedah, semua ini istimewa untuk wanita. Kaum lelaki mereka hanya setuju sahaja, maklumlah eksploitasi begini pasti dapat memenuhi nafsu syahwat mereka.
Tapi lambat laun golongan pejuang feminist ini pasti sedar bahawa tindakan mereka hanya menggalakkan gejala rogol, seks luar nikah, keganasan seksual, pornografi dan memurahkan harga diri wanita. Kemudian dalam diam golongan ini terpegun melihat betapa Islam melindungi wanita: Islam menjaga maruah wanita dan sekaligus melindungi mereka daripada gangguan. Renungilah firman Allah:
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Ahzab: 59)
Dalam Islam, wanita diakui sebagai perhiasan yang indah di dunia. Wanita bertindak sebagai pendamai permusuhan dan penyemai kasih sayang. Seorang wanita boleh menyejukkan hati suami yang sedang marah dan mendatangkan ketenangan kepada anak-anak yang ketakutan. Wanita, sebagai perhiasan yang sangat berharga, perlulah dilindungi daripada dinodai atau dicemari, sepertimana berlian yang cantik harus disimpan baik-baik dalam peti besi yang kebal bukannya dibiarkan terdedah.
Kekuatan wanita muslim begitu terserlah melalui penutupan aurat yang baik, melalui budi pekerti yang sopan dan melalui pergaulan yang terjaga.
Wahai Muslimah sejati, saya tabik kepada anda! Percayalah, saya sangat kagum dengan semangat yang anda miliki. Semoga anda istiqamah, dan saya mendoakan Allah akan mengganjari anda syurga, tempat untuk anda bahagia selama-lamanya. Amin!
March 25th, 2007 at 6:38 pm
good article to ponder…
thank you…
March 29th, 2007 at 7:27 pm
artikel ni mmg bagus..
. . . . tapi…
mcm yg Prof. Pakeer selalu ckap..
contohla, dia selalu leter pasal orang yg ponteng/ dtg lambat kelas..
“kita selalu “tegur” pada orang yg bukan sepatutnya ditegur..”
.. dalam konteks ni,
rasanya yg baca artikel ni kebanyakkannya yg “x perlu” dinasihatkan sngat…
bukan la nk kata x perlu dinasihatkan..
mcm Prof Pakeer kata.. target group kita lain.. tapi orang lain pulak yg lagi banyak baca..
kekadang baru baca satu perenggan dah xnak baca.. mcm dah boleh agak…
hmm… . .
nk buat camne la agaknya..
.. . cabaran.. cabaran…
March 29th, 2007 at 8:31 pm
heheh…. mmgla bukan semua yg baca ni dari yg target group… anyway, think positive la bro:
1) Org yg membaca artikel ni, jika dia bukan target group, bolehlah sebarkan kpd yg berkenaan (target group)
2) Ini teguran kpd target group, dan peringatan kpd yg tidak buat (supaya berjaga-jaga)..
Think about it.. kenapa ada dlm Quran disebut ttg teguran/warning kpd org2 zalim, org2 kaki maksiat ttg azab neraka, sedangkan majoriti kelompok yg baca dan study Quran tu org2 yg taat kpd Allah??
Sesungguhnya kita perlu beri peringatan kpd semua org Islam baik yg bersalah mahupun tidak. Mudah-mudahan yg tersalah akan sedar, dan yg belum buat dosa tersebut takkan cuba nak melakukannya, malah mahu menyebarkan mesej tu pula.. insha Allah..
March 29th, 2007 at 9:19 pm
oh ya, lupa plak nak ckp.. actually artikel ni pun ditulis adalah sbg respons terhadap beberapa remaja muslimah (yg baru habis SPM) yg sanggup mempertahankan sikap “tidak mahu bertudung” sbg bukan satu kesalahan..
Jadi artikel ni sebenarnya lebih khusus ditulis utk counter hujah kelompok ini sebenarnya.. dan sekarang telah ada sikit usaha utk ajak kelompok tersebut utk baca artikel ini.. insha Allah..
April 8th, 2007 at 6:28 pm
menarik..
is it ok if sy amik dis article and publish kat UM??
kne mintak izin penulis nya dahulu.. =)
April 15th, 2007 at 7:36 am
Salam..
Very detail, sapa yang baca nie, kalau tak jelas lagi, saja-saja la cari penyakit. Na’udzubillah…
Fasal tudung wajib nie, ana rasa takkan sudah kalau sokongan dan contoh dari atas sendiri tak bagitau kat masyarakat bahawasanya tudung tue wajib. Sampaikan ada yang sanggup kata Allah tgk hati, bukan tgk kita pakai tudung ke tak. Abis nak kata apa lagi, kita yang bawah2 nie cakap, macam jirus air kat daun keladi jela. Cabaran-cabaran….
Hidayah tak dapat tue, mengarut sgt. Harini bukan macam tahun 80-an dulu. Dulu yerla tak ramai sgt pakai tudung. Harini, kuar rumah jer dah nampak org pakai tudung. Tak pernah tanya ker dalam diri, kenapa org2 nie pakai tudung? Tak panas ker, tak rimas ker? Naper yer diorng tetap pakai tudung? Hmm…bukan soal hidayah sebenarnya, soal nak dan taknak ja…
Anyway, tahniah utk anta:) Moga Allah memberkati usaha kita dan moga hidayahNya, sentiasa memandu kehidupan kita…Amennn…
April 23rd, 2007 at 6:08 am
hehe.. jazakallah atas komen antum semua.. hanya Allah jua sumber segala ilham dan hidayah.. sorrylah lambat reply komen2 nih sbb bz sket lately..
kpd DD, kalau nak copy tu, silakan saje.. dan kalau ada ape2 yg silap, silalah beritahu ye..
May 18th, 2007 at 12:39 am
wah bagussssssss muslimah yessssssssssssssss
May 25th, 2007 at 7:40 am
huh?
June 8th, 2007 at 10:03 am
aie..minta kebenaran ana copy artikel ni yek utk disebarkan..jzkk
June 8th, 2007 at 8:22 pm
silakan ya akhi.. sekiranya ada yg x betul atau keterlaluan, silakan je utk edit..
June 26th, 2007 at 2:53 am
السلام عليكم ورحمة الله
Persoalan (lagi)..
Nak tanya, apakah hukum, seorang pmpuan letak gambar dia masa kecik2, contoh, dkat page friendster.. ataupun letak dkat album untuk orang lain tngok?
- di mana waktu dia kecik2 tu dia x pakai tudung?
Boleh ke camtu?
Ataupun x kisah sbb masa tu budak lagi?
September 13th, 2009 at 9:20 am
alhamdulillah! akhirnya saya dapat juga mencari article yang amat jelas dgn katakata dan contoh.
Boleh saya qoute article ini dan credit kan article awak di blog saya? kerana, saya amat setuju bahwa wanita zaman skg, asyik berkata, its up to individu. dan segolongan ibubapa juga turut berkata ‘ oh tu terpulang pada diri masingmasing’ but the fact is its wajib! maybe..ada yang membaca quran tetapi tidak membaca tafsir nya maka mereka setakat mengaji tapi tidak mengkaji. 

akhir kata, artikel yang amat bagus, alhamdulillah dan saya kagum dgn posts anda.
October 6th, 2009 at 6:43 am
Terima kasih.
Yep, sila2kan quotelah apa yg patut