Ketenangan, kesejahteraan dan motivasi melalui Iman dan Islam
Islam adalah agama yang hanya diredhai oleh Allah s.w.t di muka bumi ini. Islam adalah agama yang dibawa oleh semua nabi yang diturunkan, cuma pensyariatannya berbeza-beza atas kehendak Allah, hikmahnya mungkin kerana berbezanya keadaan zaman tersebut. Islam yang kita kenali hari ini adalah Islam yang universal yang dibawa oleh Nabi terakhir iaitu Rasulullah s.a.w.
Islam Yang Ideal: Kesederhanaan
Tidak dapat dinafikan lagi betapa bermanfaatnya agama ini kepada mereka yang betul-betul mengikutnya. Dengan memahami segala asas dan konsep-konsepnya dengan tepat, seseorang akan merasa bahagia dan selamat selagimana dia teguh berpegang kepada agama ini. Islam bukanlah agama ekstrim yang mahu menyeksa penganutnya, dan tidaklah pula pada ekstrim yang membolehkan segala-galanya. Islam terletak di tengah-tengah dan mewartakan kesederhanaan sebagai pendekatan yang dibawanya. Dalam hal-hal yang mana mengandungi dua ekstrim, Islam akan mengambil jalan yang di tengah-tengah. Ini kerana pada satu-satu ekstrim akan terdapat yang baik dan buruk, jadi jika diambil sikap pertengahan antara dua ekstrim maka yang baik-baik daripada kedua-dua ekstrim akan dapat dicapai.
Contohnya, antara ekstrim kelonggaran agama dan kesempitan beragama, Islam berada di tengah-tengah. Islam tidak membenarkan umatnya menjadi rahib atau sami sehingga menafikan fitrah nafsu manusia untuk menikmati kehidupan dunia, dan Islam tidak pula membenarkan fitrah nafsu didewa-dewakan sepertimana yang berlaku dalam masyarakat barat, di mana keseronokan keduniaan menjadi agenda utama setiap hari. Islam membenarkan dan menggalakkan manusia menikmati kehidupan dunia tetapi dalam skop batasan tertentu sepertimana yang dinyatakan dalam Al-Quran dan hadith-hadith sahih.
Mudah Sekali Untuk Mendapat Pahala, kan?
Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w pernah menjelaskan bahawa syahwat jika dibimbing ke jalan yang betul akan beroleh pahala. Maknanya, seorang yang menggunakan syahwat ke arah zina akan mendapat dosa, sedangkan jika dia menggunakan syahwatnya kepada isterinya akan mendapat pahala. (pesanan penulis: siapa yang tahu, minta tolong takhrij hadith ini sebab saya terlupa, terima kasih..)
Dalam satu hadith sahih Bukhari-Muslim, telah disebut bahawa dosa hanya dikira jika ada perbuatan dan niat, dan hanya dikira sebagai satu dosa. Sedangkan berniat untuk buat dosa dan menjauhinya akan diberi satu ganjaran. Berniat untuk berbuat baik tetapi tidak dilakukan akan beroleh satu ganjaran juga. Sedang berniat untuk berbuat baik dan kemudian melakukannya, akan mendapat ganjaran yang berkali-kali ganda. Lihatlah, Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih begitu mudah untuk memberi ganjaran. Kasih SayangNya mendahului KemurkaanNya.
Begitulah konsep timbal balik yang difahami dalam Islam, setiap yang haram pasti ada lawannya yang halal, dan jika melakukan yang halal itu sebagai usaha untuk mengelakkan yang haram, maka ini akan membawa kepada pahala jika niat hatinya melakukan yang halal itu untuk mengelakkan yang haram. Contohnya, katakan ada seseorang yang secara tak sengaja berada dalam majlis mengumpat bersama rakan-rakan, lalu dia mengambil keputusan untuk keluar seorang diri berjalan-jalan mengambil angin, pergi membeli-belah, membaca buku dan lain-lain perbuatan yang halal demi untuk menghindari majlis mengumpat tersebut, maka ini merupakan satu kebaikan. Apatah lagi jika seseorang itu beralih daripada yang haram kepada melakukan amal yang memang baik atau sunnah pula, tentu sekali pahalanya berlipat ganda, contohnya, kerana takutkan zina seseorang lari ke masjid dan membaca Al-Quran. Demikianlah mudahnya Islam dan betapa PemurahNya Allah dalam memberi ganjaran kepada hamba-hambaNya, bukan sahaja amal yang baik itu diberi ganjaran, tetapi mengelakkan amal yang buruk pun akan diberi ganjaran.
Saya tidak bermaksud untuk kita hanya mengelakkan amal yang buruk sahaja dan cukup berpuas hati dengan itu. Kita harus ‘tamak’ untuk berbuat baik, ikhlas kerana Allah, dalam semua keadaan. Bolotlah amal kebaikan selagi masa hidup masih ada. Kepuasan yang diperoleh daripada melakukan amal soleh ini, jika betul pada niatnya, adalah amat menakjubkan!
Kebahagiaan Bagi Orang Yang Berusaha Bersungguh-Sungguh
Seorang muslim yang berpegang teguh kepada agama percaya kepada kekuasaan Allah dan memahami betul-betul nama-nama Allah. Allah s.w.t adalah Maha Sempurna dari segala-galanya, tiada langsung kecacatan dan keburukan. Maha Suci Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, dan sifat Allah yang inilah yang menyebabkan kita menagih harapan kepada Allah. Sepertimana halnya seorang anak kecil jika ingin berbuat sesuatu perlulah mengharapkan ibunya yang kita kenali dengan sifat penyayangnya, inikan pula kita sebagai hamba Allah, hamba kepada Tuhan Yang MAHA PENGASIH Dan MAHA PENYAYANG!
Mengharapkan sesuatu rahmat berlaku ke atas kita bukanlah hanya dengan duduk-duduk sahaja. Untuk mendapatkan sesuatu memerlukan usaha yang sewajarnya, lebih gigih lebih bagus. Logik akal menyatakan, sepertimana yang termaktub dalam hukum kehidupan ciptaan Allah, bahawa bagi mencapai kesan perlulah ada sebabnya. Kita diberi kebebasan untuk melakukan apa yang kita suka , oleh itu berusahalah melakukan sesuatu yang mendatangkan manfaat agar tidak menyesal di akhirat kelak.
Kita tidak boleh mengharapkan perut akan kenyang begitu sahaja tanpa berusaha mencari makanan. Jika mahukan hal ini berlaku, maka ia adalah satu mukjizat sedangkan kita tidak layak untuk mengharapkan mukjizat berlaku. Sedangkan Rasulullah s.a.w yang layak diberi mukjizat pun turut sama menggali parit dalam perang Khandaq, mencari makanan sendiri, melakukan kerja rumah dan lain-lain. Kita sedar batasan kita maka kita perlu keluar membeli makanan ataupun memasak, dan dalam kebanyakkan masa, Allah mengabulkan juga hasrat kita tersebut walaupun kita terlupa berdoa dan berharap kepada Allah. Ini menunjukkan Allah yang Maha Pemurah begitu mudah memberikan rezeki kepada mereka yang berusaha mencarinya.
Rezeki perlu dicari dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh (ini pun satu amal kebaikan), dan sambil itu kita berdoa dan bertawakkal kepada Allah dan meletakkan sangkaan yang baik kepadaNya. Dengan kehendak Allah, kita akan mendapat hasil daripada apa yang diusahakan. Sama ada hasil tersebut akan beroleh terus di dunia, atau di akhirat atau kedua-duanya, Allah pasti akan memberinya kerana Allah tidak akan berlaku zalim terhadap hamba-hambaNya. Oleh itu, tidak layak bagi seorang yang sudah berusaha semampunya, dengan niat yang ikhlas, diiringi berdoa dan bertawakkal kepada Allah untuk merungut jika tidak berjaya. Sesungguhnya bagi setiap usaha itu pasti ada balasannya di sisi Allah yang Maha Adil.
Di sebalik kegagalan tentu ada hikmahnya. Mungkin usaha kita tidak cukup, usaha kita tidak betul pada tempatnya, ataupun kita mempunyai dosa-dosa yang kita belum bertaubat daripada melakukannya. Kadang-kadang di sebalik kegagalan itu ada rahmat yang tersembunyi yang hanya disedari di kemudian hari. Allah s.w.t lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
Kadang-kadang kita terlihat ada juga manusia yang begitu gigih berusaha siang dan malam, taat kepada Allah dan beramal soleh, tetapi tidak beroleh hasil yang baik. Kadang-kadang kita melihat -dengan pandangan zahir- seorang kaki maksiat yang malas tetapi mendapat rezeki yang melimpah ruah. Adakah Allah tidak adil? Tidak! Maha Suci Allah dari sifat sedemikian, Dia adalah Allah yang Maha Adil dan kita wajib meyakini hal tersebut. Sebenarnya apa yang berlaku merupakan ujian Allah kepada hamba-hambaNya, di mana apa yang diusahakan tidak sejajar dengan apa yang diperolehi: orang malas mendapat hasil yang baik, sedang yang rajin mendapat hasil yang kurang baik. Sesungguhnya dalam setiap ujian ada balasan yang berganda, tapi hal ini adalah hal ghaib dan hanya diketahui oleh Allah dan ditentukanNya sesuai dengan KeadilanNya. Setiap nikmat adalah ujian dan setiap kegagalan pun adalah ujian, dan Allah akan mengadili kita sesuai dengan bagaimana cara kita menghadapi ujian tersebut.
Namun, ujian nikmat lebih payah berbanding ujian kegagalan sebenarnya kerana ujian nikmat ini begitu halus dan samar, sehingga syaitan mudah memperdayai kita agar menyalahguna nikmat tersebut. Lihatlah betapa ramainya orang yang salah guna nikmat harta untuk maksiat, nikmat mata untuk melihat benda haram, nikmat mulut untuk mengumpat dan menghina orang lain dan berbagai-bagai lagi. Oleh itu, selalulah minta pertolongan kepada Allah sentiasa, agar segala ujian yang kita hadapi di dunia ini dapat dilalui dengan cemerlang.
Tidak Putus Asa
Seorang mukmin sejati, yang mempunyai niat yang ikhlas, melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangannya, tidak akan menyesal jika sudah berusaha gigih tetapi gagal juga. Malah dia berasa bahagia kerana Allah pasti tidak akan membiarkan penderitaan dan jerih payahnya sia-sia. Pasti akan ada kebaikan yang berlaku, baik semasa dia masih hidup di dunia ataupun di akhirat kelak. Inilah hebatnya kecekalan hati seorang muslim bila mana dia yakin dengan Allah. Dia tidak akan berputus asa berusaha kerana dia yakin dengan janji Allah bahawa bagi setiap kesukaran itu pasti ada kemudahan:
"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (Surah Al-Inshirah: 5-6)
Inilah falsafah motivasi yang diajar Islam yang tidak terdapat dalam agama-agama lain, iaitu konsep tidak putus asa dengan ketentuan takdir, malah dia akan sabar, redha dan akan usaha lagi! Semua usaha yang betul dan bersungguh-sungguh, dengan niat yang betul kerana Allah dan dengan kaedah yang halal di sisi Islam, atau segala kesukaran yang dihadapi dengan redha dan tabah, pasti ada ganjarannya di sisi Allah, cuma yang menjadi persoalan ialah ‘bila’?
Demikianlah bagaimana diri seorang muslim menjadi begitu kuat dan bagus, semuanya ada dalam Islam, agama yang diredhai Allah.