Archive for December, 2006


Mari kita amal Islam ikut cara Nabi s.a.w -Part 1

Sebenarnya dalam artikel bersiri ini saya ada menulis hal-hal baru dan ada juga merumuskan beberapa perbincangan saya yang ada dalam artikel-artikel yang lepas. Sengaja saya tulis kembali isi-isi penting dalam artikel-artikel lepas agar dapat dibangkitkan kembali dalam perhatian kita. Semoga kita semua mendapat manfaat.

_____________________________________________________________

Lantaran bebasnya berfikir di satu ekstrim, dan sempitnya pemikiran di satu ekstrim, menyebabkan fahaman Islam menjadi tersalah dan bahkan dalam sesetengah hal: menyeleweng.

Di sini saya ingin membincangkan bersama-sama dengan para pembaca tentang apakah sikap dan cara fikir yang perlu kita ambil, bagi memastikan Islam yang kita amalkan dan fahami berada di atas petunjuk yang paling betul. Bagaimanakah mencari petunjuk yang paling betul itu? Tidak lain dan tidak bukan, kita kembali dan rujuklah kembali Al-Quran dan contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam mengamalkan Islam. Sesungguhnya contoh-contoh Rasulullah s.a.w dalam mengamalkan Islam sangat banyak jumlahnya, dan ianya dapat diketahui menurut sumber As-Sunnah.

Sesungguhnya mengamalkan Islam dengan mengikuti contoh Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik jalan dan jalan yang paling selamat di sisi Allah. Bukankah Allah s.w.t telah berfirman:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." Al-Ahzab: 21

Malah, jika kita berbalah tentang sesuatu hal dalam agama, Allah s.w.t menyuruh kita agar menjadikan Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w (As-Sunnah) sebagai hakim:

" Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." An-Nisa:59

Dengan hanya dua dalil di atas, saya rasa sudah cukup untuk menjelaskan bahawa sebenar-benar perkara dalam Islam terdapat dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Tiada seorang muslim pun yang berani menyangkalnya kecuali jika dia sesat.

Jadi kini saya mulakan perbincangan tentang beberapa prinsip-prinsip penting yang perlu kita jadikan pegangan kita, agar kita tidak terpesong daripada mematuhi ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.

1. Akal tidak boleh membatalkan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah

Al-Quran dan As-Sunnah adalah maksum (bebas daripada kesalahan); ianya sentiasa benar dan menjadi petunjuk rasmi dalam menegakkan syariat Islam. Sedangkan akal manusia tidak dapat lari daripada kesalahan dan seringkali pula pemikiran manusia itu berorientasikan untuk memuaskan keinginan mereka sendiri. Sungguhpun Al-Quran mengajak kita supaya berfikir, itu bukanlah bermaksud dengan berfikir kita boleh menukar hukum-hukum Allah yang ada dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Saya akan membincangkan tentang peranan akal dalam kehidupan seorang muslim, dalam siri yang kedua.

Golongan Islam liberal telah menggunakan akal mereka bagi membatalkan banyak ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Malah sesetengah mereka ada yang tidak menerima hadith-hadith sahih sebagai petunjuk dalam beragama. Antara amalan-amalan dan  tuntutan golongan Islam liberal yang berlaku ialah seperti mengahwinkan seorang muslim dengan seorang non-muslim (tanpa tukar agama), mengatakan wanita Islam tidak wajib bertudung, mempersoalkan hak wanita dalam isu perwarisan harta,  mempersoalkan poligami, menuntut Al-Quran ditafsir kembali tanpa panduan hadith-hadith sahih, dan banyak lagi yang lain-lain.

Semua dakwaan dan tuntutan mereka jelas bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi oleh kerana menurutkan akal mereka -yang telah dipengaruhi mentaliti barat- mereka tergamak untuk mempersoalkan hukum-hukum Allah. Inilah kesannya apabila akal didahulukan daripada nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah dalam mengamalkan agama. Semoga Allah mengampuni mereka dan memberi hidayah kepada mereka, dan semoga Allah menjauhkan diri kita daripada berfikiran bebas ,tanpa berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah.

2. Hanya fanatik dan ta’asub kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah, bukannya ta’asub terhadap mazhab, aliran, fahaman atau individu yang tertentu.

Saya perlu perjelaskan hal ini dengan teliti agar orang tidak tersalah anggap kenyataan di atas ini seolah-olah seperti menghina imam mazhab ataupun ulama’-ulama’ ternama.

Sebenarnya kenyataan di atas bukanlah untuk menghina imam-imam. Malah, kenyataan di atas sendiri merupakan intipati daripada tuntutan mereka terhadap orang yang mengikuti mazhab mereka. Dalam erti kata lain, imam-imam ini tidak rela orang ramai hanya mengikuti mereka tanpa memperhatikan nilai fatwa mereka di sisi Al-Quran dan As-Sunnah. Contohnya, lihatlah apa yang diperkatakan oleh imam As-Syafi’i, tokoh ulama’ yang kita kagumi akan kehebatan ilmunya:

"Jika sesuatu hadith itu sahih, maka itulah mazhabku" (Diriwayatkan oleh Al-Nawawi, Al-Sya’arani, Al-Fulani, Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

Selain itu, imam Syafi’i juga pernah berpesan:

"Jika kamu menjumpai sesuatu dalam tulisanku sesuatu yang berlainan dengan Sunnah Rasulullah s.a.w, maka berkatalah dengan menurutkan Sunnah Rasulullah s.a.w itu dan tinggalkanlah kata-kataku". (diriwayatkan oleh Al-Harawi, Al-Khatib, Ibnu Asakir, Al-Nawawi, Ibnu Qayyim, dan Al-Fulani)

Subhanallah. Seorang a’lim yang begitu tawadhuk dan berhati-hati, itulah dia imam Syafi’i. Maka kita semua sebagai pengikut mazhab Shafi’i perlulah ikut pesanan beliau. Pesanan beliau jelas: beliau mahu pendapatnya yang berlainan dengan Al-Quran dan As-Sunnah ditinggalkan dan ambillah sunnah yang sahih.

Imam-imam mazhab lain pun turut berpesan hal yang serupa kepada para pengikut mereka.

Kita wajib jadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber dalam mengetahui sesuatu hukum. Jika sesuatu hukum itu tidak didasari dengan dalil Al-Quran atau As-Sunnah, maka ia ditolak. Allah ASWJ telah berfirman:

"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui." (Al-Hujurat: 1)

Ayat ini juga membawa maksud jika ada sesuatu pendapat dicetuskan oleh akal sedangkan sudah ada bukti sahih daripada Al-Quran dan As-Sunnah yang menerangkan tentang pendapat itu, pendapat daripada akal itu mesti ditolak.

Malangnya, hari ini tidak ramai orang Islam yang menyedari hakikat ini.

Ada golongan yang mengecam sesiapa saja yang berlainan pendapat dengan mazhab mereka, sedangkan orang tersebut mempunyai bukti daripada hadith sahih Rasulullah s.a.w. Mereka taksub kepada pemimpin mereka yang bukannya seorang Rasul, atau taksub kepada kumpulan mereka, sehingga walaupun pemahaman yang mereka anuti itu bertentangan dengan Al-Quran dan hadith Rasul, mereka tetap mematuhi kumpulan ataupun pemimpin mereka itu. Malah, ada yang sampai memburuk-burukkan dan merendah-rendahkan maruah orang lain hanya kerana dia tidak setuju dengan pendapat orang tersebut. Ini jelas perbuatan yang tidak berakhlaq yang lahir daripada sikap fanatik dan taksub terhadap pemimpin ataupun kumpulan.

Untuk mengikuti satu-satu mazhab itu tidak wajib, tetapi untuk mengikuti hadith Rasullullah s.a.w itu wajib hukumnya. Malah, para imam mazhab mereka sendiri berpesan supaya meninggalkan pendapat mereka jika terdapat hadith sahih daripada Rasulullah s.a.w. Saya akan menerangkan tentang sikap kita terhadap perbezaan pendapat dalam siri yang kedua.

Saya bukannya mengajak kepada perpecahan, tetapi sebaliknya mengajak kepada sikap berlapang dada terhadap perbezaan pendapat. We have to accept this, aspek pengamalan Islam itu bervariasi kerana tafsirannya terhadap dalil-dalil ada pelbagai bentuk. Walaupun variasi ini diakui dalam Islam, ia mestilah berada dalam lingkungan Al-Quran dan As-Sunnah. Namun demikian, variasi ini tidak boleh wujud dalam hal-hal aqidah di mana segala aspeknya mestilah dirujuk kepada dalil-dalil tanpa tafsiran yang mendalam, dan inilah antara pegangan para ulama’ ahli sunnah wal jamaah.

Tafsiran yang menyeleweng terhadap dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah, iaitu tafsiran yang tidak selari dengan hal-hal asas dan usul dalam Islam, tidak dianggap sebagai variasi dalam Islam. Tafsiran yang menyeleweng ini ada dijalankan oleh golongan tertentu, contohnya golongan Islam Liberal tadi.

Selagimana sesuatu pendapat itu berdasarkan kepada Al-Quran atau hadith-hadith sahih, apa salahnya diamalkan? Malah, mempunyai pengetahuan tentang Al-Quran atau As-Sunnah dalam mengamalkan sesuatu pendapat itu akan menjadi hujah kita di hadapan Allah kelak. Katakanlah jika kita ditanya tentang pengamalan dan kesahihan amal ibadah kita di dunia. Sudah tentu kita ingin menjawab: "Saya sudah berusaha mengikut kemampuan saya untuk mengamalkan Islam mengikut panduan Al-Quran dan As-Sunnah", daripada berkata "Saya amalkan Islam ikut cakap-cakap orang sahaja tanpa menyelami apakah dalil-dalil yang menyokong amalan saya".

Oleh itu, janganlah kita cepat melenting kalau melihat orang yang tidak berdoa qunut ketika solat subuh atau tidak mahu membaca surah Yasin di malam Jumaat. Ini semua soal perbezaan pendapat dalam hal-hal kecil bukannya hal-hal usul atau aqidah. Selagimana tindakan mereka ada sokongannya daripada contoh (hadith sahih) daripada Rasullullah s.a.w semasa hayat baginda, jadi hendaklah kita semua berlapang dada. Janganlah hanya kerana tidak sama pendapat dalam hal-hal kecil begini, ukhwah Islamiah yang wajib hukumnya kita abaikan pula. Sesungguhnya jangan kita lupa bahawa sebaik-baik petunjuk adalah daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Jangan kita persoalkan kedudukan dan keunggulan kedua-dua sumber ini dalam agama.

3. Permudahkan, Jangan Menyusahkan

Islam agama yang mudah. Mungkin ramai orang Islam yang biasa dengan kenyataan ini tapi adakah mereka betul-betul menghayatinya?

Allah ASWJ telah berfirman:

"…Allah ASWJ mengkehendaki kemudahan bagimu, dan tidak mengkehendaki kesukaran bagimu…" (Al-Baqarah: 185)

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Permudahkan, jangan menyusahkan. Gembirakan mereka, jangan buat mereka lari" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ayat Al-Quran dan hadith di atas ini jelas menunjukkan syariat Islam itu mudah dan bertujuan mempermudahkan. Namun kemudahan Islam itu mestilah berpandukan dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah. Satu contoh daripada As-Sunnah ialah tentang hal jamak qasar semasa bermusafir. Banyak riwayat yang menyebut baginda s.a.w sentiasa solat jamak qasar semasa bermusafir. Atas sebab ini sesetengah ulama fikah ada yang sampai menghukumkan mewajibkan para musafir untuk jamak qasar dalam perjalanan mereka.

Rasulullah s.a.w juga pernah solat jamak (tanpa qasar) semasa di masjid nabawi tanpa sebab, sebagaimana disebut oleh sahabat Ibnu Abbas. Ulama fikah menyatakan jamak tanpa bermusafir boleh dibuat jika dalam kesusahan seperti hidup yang sangat sibuk. Dalil ini menjadi keringanan hukum bagi orang Islam yang amat sibuk yang sering tidak ada peluang menunaikan solat fardhu mengikut waktunya; dibolehkan menjamakkan solat mereka zuhur-asar atau maghrib-isya; contohnya para doktor pakar bedah yang perlu berada di bilik bedah berjam-jam lamanya.

Islam itu mudah kerana prinsip yang ditekan oleh Islam ialah segala hukum-hakam mestilah berpaksikan kepada neraca Al-Quran dan As-Sunnah. Lingkungan halal adalah lebih besar daripada yang haram. Selagimana panduan Al-Quran atau As-Sunnah tidak mengatakan sesuatu hal itu sebagai haram, maka ianya halal.

Namun, kenyataan "Islam itu Mudah" ini mungkin boleh dipesongkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Islam itu mudah, tapi bukan perlu diambil mudah. Contohnya, golongan yang hanya berpegang kepada zahir Al-Quran dan hadith (tidak melihat tujuan dan tafsiran Al-Quran dan Hadith), akan mendapati diri mereka melakukan begitu banyak kemudaratan untuk diri mereka, terutamanya dalam kehidupan moden hari ini. Mereka menafikan bahawa tindakan mereka sudah melampaui batasan halal dalam Islam. Alasan mereka: "Takde pun ayat Quran dan hadith yang kata apa yang saya buat ni haram..??". Semoga kita semua beroleh petunjuk, amin.

Kerana inilah kita perlu melihat kepada peranan para ulama’. Mereka perlu mengkaji hadith-hadith Rasulullah s.a.w dan mengaplikasikannya dalam kehidupan moden hari ini. Mungkin zaman moden ini kita perlu menggunakan berus gigi daripada kayu sugi atas sebab kebersihan dan kesihatan gigi, juga perlu menggunakan kereta daripada unta kerana kereta lebih pantas dan selesa. Islam menuntut umatnya menjadi progresif dan maju dalam kehidupan dunia, tetapi dalam hal beribadah pula Islam mewajibkan umatnya agar mengikut contoh Rasulullah s.a.w kerana itulah keahlian baginda s.a.w. Contohnya, dalam hal solat, Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

"Solatlah kamu semua sebagaimana kamu lihat aku solat" (Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w telah melarang orang Islam melakukan suatu ibadah yang tidak pernah ditunjuk ajar oleh baginda Rasulullah s.a.w:

"Barangsiapa mengadakan sesuatu perkara yang bukan daripada agama kami, maka ianya tertolak" (Hadith sahih riwayat Muslim. Dalam riwayat Bukhari terdapat hadith yang membawa maksud yang sama tetapi berlainan perkataan)

Di sini kita dapat buat satu kesimpulan: Dalam hal dunia kita bebas melakukan apa sahaja kemajuan selagimana tiada dalil-dalil yang melarangnya, sedangkan dalam urusan ibadah kita terhadkan ibadah kita kepada ibadah yang dicontohi daripada Rasulullah s.a.w. Kita elakkan daripda melakukan ibadah-ibadah baru yang tidak pernah dilakukan baginda s.a.w. Ini jalan yang paling selamat untuk kita semua.

Saya mungkin salah dan mungkin betul. Gunakan minda anda dan silakan membuat penilaian adil dan teliti terhadap apa yang anda baca dalam artikel ini, sekiranya anda merasakan ada kebenarannya marilah kita beramal, dan sekiranya anda merasakan ia salah maka anda berhak untuk berbuat demikian. Sesungguhnya semua kata-kata yang benar hanyalah daripada Allah dan RasulNya, sedangkan yang lain langsung tidak terlepas daripada salah dan silap. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua!

Saya sambung perbincangan dalam siri yang seterusnya.

Duit tak ada, tapi hati mahu kahwin - Ust Maszlee Malik

 

Duit tak ada, tapi hati mahu kahwin! 

 

Maszlee Malik

 

Sabda
Rasulullah SAW: "Wahai orang-orang muda, sesiapa yang mempunyai
kemampuan di kalangan kamu, hendaklah mereka berkahwin. Sesungguhnya ia
lebih menjaga pandangan. Barangsiapa yang tidak mampu, hendaklah mereka
berpuasa, sesungguhnya ia adalah perisai"
(H.R. al-Bukhari)

 

Antara
keluhan yang sering diluahkan oleh para siswa-siswi di IPT ialah tidak
mempunyai kemampuan untuk berkahwin. Tuntutan naluri muda mereka
menyeru mereka untuk berkahwin. Persekitaran yang diwarnai oleh
kefasadan dan maksiat juga menuntut mereka untuk menghalalkan
perhubungan berlainan jenis yang merupakan sifat tabi’i manusia.
Kajian-kajian oleh sesetengah pihak dan juga laporan-laporan media
membuktikannya. Samada hasil kajian yang pernah didedahkan oleh akhbar
kosmo pada awal tahun 2006, mahupun apa yang telah dilaporkan oleh NST
pada 18 Ogos 2006. Kesemuanya membuktikan kemelut yang sedang dihadapi
oleh para siswa dan siswi di IPT-IPT. Sayang sekali, kemampuan material
mereka tidak membenarkan pernikahan dilangsungkan di alam pengajian.
Ibubapa moden yang berfikiran materialistik dan kolot juga menjadi
penghalang utama. Bagi para ibubapa, anak-anak mestilah menghabiskan
pengajian, mestilah mempunyai kerja yang tetap dan kukuh, membeli
kereta, barulah anak-anak tersebut boleh berkahwin. Akhirnya, anak-anak
di IPT bergelumang dengan dosa berpacaran dan berkhalwat yang dilarang
oleh Allah SWT.

 

Adakah kemampuan untuk bernikah terletak pada kerjaya, segulung ijazah, kereta, ataupun gaji yang lumayan?

 

Menurut jumhur ulama, kemampuan yang dimaksudkan oleh hadis di atas adalah kemampuan untuk membayar mahar
(mas kahwin dan bukan hantaran). Mahar boleh di dalam pelbagai rupa.
Ada sahabat yang memberikan mahar hanya dengan sebentuk cincin besi
sahaja. Malah ada yang memberikan mahar di dalam bentuk surah al-Quran
yang mereka hafal. Apa yang menjadi persoalan utamanya, institusi
kekeluargaan itu mesti dipopularkan. Usaha untuk memudahkan pembentukan
sebuah institusi kekeluargaan itu adalah satu kewajipan di dalam
mana-mana komuniti. Perhubungan secara halal akan dapat mengelakkan
banyak masalah sosial yang dihadapi masyarakat. Sayang sekali jika
usaha pembentukan mahligai yang suci ini sentiasa dihalangi oleh
batas-batas material yang kita sendiri ciptakan.

 

Ibn
al-Qayyim pula mempunyai pentafsiran yang lebih ekstrim berhubung
"kemampuan" yang disebutkan oleh hadis tersebut. Bagi beliau, kemampuan
yang dimaksudkan ialah "kemampuan fizikal". Oleh yang demikian,
barangsiapa yang tidak mempunyai kemampuan "fizikal" untuk menjalankan
tanggung jawab sebagai suami, hendaklah mereka berpuasa untuk menjana
kekuatan "dalaman". Walau bagaimanapun, ini bukanlah pendapat yang
popular. Pendapat jumhur ulama mengenai kemampuan yang ditafsirkan
sebagai kemampuan untuk membayar mahar merupakan pendapat yang kuat.

 

Penentuan mahar

 

Antara
persoalan yang mungkin timbul lewat perbincangan mengenai mahar ialah,
milik siapakah "penentuan mahar" tersebut. Adakah ianya milik si dara,
ataupun bapanya. Di dalam pengamalan masyarakat Melayu dari dahulu
lagi, si bapalah yang menentukan kadar mahar si gadis. Jika mereka
letakkan terlalu murah, nanti ada yang megatakan, anak gadisnya terlalu
murah. Jika mereka letakkan terlalu mahal, nanti ada pula yang
mengatakan, mereka menjual anak. Maka adat dan harga pasaran
tempatanlah yang menjadi ukuran. Apa yang penting, mahar adalah hak
mutlak si bapa untuk menentukannya. Lazimnya di Malaysia, orang utara
terkenal dengan mahalnya mahar, orang Pantai Timur terkenal dengan
mahar yang rendah, manakala orang di tengah dan selatan mengukurnya
mengikut keadaan keluarga dan juga kebiasaan saudara mara. Adakah ini
bertepatan dengan Islam?

 

Di
dalam Islam, si gadislah yang mempunyai kuasa mutlak ke atas maharnya.
Si gadis mempunyai kuasa penuh untuk menentukan jumlah mahar yang
beliau kehendaki. Walaupun al-Quran dan al-Sunnah tidak menghadkan
harga siling untuk mahar, namun Rasululah SAW menasihatkan anak-anak
gadis agar tidak meletakkan mahar yang terlampau tinggi. Gadis-gadis
yang menuntut mahar yang rendah dipuji oleh Rasulullah SAW. Perkara
seumpama ini tidak berlaku di Malaysia kita, malah ianya juga tidak
berlaku di kebanyakan negara-negara Islam. Uruf atau adat yang banyak
memainkan peranan. Si bapa yang mempunyai kuasa dominan sering
berperanan untuk menentukan jumlah mahar anak-anak gadis mereka.
Kebiasaannya, ianya diukur menurut jumlah kos perbelanjaan perkahwinan
yang terpaksa mereka tanggung.

 

Isu
yang cuba diketengahkan di sini ialah, adakah perletakan mahar yang
tinggi sesuai untuk warga IPT?, ataupun kita terus akur dengan adat
lantas menghalang anak-anak di IPT daripada berkahwin, semata-mata
kerana halangan mahar yang tidak mampu untuk mereka bayar?
 

 

Berterusanlah anak-anak di IPT di dalam gelombang maksiat di atas nama coupling dan kebebasan individu.

 

Cara mengatasinya

 

Jika
benar para siswa dan siswi ingin mengelakkan diri dari melakukan
maksiat dan berniat untuk menghalalkan perhubungan mereka, mereka
hendaklah bernikah. Itulah sahaja penyelesaiannya. Seumpama tema NOKIA,
"Nokia – connecting people", kita mengatakan "NIKAH – Connecting people". Alasan yang sering diungkapkan ialah "Duit tak ada, tapi hati mahu kahwin…"

 

Apakah tiada solusi yang praktikal di dalam hal ini?, tidak!, solusinya ada, Cuma kesungguhan yang tiada. Apakah solusinya?

 

 

 

1. Peranan Jabatan-jabatan agama dan pusat-pusat zakat

 

 Salah
seorang siswa pernah mengadukan kerenah birokrasi yang dihadapi beliau
untuk bernikah di zaman pembelajaran. Jabatan-jabatan agama bagaikan
tidak menggalakkan anak-anak IPT bernikah dengan mudah. Mungkin mereka
lebih gemar untuk mengendap dan memberkas pasangan yang berkhalwat
daripada menggalakkan anak-anak muda bernikah. Imam-imam dan para kadi
juga nampaknya kurang "jantan" di dalam perkara ini. Majoriti mereka
lebih takutkan prosedur dan juga apa yang termakstub di atas kertas
berbanding dengan apa yang tertulis di dalam al-Quran dan sunnah. "Saya
tidak ada kuasa, nanti saya yang akan kena dakwa!", merupakan
ungkapan-ungkapan yang biasa didengari dari mulut para imam dan kadi
yang diminta untuk memudahkan urusan perkahwinan anak-anak muda IPT
yang tidak dapat melalui proses birokrasi yang konvensional.

 

Pernah
berlaku, seorang muallaf yang ingin bernikah tetapi tidak mendapatkan
surat pengesahan masuk Islam dari negara asalnya telah dihalang
daripada berkahwin oleh seorang jurunikah di ibu negara. Muallaf
tersebut telah membandingkan proses perkahwinan yang jauh lebih mudah
di negaranya yang kafir melalui khidmat gereja berbanding dengan proses
pernikahan di Malaysia "Darul Islam" ini. Bukan sekali, sepanjang umur
saya yang masih muda ini, sudah dua tiga kali para muallaf mengadukan
hal yang sama. Lebih parah, ada di antara juru nikah yang tidak berani
menikahkan sepasang muallaf hanya kerana tiada surat sokongan dari bapa
si gadis yang bukan Islam. Mungkin gambaran ini hanya segelintir
kerenah yang terpaksa dihadapi oleh anak-anak muda bila berhadapan
dengan kerenah birokrasi jabatan-jabatan agama dan juru nikah-juru
nikah. Realitinya mungkin lebih banyak lagi masalah yang mereka hadapi.
Tidak hairanlah mereka mengambil jalan yang mudah, iaitu dengan berzina
atau bersekedudukan mahupun berpacaran yang jauh lebih mudah.
Malangnya, di dalam kes mengendap dan mencekup pasangan yang berzina
dan berkhalwat, personel-personel agama ini akan beriskap pro-aktif!

 

Sewajarnya
jabatan-jabatan agama dan personel-personel agama ini memudahkan proses
perkahwinan anak-anak muda. Lebih baik lagi jika disediakan satu pakej
perkahwinan IPT di mana prosesnya dimudahkan dan diberikan bonus serta
saguhati. Bukankah di dalam usul al-fiqh ada kaedah "fath al-dharai’" (membuka jalan-jalan kebaikan). Bukankah juga kaedah fiqh juga ada yang mengatakan "al-wasilah yak hudhu hukmu al-ghayah"
(hukum kepada jalan yang membawa kepada sesuatu perkara adalah mengikut
hukum matlamatnya). Rasulullah SAW juga ada bersabda: "Penunjuk jalan
kebaikan akan mendapat pahala seperti pembuatnya".
(*penulis tidak mentakhrij)

 

Jabatan-jabatan
agama juga sepatutnya tidak hanya mengadakan kursus-kursus perkhawinan,
tetapi juga hendaklah menganjurkan kursus "promosi perkahwinan" dan
juga "karnival nikah" seperti karnival membeli belah. Eksperiman
Jabatan Agama Wilayah menganjurkan perkahwinan beramai-ramai patut
dicontohi oleh semua jabatan agama di seluruh Malaysia. Pusat zakat
juga sepatutnya bekerjasama dengan jabatan-jabatan agama agar dapat
mengurangkan beban mahar yang terpaksa ditanggung oleh
pasangan-pasangan muda ini. Upacara perkahiwnan beramai-ramai ataupun
"karnival nikah" ini juga sepatutnya dijadikan upacara penarik
pelancong. Laksanakan ia di Dataran Merdeka ataupun di dataran KLCC
agar ianya benar-benar dijadikan sebagai karnival. Biarlah seluruh
negeri melakukannya, biarlah ianya menjadi lebih hebat dari "Jom
Heboh". Rasanya, kerjasama TV3 juga perlu, mungkin mereka juga boleh
menjadikannya sebagai acara "Nikah Heboh". Karnival tersebut jangan
hanya diserikan dengan acara nikah dan makan sahaja, tetapi pameran,
forum perdana, ceramah, persembahan nasyid dan sketsa serta jualan
murah barang-barang keperluan harian untuk keluarga juga patut
dijadikan acara sampingan.

 

 

 

2. Peranan
IPT
 

 

Jika
ada IPT yang hendak diberikan penghormatan mengenai usaha menggalakkan
perkahwinan para penuntutnya, markah yang penuh wajar diberikan kepada
UIAM. Semenjak dahulu lagi UIAM menggalakkan siswa dan siswi bernikah
dengan memberikan saguhati kepada mereka. Mungkin jumlah yang diberikan
itu tidak lah dapat menampung sepenuhnya mahar yang tinggi di Malaysia,
namun ianya akan dapat menampung serba sedikit bebanan itu. Diharapkan
agar saguhati yang diberikan itu dapat digandakan di masa-masa hadapan
demi mengurangkan gejala maksiat di kalangan siswa dan siswi yang kini
tidak mengenal sempadan. IPT-IPT lain juga wajar mencontohi UIAM di
dalam hal ini.

 

IPT-IPT
juga wajar menganjurkan karnival nikah untuk mengurangkan perbelanjaan
kenduri kahwin oleh para pasangan muda. Jadikan ia acara tahunan. Pusat
zakat juga boleh memainkan peranan mereka untuk membantu IPT-IPT di
dalam menjayakan hal ini. Saguhati atau bonus juga sepatutnya diberikan
kepada pasangan-pasangan yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang
di dalam peperiksaan mereka. Sebagai contoh, mereka yang mendapat CGPA
melebihi 3.5, bonus daripada HEP akan diberikan. Melalui cara yang
sedemikian, masalah penurunan prestasi belajar siswa dan siswi yang
telah berkahwin akan dapat diatasi. Blok asrama untuk kelamin juga
wajar diwujudkan untuk mengurangkan kos sewa rumah di kalangan
pasangan-pasangan muda di IPT.

 

Yakinlah,
jika perkara seperti ini tidak dilakukan, gejala maksiat akan semakin
berleluasa di masa hadapan. Lebih ditakuti lagi, apabila maksiat sudah
dipandang biasa dan sudah menjadi norma. Pada waktu itu, masyarakat
yang wujud akan menjadi masyarakat yang bobrok serta punah. Jika
IPT-IPT tidak mengambil inisiatif pun, akan sentiasa terdapat pasangan
siswa dan siswi yang akan menggunakan cara lain untuk bernikah.
Kelazimannya, Golok akan menjadi destinasi terkahir mereka untuk
menghalalkan perhubungan cinta yang sudah tidak dapat dibendung dan
dihalang.

 

 

 

3. Simpanan khas

 

Para
siswa dan siswi tidak sewajarnya hanya mengharapkan pihak lain
melakukan sesuatu sahaja. Mereka perlu bersikap pro aktif. Para siswa
dan siswi sepatutnya telah mula merancang kehidupan mereka di masa
hadapan semenjak hari mereka mengakhiri peperiksaan SPM. Satu akaun
khas untuk kehidupan masa depan wajib diusahakan. Pastikan sejumlah
daripada segala pendapatan bulanan dimasukkan ke dalam akaun khas
tersebut. Lebih baik jika ianya dimulakan lebih awal daripada itu.
Bukan hanya pihak siswa sahaja, malah pihak siswi pun sepatutnya juga
mempunyai usaha yang sama. Pastikan segala duit perolehan hasil durian
runtuh juga dimasukkan ke dalam akaun khas berkenaan. Usaha sebegini
akan memberikan keyakinan kepada ibubapa bahawa anak-anak mereka sudah
matang dan mempunyai wawasan.

 

Kebiasaannya
ibubapa ragu-ragu tentang kematangan anak-anak. Mereka masih lagi
risaukan tahap pemikiran dan kematangan anak-anak mereka. Turut silap
juga ialah anak-anak juga yang tidak menunjukkan kesungguhan dan
kematangan. Para ibubapa tidak dapat melihat bukti yang anak-anak
mereka benar-benar mampu untuk berdikari. Perkara sebaliknya jika
mereka mendapati anak-anak tersebut telah mempunyai perancangan dan
mempunyai wawasan. Kematangan anak-anak akan segera dapat dihidu. Amat
mengecewakan ramai di kalangan siswa dan siswi yang ingin berkahwin
tetapi tidak mempunyai perancangan yang teliti dan boleh dipercayai.
Lebih mengharukan lagi jika mereka hanya beriya-iya hendak kahwin di
mulut sahaja, tetapi tidak bersikap matang di dalam tindakan. Di dalam
hal ini jangan dipersalahkan ibubapa yang bersikap konservatif,
salahkan diri sendiri dahulu. Moralnya, mulalah mengumpul duit dari
sekarang!

 

 

 

4. Pendapatan sampingan

 

Di
pasaran kini, buku-buku mengenai mencari duit tambahan akan laku
seperti goreng pisang panas. Buku-buku karangan Robert Kiyosaki, Azizi
Ali, dan lain-lain tokoh dalam dan luar negara menjadi "best seller".
Mengapa?, kerana tuntutan hidup di era globalisasi ini memaksa kita
mencari pendapatan sampingan. Begitu juga halnya dengan para siswa dan
siswi. Apabila disebutkan pendapatan sampingan, jangan hanya
terbayangkan restoran-restoran makanan segera sahaja. Zaman kini adalah
zaman "outsourcing". Kebanyakan projek-projek yang dilaksanakan oleh
syarikat-syarikat besar akan dibahagi-bahagikan kerjanya kepada
syarikat-syrikat kecil yang lain. Bagi sesiapa yang pandai di dalam
bidang grafik, reka bentuk, media, multimedia, peluang untuk
mendapatkan pendapatan sampingan sentiasa terbuka luas. Hanya perlu
rajin lebi sedikit sahaja.
   

 

Bagi
yang pandai menulis dan melukis, mereka juga boleh menggunakan bakat
tersebut untuk menjana pendapatan. Penjualan buku-buku, terutamanya
novel dan cerpen kini menjadi begitu popular. Terokailah ia untuk
mendapatkan pendapatan sampingan. Bagi yang tidak mampu untuk melakukan
perkara-perkara yang telah disebutkan di atas, ruang motivasi, tiusyen,
dan banyak lagi kerja-kerja akademik yang boleh mereka lakukan. Bagi
sesiapa yang lebih rajin, carilah pensyarah-pensyarah yang sedang
melakukan pengkajian dan juga penyelidikan. Kebiasaannya para pensyarah
tidak akan cukup dengan seorang pembantu kajian (research assistant).
Tawarkan khidmat anda, mereka pasti akan gembira untuk mengupah anda
bekerja. Peluang perniagaan melalui khidmat-khidmat juga ruang yang
boleh dieksplorasi oleh para siswa. Terdapat juga di kalangan siswa dan
siswi yang terlibat dengan perniagaan MLM, tetapi risikonya tinggi.
Perkara yang sering berlaku ialah waktu mereka akan dihabiskan dengan
banyak untuk tujuan berkenaan. Mungkin perniagaan insurans lebih ringan
daripada MLM.

 

Apa
yang penting di sini, para siswa dan siswi hendaklah mula mengumpul
duit untuk berkahwin melalui pendapatan sampingan. Usaha ini akan
membantu para siswa dan siswi membina keyakinan di hati para ibubapa.
Jikalaulah mereka beralasan anak-anak tidak mampu lagi untuk berkahwin
kerana kelemahan di bidang material, maka jika siswa dan siswi tadi
sudahpun mempunyai pendapatan sampingan, mereka akan mati hujah.
Pengalaman mencari duit di alam kampus juga akan membantu para siswa
dan siswi di dalam alam kerjaya mereka. Mereka akan menjadi lebih
berdikari, berpengalaman dan lebih berkeyakinan untuk menempuhi
kehidupan pasca kampus. Jika mereka ikhlas, Allah akan sentiasa
membantu. Apatah lagi jika kerja-kerja itu dilakukan untuk menyahut
seruan Allah dan RasulNya.

 

 

 

Kesimpulan

 

Tiada
masalah yang Allah berikan kecuali di sana ada jalan penyelesaiannya.
Di sebalik semua ujian dan cabaran ada hikmahnya. Kelebihan anak-anak
Adam yang tiada pada makhluk lain adalah akalnya. Lontaran ide-ide di
dalam artikel ini hanyalah sebahagian dari cetusan minda seorang
pendidik. Para siswa dan siswi tentunya lebih kreatif dan lebih
mengetahui hal keadaan mereka. Seperkara yang penting, para siswa dan
siswi Muslim harus sedar tujuan kehidupan kita diciptakan. Kemuncak
kehidupan seorang hamba ialah jika mereka dapat memastikan setiap detik
dan saat di dalam kehidupannya berlandaskan syariat Allah. Pastikan
juga redha dan juga cinta Allah yang menjadi buruan. Pernikahan adalah
sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan keredhaan Allah dan
RasulNya. Perkahwinan juga merupakan wasilah untuk seorang hamba
menjauhi larangan Allah. Perkahwinan juga akan dapat membantu para
hamba untuk melalui setiap langkah di dalam hidupnya di atas naungan
kecintaan Allah. Mengapa bertangguh lagi?, ayuh segera mulakan langkah!

"MAKA BERPEGANGLAH DENGAN SUNNAHKU(RASULULLAH S.A.W) DAN SUNNAH KHULAFA AR-RASYIDIN AL-MAHDIYYIN.BERPEGANGLAH DENGANNYA DAN GIGITLAH IA DENGAN GIGI GERAHAM " 

(SUNAN ABU DAUD)

Jangan Sia-Siakan Hidup: Mencari kepuasan di sebalik amal soleh

Awasi diri kita daripada banyak menghabiskan masa dengan berhibur!

Hiburan-hiburan seperti filem-filem, nyanyian-nyanyian serta majalah-majalahtelah menjadi hal-hal yang begitu disukai oleh ramai orang Islam.

Surat khabar jika tidak diisi dengan ruangan hiburan dan cerita artis, maka tidak sah. Malah kita telah melihat kisah-kisah artis telah menjadi tajuk-tajuk besar dalam akhbar-akhbar utama. Contohnya, jika dahulu kisah-kisah artis luar negara hanya dipaparkan dalam sudut hiburan, tetapi kini kisah-kisah mereka telah dipaparkan dalam sudut berita dunia atau berita luar negara.

Anak-anak muda cenderung untuk berhibur dan bersuka-suka di pusat-pusat membeli-belah mahupun di hadapan televisyen; menonton filem atau bermain permainan video.

Apa yang ingin disentuh di sini bukannya jenis hiburan yang halal atau haram dalam Islam, di mana memerlukan perbahasan yang agak panjang mengenainya. Tapi apa yang ingin saya sentuh ialah tentang isu mengisi masa dan menyedari tujuan kita semua dijadikan di atas muka bumi ini.

Memahami tujuan manusia dijadikan

Manusia dijadikan untuk menyembah Allah. Ini ada disebut melalui firman Allah yang bermaksud:

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku." (Az-Dzariiyat: 56)

Menyembah Allah bukan bermakna dengan amalan-amalan ritual seperti solat dan mengaji Al-Quran sahaja. Menyembah Allah itu mempunyai skop dan makna yang lebih luas di mana ramai orang yang ambil mudah tentangnya.

Allah menjadikan kita sebagai hambaNya. Sebagai hamba, sudah tentu kita bukannya hidup di dunia dengan main-main. Menjadi hamba bermaksud kita mempunyai tugas dan kewajiban yan perlu dilaksanakan terhadap yang mencipta diri kita ini, iaitu Allah s.w.t. Kita dihidupkan oleh Allah s.w.t di dunia yang sementara ini ialah untuk berbakti kepadaNya. Kita disuruh untuk bekerja dan memanfaatkan hidup ini dengan sebaiknya sebagai bekalan di akhirat nanti.

Namun, nafsu kemanusiaan telah menjadikan ramai manusia lalai daripada mengisi hidup mereka dengan hal-hal yang baik dan berfaedah. Mereka lebih suka mencari kepuasan diri melalui keseronokan duniawi yang tidak mampu meningkatkan iman dan darjat mereka di sisi Allah s.w.t.

Di sini saya ingin mengajukan satu soalan untuk cuba mengubah cara fikir kita. Siapa kata buat amal soleh itu tak menyeronokkan dan memuaskan?

Meluruskan hati agar melazimi amal-amal soleh daripada banyak berhibur

Mungkin ada di kalangan umat Islam sendiri gagal menyedari betapa nikmatnya mengerjakan amal soleh.

Sebenarnya, mengerjakan amal soleh itu mampu mendatangkan kepuasan dan kegembiraan yang luar biasa.

"Apa? Buat lawak ke?"

Baik, mungkin ada yang terfikir bahawa kenyataan saya tadi tidaklah benar secara realiti tetapi hanya benar secara ideal.

Benar, bagi sesetengah orang, jika ditinjau perbuatan amal soleh itu sendiri tentu tidaklah menyeronokkan diri sepertimana seronoknya ketika menikmati hal-hal keduniaan semata-mata. Menyukai hal-hal dunia dan hiburan yang terdapat di dalamnya adalah satu fitrah kemanusiaan:

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia:  kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu,  iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; hartabenda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak;  kuda yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.  Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia.  Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)." (Aali-Imran:14)

Perlulah difahami bahawa ayat di atas janganlah difahami secara zahirnya sahaja. Memang benar di zaman dahulu, wanita, binatang-binatang dan ladang-ladang dianggap sebagai sesuatu yang indah dan dicari-cari oleh manusia. Hal-hal itu hanyalah sebagai contoh antara hal-hal keduniaan yang dicari-cari di masa itu. Pada zaman sekarang, ini sesuai dirujuk kepada hal-hal keindahan dunia seperti rumah-rumah besar, hidup mewah, pangkat dan jawatan, hiburan-hiburan dan apa sahaja hal-hal dunia yang lain.

Hiburan dan hal-hal keduniaan memang menyeronokkan, tetapi keseronokkan itu tidak kekal lama. Sebaik sahaja kita habis menonton filem misalnya, keseronokkan itu akan hilang dan minda akan kembali kekosongan. Namun, perbuatan melakukan amal soleh (iaitu segala hal yang baik-baik dan berfaedah), bagi sesetengah orang keseronokkannya mungkin tidak dirasakan ketika sedang melakukan amal soleh tersebut, tetapi keseronokkannya akan terasa selepas kita selesai melakukan amal tersebut. Apa yang menariknya, sering kali keseronokkan dan kepuasan yang dirasai itu kekal buat masa yang lama!

Saya berikan satu contoh. Katakan anda telah menyedekahkan sebahagian harta anda (dengan ikhlas) kepada fakir miskin. Keseronokkan dan kepuasan hati memang akan terasa selepas anda memberi sedekah tersebut. Apatah lagi jika dengan wang sedekah tersebut anda lihat si fakir miskin itu mampu menyediakan modal untuk mula menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Ini baru satu contoh. Contoh yang lain adalah seperti jika anda belajar bersungguh-sungguh, keseronokkan semasa belajar mungkin tidak hadir di kalangan sesetengah orang, tetapi apa yang pasti keseronokkan itu pasti hadir apabila mengetahui anda berjaya dalam peperiksaan. Jika anda gagal pun, anda perlu sedar bahawa itu semua takdir Allah, dan jika anda ikhlas semasa belajar, Allah akan redha kepada anda, insha Allah. Selain itu, jika anda gagal setelah kuat berusaha, anda perlu bersifat qanaah (berasa cukup dengan apa yang diterima) dan mestilah berfikiran positif, contohnya dengan berkata: "Alhamdulillah, kalau aku tak study mesti lagi teruk result aku".\

Selain itu, amal-amal kebaikan yang lain tidak kiralah seperti membaca Al-Quran, berpuasa sunnah, membersihkan halaman rumah, membantu ibu memasak, membaca bahan ilmiah dan apa sahaja amal soleh, semuanya akan kita rasakan kepuasan dan kegembiraan setelah kita selesai melakukannya. Malah, saya ulang lagi poin saya, bagi sesetengah orang yang begitu ikhlas hatinya, keseronokkan melakukan amal soleh itu akan hadir ketika masih sedang melakukan amal soleh itu lagi, tidak semestinya selepas melakukan sesuatu amal tersebut.

Demikianlah antara cara berfikir yang saya ingin tekankan supaya kita rasa berminat untuk melakukan amal-amal soleh daripada ingin berhibur. Dengan berfikir demikian, kita akan sentiasa berasa terpanggil dan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan sebagai simbol ketaatan kita kepada Allah s.w.t. Kita akan jadi ketagih untuk berbuat baik dan berbakti semasa hidup di dunia ini. Semua ini akan menjadi budaya hidup kita, jika kita mula ubah cara fikir kita agar kita sedar bahawa hidup di dunia ini ada tujuannya, iaitu untuk banyak-banyak berbuat baik dunia ini sebagai bekalan ke akhirat kelak.

Sesungguhnya keseronokkan dan kegembiraan di akhirat itulah yang paling dicari-cari oleh setiap mukmin yang sejati. Mereka tidak kisah bersusah-susah di dunia kerana mereka sedar betapa kecilnya nikmat dunia jika hendak dibandingkan dengan nikmat di jannah. Bersambung setelah ayat 14 surah Aali-Imran yang saya lampirkan di atas, Allah telah berfirman dalam Al-Quran bahawa nikmat di akhirat itu lebih baik daripada nikmat di dunia:

"Katakanlah: Mahukah aku khabarkan kepada kamu apa yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang yang bertakwa disediakan disisi Tuhan mereka Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredhaan dari Allah.  Dan (ingatlah) Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya" (Aali-Imran:15)

Semoga kita sedar bahawa hidup ini bukan bahan mainan. Banyak lagi tugas yang perlu kita laksanakan. Malah, bagi orang-orang yang mahu berfikir, tugas-tugas itu sebenarnya begitu memuaskan dan menyeronokkan hati jika kita ikhlas untuk melaksanakannya.

Mari kita penuhi masa kita dengan segala jenis amal soleh yang kita mampu lakukan. Semoga dengan itu hidup kita ini akan diberkahi oleh Allah, di dunia dan di akhirat. Amin.

Wallahu a’lam.

Pelajar Medic dan Pelajar Bidang Lain Sama Sahaja Statusnya

Sebagai seorang pelajar perubatan, saya dan rakan-rakan lain ada kalanya dianggap berstatus tinggi oleh sesetengah pelajar lain yang bukan daripada bidang kami. Contohnya, pernah saya bertemu dan berbual dengan kawan-kawan lama di kampung; mereka telah melihat saya sebagai seorang yang mempunyai sedikit kelebihan berbanding mereka. Saya rasa ini tidak betul.

Masalah Berat Sebelah Dalam Penilaian Antara Pelajar Perubatan Dan Pelajar Bidang Lain

Pada pengamatan saya, ramai anggota masyarakat negara ini memandang tinggi pelajar perubatan, sedangkan yang belajar dalam bidang lain itu tidak pula pernah dipuji sangat. Apabila diketahui seseorang itu belajar di bidang perubatan, secara automatik dirinya boleh menjadi orang yang menyerlah di mata masyarakat. Kata-kata seperti: "tengoklah tu student medic ni memang pengemas orangnya" atau "sekarang ini tahun berapa dan bila nak habis?" selalu disebut di hadapan para pelajar perubatan sedangkan tidak kerap pula disebut di hadapan pelajar-pelajar di bidang lain.

Malah, begitu ramai ibu bapa yang menginginkan anak-anaknya menjadi doktor dan bermenantukan doktor. Begini, kita tidaklah menyalahkan ibu bapa pelajar perubatan, sudah tentu mereka gembira jika anak-anak mereka dapat belajar dalam bidang yang diingini ramai. Tetapi apa yang kita ingin bincangkan di sini adakah benar para pelajar di bidang lain itu tidak setanding pelajar di bidang perubatan? Adakah kerana untuk memasuki bidang perubatan memerlukan persaingan yang tinggi, sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar, maka bidang itulah bidang yang paling hebat?

Satu Penjelasan: Pelajar Perubatan dan Pelajar di Bidang Lain Sama Darjatnya

Sebenarnya, belajar di bidang perubatan dan di bidang lain sama sahaja tarafnya. Saya kagum dengan subjek fizik quantum yang dipelajari oleh pelajar aliran fizik, ilmu jentera penerbangan yang dipelajari oleh pelajar jurusan kejuruteraan aeroangkasa, ilmu usul fiqh yang dipelajari oleh pelajar jurusan usul fiqh dan lain-lain lagi bidang ilmu yang luas dan pelbagai. Tentu sukar untuk menguasai ilmu itu semua.

Saya di bidang perubatan tidak mengikuti pengajian formal tentang semua hal-hal di atas tadi, dan saya sendiri tertanya-tanya apakah saya mampu untuk mengikuti subjek-subjek tadi jika saya belajar dalam bidang tersebut? Entahlah.

Satu lagi soalan, adakah ilmu perubatan merupakan ilmu yang paling susah untuk dipelajari?

SUDAH TENTU TIDAK. Semua ilmu mempunyai kelebihannya dan kesukarannya yang tersendiri dalam mempelajarinya.

Pelajar jurusan multimedia memerlukan kreativiti dan kemahiran tinggi dalam ilmu komputer untuk menghasilkan hasil kerja yang bermutu. Tidak semua orang boleh melakukan hal ini.

Pelajar perakaunan, kejuruteraan, matematik dan fizik perlulah mahir dan cekap dalam ilmu matematik. Saya masih ingat bagaimana susahnya untuk kira 100% tepat tanpa ada kesilapan yang tidak disengajakan (careless mistake). Itu baru tentang soal untuk tidak tersalah kira, bagaimana pula jika tidak tahu atau tidak terfikir langsung formula atau jalan penyelesaian? Tidak semua orang boleh mahir dalam matematik, bukan mudah untuk dikuasai.

Begitu juga bidang-bidang lain. Semuanya mempunyai kelebihan tersendiri. Saya masih tidak faham kenapa mentaliti masyarakat kita meninggi-ninggikan bidang perubatan dan tidak pula meninggi-ninggikan bidang yang lain? Sedangkan saya yang belajar di bidang perubatan sedar bahawa betapa sukarnya saya jika belajar di bidang senibina (architecture) yang memerlukan kreativiti, kecekapan pengiraan, kekemasan kerja dan ketelitian yang tinggi, bidang bahasa yang melibatkan pengkajian ilmu nahu dan tatabahasa yang begitu abstrak, serta bidang sains genetik yang mengkaji gene manusia yang begitu kompleks.

Penilaian Yang Adil: Satu Budaya Yang Perlu Disemai

Saya tidak bermaksud menghina dan merendah-rendahkan bidang perubatan. Saya suka bidang ini kerana saya sedar keseronokan dan keistimewaan yang ada dalam ilmu perubatan. Saya memang akui bidang perubatan mempunyai cabaran-cabarannya tersendiri. Cuma apa yang saya tidak suka apabila bidang ini ditinggi-tinggikan berbanding bidang lain, padahal bidang-bidang lain pun turut mempunyai cabaran, kelebihan dan keistimewaan sendiri. Masyarakat kita terlepas pandang hal ini.

Hanya kerana persaingan untuk memasuki bidang perubatan ini tinggi, jadi siapa sahaja yang memasuki bidang ini dianggap hebat. Hakikatnya tidaklah begitu. Saya sendiri tidaklah sehebat beberapa orang kawan lama saya, tetapi kawan-kawan lama saya itu tidak pun masuk bidang perubatan kerana mereka tidak minat. Walhal jika mereka masuk ke bidang perubatan, saya rasa mereka boleh menjadi pelajar yang cemerlang dalam kursus ini.

Bahkan, mungkin kita terlupa bahawa ramai sebenarnya orang-orang yang pandai dan kuat belajar sedang belajar dalam bidang-bidang selain perubatan.

Mungkin apa yang membezakan pelajar perubatan dengan kursus lain ialah sistem akademik bidang perubatan ini sendiri; sistem peperiksaannya yang tegas mahukan jawapan yang tepat, bukan sangkaan-sangkaan, kerana jika bersangka-sangka dalam bidang perubatan boleh mengundang maut kepada diri pesakit. Kami dilatih untuk berkata tahu jika memang tahu, dan berkata tidak tahu jika tidak tahu atau tidak pasti. Ini sebenarnya bertujuan agar apabila menjadi doktor nanti, kami dapat bersikap yakin dan berhati-hati dalam memberi rawatan.

Mungkin kerana sistem akademik inilah yang banyak memeningkan kepala para pelajar perubatan, sedangkan jika dilihat pada ilmu perubatan itu sendiri, bagi saya, tidaklah begitu sukar untuk dipelajari. Apa yang paling penting ialah perlu banyak baca, faham dan hafal. Pembacaan dan hafalanlah yang dominan untuk menguasai ilmu ini. Untuk faham ilmu perubatan pula tidaklah begitu susah, kerana ilmu perubatan banyak menggunakan common sense sebenarnya. Kegagalan dalam peperiksaan subjek perubatan pada kebiasaannya bukannya kerana tidak faham, tetapi kerana tidak ingat atau memang tidak tahu akibat kurang membaca dan menghafal.

Jika dalam bidang perubatan yang aspek yang lebih susah itu ialah lulus dalam peperiksaan berbanding untuk memahami ilmunya, saya yakin dalam bidang-bidang lain pun tentu ada aspek-aspek yang susah dan mencabar. Saya tak perlu nak sebut, para pelajar dalam bidang-bidang berkenaan tahu tentang hal ini lebih baik daripada saya.

Mungkin, ada orang yang memandang tinggi bidang perubatan kerana mereka kata doktor-doktor ini tugasnya mulia, iaitu berbakti kepada masyarakat dengan memberikan rawatan dan kaunseling kesihatan.

Baik, itu benar.

Tapi bagaimana pula dengan pelajar bisnes yang menjadi usahawan berjaya, kemudian duitnya itu dia sumbangkan kepada fakir miskin? Bagaimana pula dengan pelajar kejuruteraan yang merekacipta jambatan-jambatan baru bagi pembangunan luar bandar? Bagaimana pula dengan pelajar bidang pendidikan yang menjadi guru-guru yang mendidik kanak-kanak dan remaja? Semua bidang ada sumbangan dan baktinya masing-masing, tapi sayang, kita terlepas pandang itu semua.

Semua pelajar dalam semua bidang, kesemuanya sama sahaja di sisi Allah. Apa yang membezakan kita semua ialah ketaqwaan kepadaNya. Allah tidak menilai kepada kepada pencapaian hidup dan ciri fizikal kita, tetapi Allah menilai usaha dan kesungguhan kita dalam melaksanakan sesuatu kerja. Orang yang bergaji rendah tetapi bersungguh-sungguh bekerja adalah lebih baik daripada orang yang bergaji besar tetapi sedikit sahaja kerjanya.   

Pelajar semua bidang perlu menerima penghargaan dan pengiktirafan sama rata. Semoga kita lebih adil dalam menilai sesuatu selepas ini.

Wallahu a’lam.