Jaga Mulut
Saya mengajak diri saya dan anda untuk bersungguh-sungguh menjaga mulut. Maksud menjaga mulut di sini bukanlah bererti rajin menggosok gigi (gosok gigi pun penting juga) ataupun mengenakan gincu bibir, tapi penjagaan mulut daripada salah satu fungsinya, iaitu untuk berkata-kata. -buat pengetahuan anda, satu lagi fungsi mulut ialah untuk makan
Tidak patut untuk seorang muslim mengambil ringan tentang apa-apa yang diperkatakannya. Kata-kata yang baik adalah sepatutnya menjadi kelaziman seorang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Rasullullah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkatalah yang baik ataupun diam" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Demikianlah begitu seriusnya Islam mengajar penganutnya, bukan sahaja kata-kata yang buruk itu dilarangkan, bahkan lebih baik kita diam sahaja, jika tiada hal yang baik-baik untuk kita ucapkan.
Dalam perbincangan ini saya ingin mengajak para pembaca untuk sama-sama merenungkan tentang beberapa masalah tentang "mulut", yang berlaku dalam masyarakat kita ini.
Jangan Mengumpat
Mengumpat ataupun ghibah dalam bahasa arab, adalah haram hukumnya. Imam Dzahabi memasukkan mengumpat sebagai salah satu dosa besar dalam kitabnya, Al-Kabair (Dosa-Dosa Besar). Ini berlandaskan banyak dalil-dalil, antaranya:
" ..janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya…" (Al-Hujuraat: 12)
Zahir daripada ayat di atas, bahawa Allah s.w.t telah meletakkan perumpamaan bahawa jijiknya perbuatan mengumpat itu adalah ibarat memakan daging saudara kita yang telah mati. Demikianlah betapa bahayanya dosa mengumpat.
Namun hari ini, fenomena mengumpat kelihatan seakan hal biasa. Di sana sini kita biasa mendengar orang sibuk menceritakan perihal orang lain. Malah, ada orang yang begitu mengambil mudah perbuatan mengumpat, dan mengatakan bahawa menceritakan kisah buruk orang itu tidak salah, kerana apa yang dia katakan adalah kebenaran bukannya cerita bohong.
Pelik! Inilah namanya mengumpat!
Mengumpat adalah menceritakan keburukan orang lain, ataupun menurut pendapat yang lebih berhati-hati, mengumpat ialah cerita tentang seseorang yang orang tersebut tidak mahu diketahui orang. Dalam erti kata lain, dengan mengumpat keaiban seseorang akan terbongkar. Adakah kita rela keaiban kita terbongkar? Demikian juga fikirkanlah apakah perasaan orang yang sedang diumpat itu, betapa malangnya nasibnya habis keaibannya diketahui ramai.
Namun, kadang-kadang keaiban perlu diceritakan demi untuk maslahah. Contohnya dalam perbicaraan mahkamah, keaiban seorang pesalah seperti perbuatan berzina, minum arak dan sebagainya perlu diceritakan kepada hakim supaya hakim boleh mengadili kes tersebut dengan baik.
Jika ingin menceritakan keburukan seseorang sebagai pengajaran adalah boleh, tetapi nama orang tersebut tidak boleh disebut. Rasulullah s.a.w pernah menyebut keburukan seorang munafik yang bernama Abdullah bin Ubay bin Salul tanpa menyebutkan nama orang munafik tersebut, sehingga sahabat berhampiran bertanya kepada Rasullullah: "Siapa dia, wahai Rasullullah?"
Mengumpat adalah dosa besar dan tidak boleh diambil mudah. Jika kita hendak bercerita, berhati-hatilah jangan sampai menyebut keburukan orang lain. Untuk lebih selamat, elakkan daripada bercerita tentang orang lain jika tidak perlu, dan jika perlu untuk bercerita tentang seseorang untuk pengajaran, jangan disebut namanya melainkan dia seorang yang jelas merupakan musuh kepada Islam (contohnya, Ariel Sharon). Jika sedang berbual-bual dalam satu kumpulan, tiba-tiba mereka mula hendak mengumpat, cepat-cepat cuba untuk beredar dengan baik, ataupun jika anda pandai memberi nasihat, minta mereka untuk berhenti mengumpat. Ingat, berkatalah yang baik atau diam!
Jangan Memberi Gelaran Buruk Kepada Orang Lain
Semasa saya di sekolah menengah, boleh kata semua pelajar lelaki sekolah saya itu ada nama gelaran. Saya sendiri telah diberi gelaran. Kalau nama gelaran itu membawa maksud yang baik seperti Si Pandai, Budak Wangi tidak apa juga, tapi masalahnya ialah kebanyakkan nama-nama gelaran tersebut membawa maksud yang buruk.
Benar, walaupun saya, dan kawan-kawan lain redha saja dengan gelaran itu, itu tidak menjustifikasikan perbuatan itu sebagai halal. Ini kerana redha dengan nama buruk tersebut adalah tidak boleh, lebih teruk lagi perbuatan "memberi gelaran buruk" itu sendiri sudah salah di sisi Islam. Sekali lagi kita rujuk kepada Surah Al-Hujuraat untuk melihat dalil tentang larangan perbuatan ini:
"janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk…" (Al-Hujuraat : 11)
Jelas, Islam mengajar kita supaya memanggil kawan-kawan kita dengan nama-nama yang baik, bukannya dengan nama-nama yang buruk, sekalipun orang yang digelar itu redha dengan nama tersebut. Sekali lagi saya jelaskan, kesalahan memberi gelaran buruk ini tidak terpadam jika orang tersebut redha dengan nama tersebut.
Nama-nama gelaran yang neutral tetapi menggambarkan peribadi seseorang itu, tidaklah salah untuk kita menggelarnya demikian jika orang tersebut suka dan redha dengan nama tersebut. Contoh yang paling baik ialah nama gelaran sahabat nabi seperti Abu Hurairah. Nama tersebut lahir kerana Abu Hurairah ini sangat sukakan kucing.
Jangan Merendah-Rendahkan Orang Lain
Mencemuh untuk memandang rendah orang lain adalah dilarang di dalam Islam. Lihatlah dalil berikut:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka…" (Al-Hujuraat: 11)
Sungguh, Maha Suci Allah yang telah meletakkan surah Al-Hujuraat mengandungi banyak pelajaran akhlak yang begitu indah tentang menjaga lisan.
Hari ini di kalangan ahli ilmu contohnya, terdapat juga orang yang tidak berfikir secara rasional, tetapi beremosi. Akibatnya mereka merendah-rendahkan ilmu atau pendapat orang lain, atas emosi dan nafsu amarah mereka. Contoh yang paling ketara ialah dalam etika professionalisme, antara hal yang mungkin terjadi ialah seperti seorang ustaz memandang rendah nilai ilmu agama bukan ustaz hanya kerana dia tiada ijazah lulusan agama, seorang doktor pakar memandang rendah teguran seorang jururawat hanya kerana jururawat tersebut tidak sama kelulusan dengannya, dan lain-lain.
Sedangkan yang patut dinilai bukanlah latarbelakang orang tersebut, sebaliknya apa yang dia katakan. Jika apa yang diperkatakan itu benar, akui sajalah, tiada gunanya sombong dan bongkak dengan latarbelakang ilmu yang dimiliki. Jika apa yang diperkatakan itu salah, betulkanlah dan berhujahlah baik-baik tanpa perlu melibatkan latarbelakang orang tersebut. Sesungguhnya ilmu yang dimiliki adalah milik Allah, jika Allah tidak mahu menganugerahkan ilmu kepada kita, sudah tentu kita akan jadi bodoh-sebodohnya. Jangan kita lupa segala nikmat, termasuk ilmu, yang telah kita perolehi adalah kurniaan Allah.
"Dan nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?" (Surah Ar-Rahman)
Jika Allah mengkehendaki, boleh sahaja ilmu kita hilang daripada kepala kita. Kita boleh jadi hilang ingatan (nau’zubillah). Semua itu di bawah kuasa Allah jika dia mengkehendaki, oleh itu jangan kita sekali-kali berasa bangga diri dengan kelebihan yang kita miliki. Sebaliknya, gunakanlah kelebihan untuk menjadi lebih rendah diri, kerana kita sedar bahawa kita masih tidak menggunakan kelebihan kurniaan Allah tersebut dengan sebaiknya. Maka kerahkanlah diri kita untuk menggunakan kelebihan yang dimiliki ke arah kebaikan dengan menjauhi rasa sombong dan bangga diri.
Maaflah celoteh panjang sikit, dah lari topik.
Demikian juga dalam soal perbezaan harta atau status. Orang kaya merendah-rendahkan si miskin. Orang profesional merendah-rendahkan orang yang berpendidikan rendah. Apabila mereka berkata-kata dengan golongan yang kaya ataupun berstatus, mereka berkata dengan baik-baik. Tetapi apabila mereka yang berstatus ini ditegur si miskin, atau si terencat, mereka berkata dengan kasar dan cepat-cepat mahu beredar. Ini jelas satu sikap yang sangat buruk. Mari kita jauhi sikap sebegini!
_______________________________________________________
Sebenarnya terdapat banyak lagi kesalahan mulut yang banyak berlaku dalam masyarakat seperti bercakap kasar dengan ibubapa, memfitnah, bergossip, melaga-lagakan orang agar bermusuh, berkata-kata tentang hal yang maksiat, maki hamun, menghina orang lain, menceritakan kisah peribadi hubungan kelamin suami-isteri kepada orang lain, bercakap membesarkan diri dan banyak lagi. Tapi oleh kerana masa tidak mengizinkan, saya berhenti di sini.